Rumusan 1 – Kedah 2016

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca remaja terlibat dengan budaya hedonisme dan langkah-langkah kerajaan membendungnya.  Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Budaya hidup dalam keseronokan atau dikenali sebagai hedonisme merupakan amalan hidup masyarakat Barat.  Gaya hidup bebas tanpa batasan ini telah menyebabkan institusi keluarga di Barat menjadi rapuh dan musnah.  Di Malaysia, budaya hedonisme ini telah meresap dalam sanubari golongan remaja yang menyebabkan mereka lebih mementingkan diri sendiri dan bersikap materialistik.  Penyerapan budaya ini berlaku kerana kekurangan nilai dan pengalaman agama dalam kalangan remaja.

Budaya hedonisme ini jika tidak dibendung akan membabitkan masalah yang lebih besar seperti jenayah rogol, pembuangan bayi dan seks bebas.  Remaja terjebak dalam budaya keseronokan ini kerana mereka terpengaruh dengan budaya Barat.  Tanpa pemikiran yang matang, mereka mudah menerima budaya hidup Barat yang cenderung ke arah keseronokan dan hiburan.  Masalah ini menjadi semakin rencam apabila pihak media massa sering menyiarkan rancangan hiburan Barat yang mengasyikkan sehingga melekakan golongan remaja.

Selain itu, remaja terlibat dalam budaya keseronokan ini kerana kurangnya maklumat hedonisme yang diterima oleh mereka.  Remaja mendapat maklumat tentang budaya tersebut melalui media sosial.  Tanpa merujuk dan berbincang dengan ibu bapa, mereka menerima budaya tersebut semata-mata hendak berseronok.  Di samping itu, kebanyakan remaja merujuk rakan sebaya tentang persoalan hubungan sosial yang telah mendapat maklumat daripada sumber yang salah seperti Internet.  Dalam hal ini, remaja seharusnya menitikberatkan hubungan sosial yang betul dan memahami kehendak agama.

Tidak dinafikan kebanyakan remaja yang terlibat dalam budaya ini menghadapi tekanan dalam kehidupan mereka.  Pengaruh hedonisme ini jika tidak disekat akan menjadikan remaja hidup secara sendiri-sendiri dan tidak kisah tentang hal orang lain.  Remaja juga kurang kefahaman tentang keburukan amalan hedonisme.  Pengetahuan yang cetek akibat kurang membaca menyebabkan remaja tidak mampu menilai kesan buruk budaya tersebut terhadap diri sendiri.  Lebih memburukkan keadaan apabila sikap prihatin masyarakat semakin luntur.  Masyarakat hari ini lebih mementingkan ahli keluarga sendiri tanpa mempedulikan permasalahan yang wujud dalam komuniti mereka.

Lantaran itu, ibu bapa haruslah memahami perkembangan jiwa anak-anak remaja dan mengukuhkan jiwa anak-anak dengan didikan agama yang mantap sejak mereka kecil.  Pada masa yang sama, ibu bapa perlu mengukuhkan ikatan kekeluargaan dengan curahan kasih sayang.  Oleh itu, ibu bapa perlu menggunakan agama, akal, hati dan jiwa bagi mengelakkan budaya hedonisme daripada mengawal diri anak-anak.

 

  1. Apakah maksud rangkai kata mengukuhkan jiwa ? (2 m)
  2. Pengarang menyatakan beberapa kesan budaya hedonisme terhadap remaja.  Nyatakan kesan-kesan tersebut. ( Ada dalam petikan ) (3m)
  3. Remaja kini mudah terpengaruh dengan budaya hedonisme.  Pada pendapat anda, bagaimanakah remaja boleh mengelakkan diri daripada terjebak dengan budaya tersebut. (4m)