Nafas

Dingin subuh yang bernafas
Seumpama dingin rahsia jiwamu
Membekukan kita dalam sengketa
Mahumu apa
Marahmu kenapa
Kita siapa
Biarkan aku menebak rasa
Gundah gelora tanpa suara

Sang mentari marak memuncak
Seumpama bahang amarah atmaku
Kau tegar leraikan impian
Walau teguh tanganmu ku genggam
Pergimu hanya hilangkan bayang
Sedangkan namaku menyelirat nadimu

Janji yang belum tertunai
Mungkinkah akan terzahir
Sebelum rohku direntap Izroil
Sebelum jasadku dicumbu tanah
Mahuku cuma satu
Lisanmu lancar sinarkan jawapan
Merungkai 1000 persoalan bisu
Walau sudah lama aku terjemahkannya.
Cuma satu!

Nukilan
Adiratna Pekaca
7 Jan 2018

Ku rindu dia.

Kali pertama berbicara, aku termalu sendirian.
“Kenapa tak turun ke kantin. Kan tak boleh duduk di kelas waktu rehat?” Tugas sebagai guru bertugas kulaksanakan semampunya aku.
“Maaf cikgu, saya tak sihat.  Baru keluar hospital.” Ku perhatikan wajahnya.
“Sakit apa?”  Ibarat polis aku menyoal.
“Kanser mata cikgu.” Terus aku terdiam, menggangguk dan berlalu tanpa kata.

Setahun berlalu.  Dia bergelar pelajarku di kelas 5 Sains.  Pemilik nama Nazirul Zafri ternyata memiliki semangat yang sangat tinggi.  Kerja rumah tak pernah diabaikan walau dia terpaksa bangun pukul 3 pagi dengan ditemani ibunya.  Setiap ajaranku diturut tanpa bantah.  Sayang aku padanya mencambah.  Biarpun dia sakit, tapi kesakitannya bukan penghalang.  Ada masa, seminggu dua minggu dia tidak hadir.  Aku selalu ceritakan kisah Nazirul Zafri kepada pelajar-pelajar lain yang masih alpa dengan keseronokan tak bertepian.  Jadikanlah iktibar.

Satu hari, dia berdepan denganku.
“Cikgu, lepas ni saya akan selalu tak hadir.  Kanser saya dah merebak ke otak.”
Ku tatap wajahnya.  Rasa sebak menyerbu jiwa.  Pada saat tanganku menaip bait seterusnya yang lahir dari jiwa, air mataku laju mengalir.  Masih ku ingat renungan matanya padaku.  “Saya rindu kamu.”
Cuba mengalih jiwaku agar air mata tidak tumpah di hadapan Nazirul, aku soal dia.
“Apa kamu rasa sekarang ini Nazirul?” Soalanku wajar kerana dia sendiri maklum akan keadaan dirinya. Usianya kian di hujung waktu.  Dia hanya tersenyum kemudian memberikan aku satu jawapan.
“Tak rasa apa cikgu.”

Allahu.  Kuatnya jiwa budak ini.  Tabahnya dia dengan ujian Allah untuknya.  Kemudian aku mula rasa sunyi. Ku dengar berita, keadaannya makin teruk.  Pada masa itu, aku sedang mengandung anak ke-4.  Selepas habis cuti bersalin, hatiku teringat sangat pada Nazirul.  Ditemani Ee Ling, sahabat baik Nazirul, aku ke rumahnya.  Sampai sahaja di depan pagar, aku nampak Nazirul sedang duduk di luar pintu rumah.  Ya Allah.   Aku terasa tidak mampu untuk berdiri.  Tidak mampu untuk berdepan dengannya.  Ku lihat matanya membengkak tidak lagi ditempat yang sepatutnya.  Dia sudah tidak mampu melihatku.  Ee Ling memintaku menunggu saja di dalam kereta.  Tapi itu bukan tujuanku.  Lantas ku kuatkan semangat.

“Nazirul, masih ingat cikgu?” usai memberi salam aku mulakan bicara.
Dia mengangguk. “Ya. Cikgu Haslina kan.” Ternyata dia masih kenal suara aku.
Ku biarkan air mata ini mengalir sebab dia tak nampak.  Aku cuma mengawal bicara supaya dia tidak terkesan dengan gundahnya perasaanku.  Aku penuhi waktu itu dengan sepatutnya.  Sebenarnya, itulah kali terakhir aku mendengar Nazirul ketawa.  Dia ketawa sebelum dia pergi meninggalkan dunia ini seminggu selepas aku bertemu dengannya.  Ternyata Allah izinkan pertemuan kami sebelum dia pergi. Kenangan terindah mungkin bagi aku.

Berita itu ku terima saat aku sedang berbuka puasa pada malam menjelang Nuzul Quran.  Sebak aku menahan rasa.  Juadah tidak lagi terasa enaknya.  Memang aku sangat sedih  tapi aku tahu takdir itu yang terbaik sebab dia tidak perlu lagi menanggung kesakitan itu.  Takdir itu yang terbaik sebab dia pergi dalam keadaan reda dengan penyakitnya. Takdir itu yang terbaik sebab dia pergi dalam usia muda.  Moga syurga tempatnya nanti.  Ku coretkan nukilan ini sebagai kenangan ketika ingatanku sudah mula pudar dek usia.  Semoga anak-anakku menyedari bahawa ada insan lain yang mewarnai hidup ibu mereka sebagai seorang guru.

Al-fatihah buat arwah Nazirul Zafri.

Suatu Masa

Diabadikan buat Tuan Haji Sharif Bekas PK Hem SMK Permai Indah

Sahabat
Suatu masa
Ketika menjejak kenangan yang tak terucapkan
kita pernah bersama mengemudi bahtera
belayar mengharung samudera
membangun tamadun
insan kerdil yang perlukan bimbingan
didikan
dalam sentuhan kasih sayang
mengenali onak duri
angin ribut
kalut hidup
menitip hari-hari yang perlu diisi
dengan nilai suci dan murni
menghargai tiap detik nafas anugerah Ilahi

Sahabatku
walau tari kita kadang-kadang berbeza rentaknya
namun berpayungkan pengharapan padu
bertunjangkan matlamat yang satu
kita bina bangsa merdeka yang benar jitu
sesekali kita runduk buntu bersama
lalu kita kembali sedar bahawa
perjuangan ini bukan semudah yang kita impikan
bisa menuntut pengorbanan yang tinggi
bisa meruntun ketabahan nurani

Sahabatku
suatu masa
ketika ku lepaskan pengemudi
pergi dulu dari medan yang satu ini
memandang kau dari jauh
berlari jatuh bangun lagi
dalam iringin doa dan restuku
penuh rindu
menyelusuri jejak-jejak silam

Kini tiba hari yang dijanjikan
Kau tersenyum dalam keterpaksaan
serahkanlah anak bangsa ini
pada mereka yang tangannya gagah
ilmunya bercambah
impiannya mencapah
tenaganya mewah
mari kita undur diri bersama
teruskan perjuangan
dalam nada berbeza

Selamat datang ungkapan keramat
bersara
sesungguhnya ia bukan penamat
kerana sekali bergelar guru
selamanya kau seorang cikgu.

Nukilan
Adiratna Pekaca
Feb 2016

Rumusan 6 – MRSM 2016

 

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudaian buat satu rumusan tentang usaha-usaha meningkatkan pencapaian subjek Sains dan Matematik dan kepentingan-kepentingan mempelajari kedua-dua subjek tersebut. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Malaysia sering berada di tangga tercorot dalam bidang pendidikan khususnya dalam pencapaian subjek teras iaitu Sains dan Matematik yang didakwa mengalami penurunan minat yang ketara sebanyak 28 peratus.  Pernyataan ini dibuktikan melalui Indeks Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang telah meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-98 daripada 181 buah negara.  Senario tersebut menjadi petunjuk bahawa perlunya usaha untuk meninjau sistem pendidikan negara pada semua peringkat.  Beberapa faktor dikenal pasti menjadi penyumbang terhadap tahap keyakinan tidak konsisten.  Faktor-faktor tersebut termasuklah kerisauan pelajar terhadap pencapaian.  Di samping itu, pengaruh rakan sebaya dan sikap ibu bapa yang tidak menyokong pembelajaran subjek Sains dan Matematik dilihat juga sebagai punca keadaan itu berlaku.

Bagi meningkatkan pencapaian subjek Sains dan Matematik agar setanding dengan negara lain, setiap pelaksanaan program pendidikan negara perlu diperhalus.  Selain itu, pembudayaan sains dan matematik hendaklah diterapkan dalam diri pelajar seawal usia kanak-kanak.  Tanggungjawab menyemai minat dalam kedua-dua subjek ini bukan terletak di bahu pendidik semata-mata.  Sekolah sewajarnya bekerjasama dengan masyarakat dalam meningkatkan kecemerlangan subjek ini supaya tidak melihat kecemerlangan dari sudut bilangan gred sahaja.  Tanggapan negatif masyarakat tentang kesukaran mempelajari kedua-dua subjek ini perlu diubah kepada pembelajaran yang lebih menyeronokkan.  Secara tidak langsung, tanggapan ini sebenarnya mampu mematikan minat dan keinginan pelajar untuk menguasai kedua-dua subjek ini dengan lebih baik.

Di samping itu, kempen kesedaran tentang subjek Sains dan Matematik dalam kalangan masyarakat mestilah diperhebatkan.  Kempen ini dilihat sebagai langkah proaktif untuk menyedarkan banyak pihak agar memahami kepentingan isu ini kepada negara.  Dalam bidang kerjaya pula, pihak industri disarankan menjadi rakan kongsi ilmu ini dengan institusi pendidikan.  Percambahan idea dan pengintegrasian kepentingan subjek Sains dan Matematik melalui penganjuran pelbagai pertandingan merupakan antara usaha Kementerian Pendidikan untuk memperkasakan kedua-dua subjek ini.

Bagi melonjakkan kecemerlangan dalam subjek tersebut, pelajar seharusnya menerima gaya pengajaran berasaskan KBAT.  Mereka harus dibimbing supaya dapat berfikir secara kreatif dan kritis bagi menyelesaikan masalah.  Guru dan pelajar sepatutnya berganding baju untuk mencapai objektif pembelajaran lebih bermakna dalam kedua-dua subjek ini.  Guru juga perlu sentiasa mengemas kini pengetahuan semasa dalam pengajaran supaya dapat menarik minat pelajar seterusnya meningkatkan pencapaian subjek tersebut.

Oleh itu, usaha membudayakan sains dan matematik perlu digerakkan oleh semua pihak bagi mencapai sasaran pelan hala tuju modal insan dalam bidang sains dan teknologi menjelang tahun 2020.

 

  1. Berikan maksud rangkai kata mematikan minat?(2m)
  2. Pengarang ada menyatakan beberapa sebab keyakinan pelajar tidak menentu terhadap subjek sains dan matematik.  Nyatakan sebab-sebab tersebut. (3m)
  3. Pencapaian anda dalam subjek sains dan matematik kurang memberangsangkan.  Jelaskan tindakan yang akan anda lakukan untuk meningkatkan prestasi dalam kedua-dua subjek tersebut ?(4m)

Rumusan 5 – SBP 2016

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah untuk memperkasakan penglibatan wanita dalam bidang ekonomi dan kekangannya.  Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kaum wanita pada zaman dahulu sering dikaitkan dengan peranan mereka sebagai suri rumah, tetapi kini pencapaian wanita sudah memasuki fasa yang lebih luas dan cemerlang serta berjaya memecahkan dominasi lelaki, sama ada dalam bidang kepimpinan, pentadbiran, mahupun keusahawanan.   Oleh sebab golongan wanita di negara ini mewakili separuh daripada jumlah penduduk negara, penglibatan mereka dalam pembangunan ekonomi sangat penting untuk meningkatkan pendapatan negara dan sekaligus membantu meningkatkan status sosioekonomi keluarga.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, menyeru supaya sektor swasta turut meningkatkan penyertaan wanita di Malaysia dalam jawatan peringkat tertinggi seperti Ketua Pegawai Eksekutif dan anggota lembaga pengarah.  Beliau juga menyarankan syarikat korporat membuka mata untuk menilai kebolehan wanita dari sudut yang lebih signifikan.  Dalam memperkasakan kuasa wanita dan sebagai antara agen pembangunan ekonomi negara, pada tahun 1989, kerajaan mengambil inisiatif untuk menggubal Dasar Wanita Negara.  Penggubalan dasar ini memperlihatkan komitmen kerajaan yang bertujuan untuk mengintegrasikan sumbangan wanita supaya tidak diketepikan.  Selain itu , usaha ke arah menjamin perkongsian yang saksama antara lelaki dan wanita dalam pendidikan sumber dan maklumat juga dilaksanakan.  Usahawan wanita hendaklah meneroka peluang dan faedah yang wujud daripada pembangunan.  Bagi memastikan golongan wanita dapat terus memacu pendapatan syarikat, usahawan wanita negara ini diseru untuk mendaftar dengan mana-mana persatuan usahawan.  Hal ini bagi membolehkan mereka mendapat lebih banyak maklumat, khususnya tentang peluang untuk mengembangkan perniagaan, meningkatkan pengetahuan dalam bidang keusahawanan, di samping membina rangkaian kerja yang lebih kukuh.  Usahawan wanita perlu mendekatkan diri dengan jaringan yang sesuai dan menjalinkan rangkaian yang lebih luas untuk menjana pendapatan perniagaan masing-masing.  Mereka juga perlu berusaha untuk merebut peluang atau peruntukan yang boleh dimanfaatkan.

Jabatan Pembangunan Wanita juga wajar meningkatkan kerjasama dengan institusi lain seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) agar dapat memperkasakan kegiatan keusahawanan.  Hal ini dijadikan landasan yang baik untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan di negara ini.  Pada masa yang sama, langkah peningkatan kerjasama yang diambil sekurang-kurangnya membolehkan usahawan wanita terus membangun dan meningkatkan kemahiran, di samping berupaya mengenal pasti kelemahan mereka.

 

  1. Berikan maksud rangkai kata meningkatkan status ?(2m)
  2. Usahawan wanita akan mendapat maklumat jika mereka mendaftar dengan persatuan usahawan.  Nyatakan maklumat-maklumat tersebut.(3m)
  3. Wanita perlu memiliki ilmu yang tinggi dan kemahiran untuk berjaya dalam bidang keusahawan.  Pada pendapat anda, apakah kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh usahawan wanita agar mereka lebih cemerlang dalam bidang keusahawanan ? (4m)

Rumusan 4 – SMK Tunku 2016

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan kaunselor dan langkah-langkah untuk menggalakkan murid mendapatkan khidmat kaunselor.  Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Murid-murid pasti sudah biasa mendengar perkataan kaunselor, tetapi sejauh manakah pengetahuan mereka tentang fungsi kaunselor? Ramai murid yang masih kabur tentang fungsi sebenar kaunselor dan kriteria individu yang memerlukan khidmatnya.   Sebagai orang yang terlatih, kaunselor melaksanakan tugas berlandaskan pengetahuannya dalam bimbingan dan kaunseling yang mampu menangani sebahagian masalah di sekolah.  Antara masalah yang dialami oleh murid ialah tekanan emosi.  Dalam hal ini, fungsi kaunselor adalah untuk menolong murid mengenal pasti punca tekanan emosi tersebut di samping memberikan bimbingan tentang cara menangani masalah yang dihadapi.

Walau bagaimanapun, kaunselor bukanlah berperanan untuk menyelesaikan masalah seperti tanggapan sesetengah pihak.  Perkara ini difahami oleh setiap murid yang mahu mendapatkan bantuan atau khidmat daripada kaunselor.  Kaunselor sebenarnya berperanan untuk memandu murid memahami serta menerima keadaan diri sendiri supaya mereka dapat meningkatkan perlakuan yang baik dan mengurangkan perlakuan yang sebaliknya.  Sehubungan dengan itu, murid tidak seharusnya menganggap bahawa mereka yang berjumpa dengan kaunselor merupakan individu yang bermasalah semata-mata.  Tanggapan ini tidak benar sama sekali.  Hakikatnya, apabila bertemu dengan kaunselor, murid akan dibantu untuk menguruskan perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupannya seperti panduan memilih jurusan atau kerjaya yang sesuai dan bukan memberikan tumpuan terhadap masalah tertentu sahaja.

Kaunselor juga dapat membantu murid mengesan dan mengembangkan bakat dan minatnya.  Hal ini penting supaya segala tindakan yang bakal dilakukan oleh murid selaras dengan apa-apa yang diingininya agar mereka berpeluang membuat perancangan masa depan untuk mencapai matlamat hidup.  Pada masa yang sama, kaunselor bertanggungjawab untuk membimbing murid memanfaatkan peluang bagi penyempurnaan kendiri.  Pelaksanaan pelbagai program bimbingan dan kaunseling seperti ceramah, kursus dan kem motivasi akan membolehkan kaunselor memahamkan murid tentang hubungan mereka dengan masyarakat sekitar.  Dalam hal ini, mereka akan dapat menyesuaikan diri dan berinteraksi secara positif dengan rakan sebaya dan jiran-jiran.  Selain itu, kaunselor juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri murid melalui sesi kaunseling yang dijalankan.  Penyemaian nilai-nilai ini akan meningkatkan mutu disiplin murid-murid di sekolah.

Sesungguhnya, usaha-usaha penambahbaikan perkhidmatan kaunseling wajar dilaksanakan agar khidmat yang diberikan oleh kaunselor mendapat kepercayaan murid.  Sikap profesional kaunselor dalam melaksanakan tugas hendaklah menjadi keutamaan demi menaikkan imej perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.

 

  1. Berikan maksud rangkai kata mendapat kepercayaan ?(2m)
  2. Pengarang mengemukakan beberapa tanggapan yang salah tentang khidmat kaunselor di sekolah.(3m)
  3. Pada pendapat anda, selain mendapatkan khidmat kaunselor, apakah tindakan-tindakan yang wajar dilakukan oleh murid-murid untuk menangani masalah yang dihadapi oleh mereka? (4m)

Rumusan 3 – Sabah 2016


Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian tulis satu rumusan tentang faktor-faktor jenayah pemerdagangan manusia dan implikasinya kepada negara. Panjangnya rumusan tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pemerdagangan manusia ialah masalah global yang kian meningkat jumlah kesnya sejak seabad yang lepas. Jenayah ini membabitkan perbuatan eksploitasi pada skala yang besar terhadap wanita, lelaki dewasa dan kanak-kanak dalam perhambaan moden. Mengikut laporan Amnesty International, pada tahun 2004 dianggarkan 700,000 orang diperdagangkan pada setiap tahun. Amat malang sekali kerana Malaysia dilihat sebagai tempat menarik oleh sindiket pemerdagangan manusia untuk menjalankan aktiviti mereka. Usaha kerajaan memerangi aktiviti pemerdagangan manusia berhadapan dengan pelbagai cabaran kerana isu ini merupakan jenayah rentas sempadan. Jenayah ini sukar dikesan kerana melibatkan banyak negara contohnya negara-negara yang berjiran dari segi kedudukan geografinya. Orang yang diperdagangkan direkrut oleh agensi- agensi pekerjaan secara sukarela mahupun secara paksa. Pada mulanya, mereka diperdagangkan kerana telah dijanjikan pekerjaan yang baik di negara yang menjadi destinasi. Mereka juga diyakinkan bahawa aktiviti ini tidak menyalahi peraturan.
Perkembangan ekonomi dan kemakmuran Malaysia menjadi tarikan utama kepada ramai warga asing dari seluruh dunia berhijrah ke negara kita. Kebanyakan mereka yang datang dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Vietnam telah menjadi mangsa selepas dijanjikan pekerjaan dengan bayaran lumayan sedangkan semuanya palsu. Keadaan ini merancakkan aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Pada masa yang sama, kewujudan pusat hiburan yang beroperasi secara haram menyebabkan permintaan yang tinggi kepada aktiviti ini. Hal ini ditambah oleh kedudukan Malaysia di tengah-tengah negara Asean yang menjadikan antara lokasi strategik untuk aktiviti pemerdagangan manusia. Menyedari masalah itu, Akta Antipemerdagangan Orang 2007 telah diluluskan tetapi akta ini masih belum cukup kuat untuk menghalang jenayah ini. Selain itu, modus operandi sindiket yang membawa masuk mangsa sukar dikesan oleh pihak berkuasa disebabkan mereka memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial atau pas pelajar. Bukan hanya wanita, malahan lelaki dewasa turut diperdagangkan terutama untuk tujuan pengeksploitasian buruh. Kanak-kanak dan bayi juga mendapat permintaan yang tinggi bagi aktiviti meminta sedekah.
Selain itu juga, kesedaran dan kefahaman masyarakat Malaysia yang masih rendah tentang isu ini turut menjadi penyebab kepada permasalahan ini. Keuntungan lumayan yang diperoleh oleh sindiket dengan jumlah yang besar hasil daripada aktiviti pemerdagangan manusia juga menyebabkan kegiatan ini terus berleluasa. Kanak-kanak dan bayi turut diperdagangkan untuk dijadikan anak angkat kepada pasangan yang tidak mempunyai zuriat sendiri. Kemiskinan di negara asal membuatkan mangsa hilang pertimbangan kerana percaya akan janji-janji manis pihak sindiket. Penguatkuasaan undang-undang yang lemah seperti hukuman yang ringan turut menyebabkan kegiatan yang tidak bermoral ini terus berlaku. Kesimpulannya, sindiket pemerdagangan manusia dilihat semakin meruncing dari hari ke hari dan menggugat hak asasi manusia. Kerjasama masyarakat dunia diharap merupakan jalan terbaik bagi membendung jenayah ini daripada terus menjadi barah kepada masyarakat.

Sinopsis Bab 7

Sinopsis Bab 7 m/s _________________

Nenek membawa Lili ke kedai runcit Letchumi dan terserempak dengan ____________. Lili tidak menyangka bahawa selama ini, neneknya begitu akrab dengan ibu Geetha.  Menurut Geetha, ibunya merupakan pelanggan setia yang mengamalkan minuman herba buatan datuk Lili yang telah berjaya menyembuhkan penyakit ibunya yang sebelum ini sakit teruk.  Walaupun ketika ini saiz badan ibunya terlalu gemuk, tetapi dia kelihatan begitu sihat.  Geetha menasihati Lili supaya mempelajari ilmu penyediaan herba dan rawatan ____________ dari datuknya yang begitu terkenal di Pekan Sentosa ini. Lili merasa bangga kerana mendapat penghargaan atas kepakaran datuknya dalam ilmu pengubatan tradisional, apatah lagi yang memujinya bukanlah sebangsa dengannya.  Geetha juga menyedari bahawa Lili tidak banyak bercakap seperti ________________.  Setelah sejam berbual-bual, nenek mengajak Lili _____________.  Lili mempelawa Geetha datang ke rumah nenek.

Sinopsis Bab 6

Sinopsis Bab 6 m/s _________________

Lili melihat keluar jendela dan hujan mula turun.  Nenek mengarahkan Lili menutup semua _____________ yang terdapat di dalam rumah dengan menggunakan _________________ bertujuan untuk terbalikkan mata kilat.  Lili memerhatikan halaman rumah datuk.  Terdapat perbezaan yang jelas antara halaman rumah ibu dan halaman rumah datuk.  Ibu Lili lebih suka seni taman ala ____________, yang dipenuhi reka bentuk dan tumbuh-tumbuhan yang mempunyai ciri-ciri keselamatan, tahan lasak dan menghalau nyamuk. Manakala, halaman rumah datuk ditanam dengan _____________ pembuka selera makan.

Masyarakat kampung lebih gemar berurusan dengan datuk apabila berdepan dengan masalah kesihatan dan menjadi kepercayaan serta sumber rujukan.  Dari dapur Lili mendengar neneknya mencari bekas _____________ pemberian perempuan berbangsa India, _______________ .  Nenek ingin membakar _______________________ di dalam bekas itu supaya isi rumah berbau wangi.  Selepas hujan teduh nanti, nenek hendak mengajak Lili ke kedai Letchumi.

Sinopsis Bab 5

Sinopsis Bab Lima, m/s ____________

Datuk sejak dahulu menganggap Lili tidak tahu tentang kesan corak _______________, pintu dan susunan rumah kampung yang menghadap jalan.  Harapan Lili untuk merungkai hal itu tidak kesampaian kerana sepanjang malam datuk bercerita tentang perubatan herba tradisional.  Banyak ubi kayu, __________ dan mangga di sekitar rumah datuk.  Datuk begitu yakin akan keberkesanan penyembuhan penyakit melalui rawatan _______________ dan kos rawatan juga lebih rendah.

Datuk menceritakan pengalamannya mengurangkan penderitaan seorang pesakit ______________ yang sebelumnya menjalani rawatan bertahun-tahun lamanya di hospital.  Nenek mencelah dengan mengatakan bahawa cerita datuk seperti mahu mengheret Lili ke zaman ________________, tetapi datuk bertegas bahawa Lili seorang yang _____________.  Datuk mahu Lili menyaksikan proses rawatan penghidap strok,darah tinggi dan kencing manis keesokannya.