Sinopsis Bab 16

Bab 16: Bisa Ular Tedung

Embong terpaksa dimasukkan ke wad untuk mendapatkan rawatan.  Semasa ketiadaan ayahnya, Dahlia terpaksa menguruskan banyak perkara.   Mawar yang prihatin tentang kesusahan kakaknya menyuarakan hasrat untuk berhenti sekolah agar dapat menjaga adik-adiknya.  Dahlia menegah Mawar kerana Mawar pernah berjanji kepada emak mereka untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam SRP.

Sewaktu Dahlia melawat abahnya di Hospital Batu Pahat, dia terserempak dengan Cikgu Hisyam dan Kavita yang kebetulan menghantar Siti Wangi yang pengsan semasa menjalani latihan bola jaring.  Kemudian, Cikgu Hisyam dan Kavita menziarahi abah Dahlia.  Cikgu Hisyam meminta Kavita untuk membuat salinan semua nota sepanjang  ketidakhadiran Dahlia ke sekolah supaya dia tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Pada petang itu, Nek Kiah dan Seman datang melawat Embong.  Nek Kiah memberitahu Dahlia sangkaannya bahawa rumah itu berhantu adalah benar kerana seorang demi seorang keluarga Dahlia mendapat bencana.  Nek Kiah juga memberitahu tanah itu akan dijual dan menyuruh keluarga Dahlia berpindah ke kebun di hujung kampung.  Dahlia tidak bersetuju dengan cadangan neneknya.

Sinopsis Bab 15

Bab 15: Ingin Mempersunting Bunga di Taman

Keluarga Azhari telah datang merisik Dahlia namun Embong berasa berat untuk menerima lamaran tersebut kerana Dahlia merupakan anak sulung yang menjadi harapan keluarga.  Embong sangat berharap Dahlia dapat belajar hingga ke universiti dan dapat membantu keluarga mereka.  Walau bagaimanapun, ibu Azhari yang mengetuai rombongan itu kerana suaminya ke Kuala Lumpur memberi jaminan bahawa perkara itu tidak menjadi halangan kepada ikatan Azhari dan Dahlia.  Mereka sanggup menunggu Dahlia hingga tamat pengajiannya.  Akhirnya, Embong menyerahkan keputusan itu kepada Dahlia, cincin merisik diletakkan dia atas meja. Selepas itu, Embong bersiap-siap untuk menunaikan solat di masjid.  Semasa mandi, Embong telah dipatuk oleh seekor ular di pahanya.

Sinopsis Bab 14

Bab 14: Hilang dari Kandang

Tauke Lim datang kerana mahu membeli kambing Embong namun hampa apabila mendapat tahu kambing tersebut telah hilang.  Embong meluahkan rasa kesal kerana kambing yang menjadi harapannya telah dicuri orang. Embong meminta Tauke Lim memberitahu kepadanya jika ada orang yang ingin menjual kambing kepada Tauke Lim kerana dia ingin memastikan sama ada kambing itu miliknya atau milik orang lain.

Dahlia teringat akan Azhari yang tetap ingin melamarnya walaupun telah mengetahui keadaan emaknya.  Azhari  masih ingin mengikat tali pertunangannya dengan Dahlia kerana ibu bapanya mendesaknya berbuat sedemikian.  Kemudian, Dahlia dikejutkan dengan kedatangan rombongan keluarga Azhari yang ingin merisiknya.

Sinopsis Bab 13

Bab 13: Pahitnya Menelan Kenyataan

Embong terkejut apabila melihat Dahlia pulang dengan kereta yang dipandu oleh seorang lelaki  dan mula berprasangka yang bukan-bukan terhadap Dahlia. Pada malam itu, Dahlia memberitahu keluarganya supaya tidak risau akan keadaan Saleha yang sedang dirawat.  Apabila Dahlia melihat ayahnya keseorangan di pintu barulah Dahlia menceritakan perkara sebenar.  Dahlia tidak mahu adik-adiknya risau akan keadaan emak mereka. Tambahan pula, Mawar akan menghadapi peperiksaan SRP tidak lama lagi.  Dahlia juga memberitahu abahnya bahawa dia telah keluar dari asrama.  Tiba-tiba, Embong terdengar bunyi bising di kandang kambingnya. Embong terkejut apabila melihat dua ekor kambing peliharaannya telah hilang.

Sinopsis Bab 12

Bab 12: Air Mata Menitis di Hospital Permai 

Dahlia menaiki teksi ke Hospital Permai dan tiba di situ pada pukul 3:15 petang. Dia membayangkan kedatangannya disambut oleh emaknya dengan baik.  Lamunan Dahlia dikejutkan oleh seorang wanita berusia 30-an yang bertanya tentang tujuan kedatangannya.  Wanita itu mencadangkan agar Dahlia berjumpa dengan doktor yang merawat emaknya.  Doktor Ridhuan memberitahu Dahlia penyakit ibunya sudah sampai ke tahap berbahaya dan ingin mengetahui hal-hal yang  menyebabkan emaknya berkelakuan sedemikian. Beliau juga menjelaskan kemungkinan penyakit emak Dahlia berpunca daripada tekanan.

Doktor Ridhuan memanggil Azhari untuk membawa Dahlia  melawat emaknya di bilik 16.  Dahlia terkejut kerana Azhari bekerja di situ.  Azhari memberitahu  bahawa dia baru dua minggu bekerja sementara di situ.  Azhari ingin mengetahui punca Dahlia berada di situ.  Dahlia dan Azhari pergi melawat emaknya, tetapi situasi pilu berlaku kerana Saleha tidak mengenali anaknya itu dan dikatakan Dahlia sebagai pengutip hutang.  Emaknya juga menyuruh Dahlia pergi dari situ.

Sinopsis Bab 11

Bab 11: Pedihnya Melayan Kerenah Anak

Kemarahan Embong meletus kerana Abu Bakar, anak lelaki tunggalnya tidak boleh diharap dan suka berseronok sahaja.  Abu Bakar kerap tidak pulang ke rumah.  Kemarahan Embong semakin membara apabila Abu Bakar tidak mempedulikan kata-katanya dan terus berlalu dengan menunggang motosikal. Embong teringat kembali ular sawa yang telah diberikan kepada Tauke Lim. Tiba-tiba Embong berasa kesal dan takut.  Lamunan Embong terhenti apabila Mawar, anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang, pulang bercuti.  Mawar memberitahu bahawa dia balik kerana rindu akan emaknya.  Mawar bertanya tentang emaknya tetapi Embong mengatakan nanti Mawar akan tahu sendiri.  Pada hari itu, Dahlia pergi menziarahi emaknya di Hospital Permai.  Embong tidak pergi kerana masalah kewangan.  Dia tidak sanggup  lagi untuk meminjam daripada Haji Sulaiman dan Tauke Lim walaupun mereka berdua sangat baik dan sedia membantunya.

Sinopsis Bab 10

Bab 10: Selamat Tinggal, Asrama Puteri !

Cikgu Salwani memarahi Dahlia yang telah mengambil keputusan untuk keluar dari asrama.  Beliau mendesak Dahlia untuk memberitahu puncanya tetapi Dahlia hanya memberitahu bahawa dia ada masalah keluarga.  Dahlia tidak mahu menceritakan perkara sebenar. Cikgu Salwani meminta Dahlia agar jangan keluar dari asrama kerana peperiksaan STPM tinggal hanya empat bulan sahaja. Dahlia mencari ketenangan diri di perpustakaan.

Tiba-tiba dia disergah oleh Kavita yang memberitahu bahawa Cikgu Hisyam, guru kelasnya ingin berjumpa dengan Dahlia di Bilik Kerjaya.  Cikgu Hisyam telah mengetahui masalah Dahlia daripada Kavita yang pernah berkunjung ke rumah Dahlia.  Cikgu Hisyam mengatakan bahawa Dahlia berpotensi untuk lulus dengan cemerlang dalam STPM.

Sinopsis Bab 9

Bab 9: Apabila Tamak Menguasai Jiwa

Najib telah datang bersama dengan Kavita untuk berjumpa dengan Dahlia.  Setelah melihat kedaifan hidup keluarga Dahlia, barulah dia mengerti punca Dahlia menolak hasratnya untuk datang pada Hari Raya Aidilfitri.  Najib menawarkan diri untuk membawa adik Dahlia yang demam ke klinik.

Pada masa itu,  bapa saudara Dahlia, Pak Cik Seman pergi ke rumah Nek Kiah. Seman memberitahu Nek Kiah bahawa dia malu apabila orang bercakap tentang adiknya Saleha yang telah dibawa ke hospital di Johor Bahru.  Seman menuduh Embong menggunakan ‘ilmu’ sehingga Leha sanggup berkahwin dengannya yang tidak diketahui asal usulnya.  Seman turut mencadangkan agar tanah yang diduduki oleh keluarga Dahlia dijual.  Seman berjanji dengan emaknya untuk mencari pembeli.  Nek Kiah bersetuju dengan cadangan Seman apabila mendengar nilai tanah itu yang dapat dijual dengan harga RM15,000.

Sinopsis Bab 8

Bab 8 : Bayang-bayang Kecelakaan

Dahlia bermimpi  buruk tentang seekor ular sawa yang cuba membelitnya. Dahlia tersedar daripada tidur  apabila terdengar tangisan Anggerik yang demam panas. Dahlia bercadang untuk membawa Anggerik ke klinik pada petang itu.  Dahlia ternampak dua orang lelaki bersongkok ke rumah Aton.  Dia terimbas semula kata-kata orang yang menuduhnya lambat menyelamatkan Said.

Dahlia melakukan kerja-kerja di dapur sambil mendukung adiknya.  Melati meluahkan hasratnya untuk berhenti sekolah dan mahu hanya Dahlia yang meneruskan persekolahannya.  Melati bertindak sedemikian kerana malu apabila ada orang yang mengatakan emak mereka gila.  Dahlia menasihati Melati supaya tidak mendengar kata-kata orang kerana bukan orang itu yang akan menyenangkan kehidupan mereka.

Embong pulang membawa ular sawa di atas pungkis.  Embong kehairanan apabila melihat Dahlia menggeletar ketakutan dan menyuruhnya membuang ular itu.  Embong membawa ular itu pulang sebagai bukti beliau telah berjuang untuk menyelamatkan dirinya.  Dahlia memberitahu Embong tentang mimpinya itu.  Embong keluar dari rumah dan pergi  memerhatikan aliran sungai yang deras berhampiran rumahnya itu, dia memikirkan keberanian Dahlia berjuang menyelamatkan nyawa orang lain sehingga sanggup mengetepikan nyawa sendiri. Tiba-tiba, Embong dikejutkan dengan kehadiran seorang pemuda Melayu bersama-sama gadis India yang merupakan kawan Dahlia.

Sinopsis Bab 7

Bab 7: Berbudi Berbalas Nista

Dahlia menangis setelah pulang daripada menziarahi mayat Said hingga menyebabkan Embong kehairanan.  Setahunya, Dahlia telah dididik berjiwa kuat dan mampu menghadapi setiap dugaan.  Selepas itu, Embong ke rumah Aton untuk menziarahi jenazah Said, anak tunggal Aton.  Aton mencari Embong dan memarahinya dengan mengatakan anaknya, Dahlialah yang menyebabkan Said mati dan Embonglah yang ingin melihat Said mati.  Embong terdiam mendengar kata-kata Aton.  Embong lantas turun ke bawah rumah dan masuk ke dalam kelompok orang ramai di halaman.  Embong membiarkan sahaja Aton berkata-kata tentang dirinya dan Dahlia kerana dia yakin kebenaran akan terbukti kelak. Embong terdengar suara-suara yang mempersoalkan kematian Said dan percakapan mereka yang semakin menyakitkan hatinya.  Namun, Embong tetap bersabar dan beliau tidak mahu mencari musuh.

Dalam perjalanan pulang ke rumahnya, Embong bertemu dengan Tauke Lim. Tauke Lim memuji keberanian Dahlia yang cuba menyelamatkan Said. Embong sudah tahu punca Dahlia menangis setelah pulang dari rumah Aton. Memandangkan masa baru pukul 10.25 pagi, Embong pergi  memotong buah kelapa sawit di Parit Haji Kadir. Embong mengimbas kembali peristiwa pada petang semalam ketika Dahlia sedang memasak di dapur dalam keadaan yang lemah selepas menyelamatkan Said. Tersentuh hati Embong kerana sepatutnya masa remaja Dahlia dihabiskan dengan buku-buku pelajaran dan bukan kerja-kerja dapur. Embong bertekad untuk bekerja kuat demi masa depan anak-anaknya. Setelah tiba di kebun kelapa sawit itu, Embong terbau sesuatu. Beliau ternampak ular sawa sebesar paha melingkari pokok kelapa sawit. Sewaktu Embong pergi mencari buluh, ular sawa itu telah hilang. Tanpa diduga, ular itu menjatuhkan tubuh ke arah Embong hingga menyebabkan Embong panik.