Latihan 1 – Cinta Ahmad Mutawakkil

Latihan 1 (ms 43 perenggan 1- perenggan 4)

Usai solat maghrib – ketika Imam Ngah Deraman sedang berdoa, dengan tubuh dipaling ke kanan menghadap Penghulu Ibrahim Sigap, dan kami para makmum pula, sepatah demi sepatah, mengaminkan setiap baris kalimah – di pintu surau, terdengar suara orang memberi salam.  Perlahan dan sangat rengsa bunyinya.

Sambil berdoa, Imam Ngah Deraman berpaling – disusuli Penghulu Ibrahim Sigap. Melihat saja, mata kedua-duanya tiba-tiba terjegil, dan nampak sangat terperanjat.   Dengan telapak tangan yang masih menadah doa, kami segera menoleh. Dek pelita ayan yang tergantung pada alang beranda sangat terang cahayanya, maka susuk tubuh dan wajah lelaki yang tersepuk di muka pintu segera kami kenal akan gerangannya.

Dialah Ahmad Mutawakkil.   Wajahnya berkerut-kerut; kedua-dua matanya terpejam.   Kemeja putih ala-ala peon British dipenuhi darah, manakala seluar kelabunya dipenuhi kotoran.   Malah, calitan lumpur dan sisa-sisa daun kering turut melekat pada muka dan rambutnya.  Meskipun doa oleh Imam Ngah Deraman sudah berakhir, kami masih keras membatu dek tenggelam punca.

i.Bagaimanakah keadaan Ahmad Mutawakkil ketika tiba di surau?

Keadaan Ahmad Mutawakkil ketika tiba di surau ialah wajahnya berkerut-kerut dan kedua-dua matanya terpejam.   Kemeja putih ala-ala peon British yang dipakainya dipenuhi darah,  manakala seluar kelabunya dipenuhi kotoran.

ii.Sekiranya anda berada di surau, apakah tindakan anda untuk menyelamatkan Ahmad Mutawakkil?

Sekiranya saya berada di surau, tindakan saya untuk menyelamatkan Ahmad Mutawakkil ialah saya akan menghubungi pihak hospital dengan segera untuk menghantar ambulansSeterusnya, saya akan cuba memberikan rawatan awal dengan membersihkan luka- lukanya.  Selain itu, saya akan menenangkannya agar tidak risau akan kecederaan yang dialaminya.

iii.Huraikan satu latar tempat yang terdapat dalam petikan di atas dan satu latar tempat lain daripada keseluruhan cerpen tersebut. [4 markah]

Satu latar tempat yang terdapat dalam petikan di atas adalah di surau.  Contohnya, Ahmad Mutawakkil muncul dengan keadaan berlumuran darah semasa orang-orang kampung baru selesai mendirikan solat maghrib di surau.  Satu latar tempat lain daripada keseluruhan cerpen adalah di banglo  Tuan Booth. Contohnya, Tuan Booth tinggal bersama-sama dengan isterinya dan seorang anak perempuannya, iaitu Sandra di banglo itu dalam sebuah estet.

 

Berbuat Istana Zaman Dahulu

 

 

Baginda menitahkan orang besar empat
Membuat istana puri berkota
lalu dipanggil Pawang Raja
Pawang mengerah orang bekerja
Empat puluh empat tukang dan utas
siang malam tiada henti
Baginda sultan menitahkan empat orang pembesar untuk membina istana sebagai mercu tanda kotanya. Oleh hal yang demikian, Pawang Raja telah mengerah rakyat untuk bekerja keras. Sebanyak empat puluh empat orang jurubina dan pandai tukang dikerah. Projek pembinaan itu dijalankan siang dan malam tanpa henti.

 

Tujuh bulan tujuh pernama
Istana siap dengan alatnya
Besar tersergam sembilan ruang
Sepuluh dengan rembat guntung
Sebelas dengan pancung serong
Dua belas dengan anjung tinggi
Pembinaan istana baginda itu menelan masa tujuh bulan sehingga siapkan sempurna dengan perabot dan segala peralatan di dalamnya. Istana yang disiapkan itu tersergam indah dengan sembilan ruang utama yang memiliki sepuluh batang tiang penyokong(rembat guntung). Di dalam istana itu, ada kain yang disusun dan diikat serong dengan puncanya tergantung dan memiliki kawasan anjung yang tinggi.

 

Tiga sudut menteri depalan
Tiang panjang maharaja lela
Tiang tengah syukur menanti
Galang-galangnya ular berang
Kasau kecil puteri menyembah
Kasau lentik helang berbega
Di dalam istana itu, ada tiga sudut untuk kegunaan lapan orang menteri yang utama yang dihias dengan tiang yang dinamakan maharaja lela. Di tengah-tengah istana itu, ada sebatang tiang besar(galang) yang kukuh yang bertanggam dengan ukiran corak ular yang garang. Kayu yang melintang(kasau kecil) pada atap istana pula bercorak seorang puteri yang menyembah dan sebatang kayu yang melengkung(kasau lentik) pada atap istana juga bercorak ukiran helang di sekelilingnya.

 

Berbunga sawa mengempelai
Bertakuk bersedelinggam
Berjenang berbatu kawi
Berselimut ukir jawa
Lilit-melilit akar Cina
Garam sebuku sisa jeragan
Bunga kenanga dimakan ular
Layang-layang di pintu Raja
Bahagian tingkap istana raja dibina dengan seni yang istimewa,iaitu berukir corak bunga dan ular sawa yang berbaring dengan lemah longlai (mengempelai). Di samping itu, jendela istana pula diperbuat daripada batu yang kukuh(berbatu kawi) dan bertiang. Seni bina ini dipercantik dengan ukiran Jawa dan Cina. Selepas itu, garam ditaburkan di sekeliling istana yang baharu untuk membuang segala kekotoran dan anasir jahat yang cuba dibawa oleh pendatang asing atau nakhoda (sisa jeragan). Pada pintu istana yang besar itu, ukiran bunga kenanga amat jelas kelihatan bersama corak ular. Demikianlah keunikan istana raja yang siap dibina.
Istana siap tukang pun mati
Tiada orang dapat meniru
dipersembahkan kepada baginda suami isteri
Setelah istana siap dibina, tukang bina istana pun meninggal dunia. Kesetiaan jurubina istana ini menyempurnakan pembinaan istana ini amat terserlah apabila tiada sesiapa yang dapat meniru teknik dan gaya pembinaan istana tersebut. Apabila istana siap dibina, pembesar yang bertanggungjawab dalam pembinaan itu mempersembahkan istana tersebut kepada baginda raja dan permaisuri.

 

 

 

(No title)

Petikan 9 – PPD Segamat 2016

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan hutan tanah tinggi dan usaha-usaha untuk mengekalkannya.  Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan

Hutan adalah sebahagian daripada ekosistem global yang menampung serta memperkaya kehidupan manusia.  Ekosistem hutan mempunyai kitaran yang kompleks, iaitu melibatkan air, tanah, atmosfera, tumbuh-tumbuhan, dan fauna.  Hutan yang terdapat di seluruh dunia dapat diklasifikasikan  kepada beberapa jenis.  Antaranya termasuklah hutan hujan tropika, hutan bakau, hutan pokok tirus, hutan pokok daun luruh, dan sebagainya.  Sebahagian besar daripada hutan di Malaysia ialah hutan hujan tropika.  Di Malaysia juga terdapat sebahagian kawasan hutan yang berada di tanah tinggi yang melebihi 300 meter dari aras laut.  Hutan ini dipanggil hutan tanah tinggi.

Kebanyakan kawasan hutan tanah tinggi di negara ini menjadi sumber bekalan air bersih.  Hutan tanah tinggi menyimpan air bersih dan melepaskannya apabila kandungan airnya bertambah.  Apabila hujan turun, terutamanya sewaktu musim hujan, hutan tanah tinggi, ini akan bertindak menyerap sejumlah besar air melalui akar pokok.  Air yang terperangkap di bawah tanah akan memasuki anak sungai yang membentuk kawasan bekalan air yang sedia digunakan pada musim kemarau.  Hutan tanah tinggi juga bertindak sebagai penapis semula jadi bagi air hujan.  Hutan ini dapat mencegah hujan daripada terus menimpa tanah dengan terlalu kuat sekali gus dapat mencegah kerosakan bahagian lapisan atas tanah.

Hutan tanah tinggi yang terdapat di banjaran utama negara kita pula merupakan kawasan yang dapat membekalkan sumber hutan.  Hutan tanah tinggi ini membekalkan kayu balak dan ramuan ubat-ubatan.  Kayu balak dan pelbagai ramuan ubat tradisional daripada pokok-pokok di hutan ini menjadi sumber rezeki bagi sesetengah pihak.  Malah hutan ini turut berfungsi sebagai pembekal makanan kepada haiwan sepanjang tahun.  Di hutan tanah tinggi ini terdapat pelbagai jenis bunga, buah, daun, dan kacang yang menjadi sumber makanan hidupan.  Selain itu, hutan tanah tinggi ini menjadi habitat bagi beraneka spesies flora dan fauna.  Namun begitu, aktiviti-aktiviti manusia yang tidak terkawal telah menjejaskan ekosistem kawasan tanah tinggi tersebut.  Antara ancaman kawasan hutan tanah tinggi ini termasuklah pengambilan sumber galian dan pembalakan serta pengambilan spesies tumbuhan penting untuk tujuan komersial.  Kelemahan dalam perancangan pembangunan dan pengurusan serta penggunaan tanah secara berleluasa turut menjadi ancaman kawasan hutan tanah tinggi.  Ancaman-ancaman ini perlu dikawal untuk mengekalkan sumber hutan negara.

Faedah hutan tanah tinggi yang lain ialah hutan ini bertindak sebagai tempat rekreasi dan pelancongan.  Misalnya terdapat beberapa buah taman negara yang terletak di hutan tanah tinggi yang terdapat di banjaran utama negara kita pula merupakan tanah tinggi.  Taman negara ini menjadi daya tarikan para pelancong dari dalam dan luar negara untuk berinteraksi dengan alam semula jadi.  Di samping itu, hutan ini juga merupakan sumber penyelidikan perubatan farmasi yang amat bernilai.  Pelbagai kajian dan penyelidikan dapat dijalankan bagi mendapatkan imput baharu untuk meningkatkan kesihatan masyarakat.

  1. Berikan maksud rangkai kata sumber rezeki?
  2. Pengarang mengemukakan beberapa ancaman kawasan hutan tanah tinggi yang perlu dikawal untuk mengekalkan sumber hutan negara.  Nyatakan ancaman-ancaman tersebut
  3. Pada pendapat anda, huraikan kesan-kesan pembalakan secara tidak terkawal di kawasan hutan tanah tinggi kepada alam sekitar.

Petikan 8 – PPD Mersing 2016

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan generasi muda dalam mengisi kemerdekaan dan langkah-langkah meningkatkan kesedaran tentang semangat cinta akan negara dalam kalangan generasi muda.  Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Tahun ini Malaysia meraikan Hari Kemerdekaan yang ke-58 tahun.  Diam tidak diam sudah hampir separuh abad negara kita terlepas daripada cengkaman penjajah.  Menjadi rutin tahunan, menjelang sahaja bulan Ogos atau juga dikenali bulan kemerdekaan, agensi atau kementerian yang berkenaan akan mula menjalankan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang.  Namun begitu, perkara yang menjadi kebimbangan banyak pihak ialah generasi muda tidak mengambil endah tentang hari kemerdekaan.  Mereka sewajarnya menghayati erti kemerdekaan dengan mendalam.

Banyak kemajuan yang telah dicapai oleh generasi muda melalui usaha keras mereka sendiri dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.  Walau bagaimanapun, generasi muda juga menghadapi pelbagai masalah.  Jika hal ini tidak diatasi secara menyeluruh akan memberi kesan kepada kesan pembangunan.  Pelbagai permasalahan sosial dalam kalangan generasi muda kerap diperkatakan.  Hal ini terbukti menerusi kes jenayah dan salah laku membabitkan mereka di negara kita kian serius dan bertambah kronik.  Penyalahgunaan dadah pula masih lagi memberi petunjuk bahawa kedudukan masalah ini masih pada peringkat yang membimbangkan.  Kesan penyalahgunaan dadah kepada negara boleh membantutkan usaha untuk menjayakan dasar-dasar yang diwujudkan.  Oleh itu, generasi muda perlu mengelakkan diri daripada dadah kerana mereka merupakan aset yang bernilai bagi negara.

Mereka juga kurang mempunyai semangat patriotik kerana dikatakan tidak dapat merasai detik-detik kepayahan dalam menuntut kemerdekaan di samping hidup pada zaman yang selesa.  Mereka sepatutnya bertanggungjawab membina kejayaan negara iaitu sanggup bekerja keras untuk negara.  Generasi muda juga perlu mementingkan kecemerlangan dalam pendidikan.  Hal ini demikian kerana pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju menjelang 2020.

Generasi muda perlu membantu pihak kerajaan bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan negara.  Hal ini demikian kerana keamanan dapat mengelakkan negara daripada serangan musuh sama ada berbentuk fizikal atau psikologi.  Tambahan pula, tugas generasi muda adalah untuk memastikan Malaysia akan terus berpegang pada konsep keadilan dan kesaksamaan.  Dengan ini, semua rakyat dapat menikmati kemakmuran dan kemajuan bersama-sama.  Selain itu, generasi muda yang akan mengisi perjuangan kemerdekaan hendaklah memastikan prinsip demokrasi akan terus diamalkan di samping dapat mengurus negara dengan bijak.  Sesungguhnya kejayaan negara dalam fasa kedua 58 tahun kemerdekaan memerlukan komitmen semua pihak terutama generasi muda.

 

  1. Berikan maksud rangkai kata membantutkan usaha
  2. Pengarang mengemukakan beberapa permasalahan sosial dalam kalangan generasi muda.  Nyatakan permasalahan-permasalahan tersebut.
  3. Sambutan Bulan Kemerdekaan sering diadakan pada peringkat sekolah.  Pada pendapat anda, apakah faedah-faedah yang diperoleh daripada Sambutan Bulan Kemerdekaan tersebut?

 

 

 

Sinopsis Bab 28

Bab 28 : Koi-bito

Dahlia amat gembira kerana hubungan keluarganya dengan Nek Kiah semakin rapat.  Akan tetapi, dalam kegembiraan itu,  Dahlia rasa sedikit berduka kerana dia akan ke Kuala Lumpur selepas pertunangannya.  Nek Kiah telah menghadiahkan gelang pusaka kepada Dahlia.

Dahlia teringat kembali kenangannya sewaktu pergi membeli cincin dengan Azhari.  Kawan –kawan Dahlia  dan Cikgu Hisyam turut hadir sewaktu majlis pertunangannya.  Bas ke Kuala Lumpur akan bertolak pada pukul 5:00 petang tetapi rombongan keluarga Azhari belum juga sampai.  Dahlia semakin risau. Abahnya menyuruh Dahlia berkemas untuk bertolak ke Kuala Lumpur.  Haji Sulaiman menyerahkan sumbangan orang kampung kepada Dahlia sebanyak RM500 termasuk yang diberi oleh Tauke Lim sebanyak RM300.

Akhirnya, Dahlia tiba di stesen bas Bandar Penggaram yang jauhnya kira-kira 17 kilometer dari kampungnya.  Azhari datang berjumpa dengan Dahlia  dan memberitahu punca kelewatannya kerana jurucakap majlis yang merupakan pak ciknya lambat sampai.  Sebelum menaiki bas, Azhari telah menghadiahkan sehelai songket berbenang emas berwarna merah kepada Dahlia.  Azhari juga menyebut “Koi-bito” yang tidak diketahui maksudnya.  Azhari meminta Dahlia agar menjaga jati diri sebagai orang Melayu walau berada di mana-mana pun.

Sinopsis Bab 27

Bab 27: Bunga-bunga Kejayaan dalam Genggaman

Cikgu Daim telah datang ke rumah Embong untuk memberitahu bahawa Dahlia telah terpilih untuk mengikuti pengajian di salah sebuah universiti di  Jepun selama empat tahun.  Pemilihan Dahlia dibuat atas cadangan sekolahnya dan Jabatan Pelajaran Johor berdasarkan pencapaiannya dalam peperiksaan. Sebelum bertolak ke Jepun Dahlia akan belajar bahasa Jepun di Universiti Malaya selama enam bulan.

Azhari terdengar berita itu ketika dia datang untuk membeli cincin pertunangan mereka.  Dia mengucapkan tahniah dan merelakan Dahlia belajar di Jepun. Dahlia akan mendaftar di Universiti Malaya sehari selepas dia bertunang dengan Azhari.

Sinopsis Bab 26

Bab 26: STPM, akan Kugapai Kecemerlangan

Dahlia sibuk membuat persiapan terakhir sebelum peperiksaan STPM menjelang. Dalam kesibukan itu, Azhari telah datang dengan ibunya bagi membincangkan tarikh pertunangan mereka. Keputusan dibuat pada 30 Disember, iaitu selepas Dahlia tamat peperiksaannya.  Dahlia hanya menurut sahaja kehendak keluarga Azhari dan keluarganya.

Selepas tamat peperiksaan, Dahlia berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan kawan-kawannya.  Dahlia juga memberitahu Siti Wangi dan Kavita tentang pertunangannya.  Dahlia juga bercadang untuk bekerja di kilang semasa cuti demi meraih pengalaman.

Sinopsis Bab 25

Bab 25: Inilah Kampungku!

Banjir telah menyebabkan rumah Embong roboh .  Nek Kiah telah mengajak Embong sekeluarga tinggal di rumahnya.  Mereka bersyukur akan perubahan Nek Kiah.  Nek Kiah juga tidak lagi menyebut tentang tanah yang hendak dijual itu.

Sebelum semua mangsa banjir pulang ke rumah masing-masing, Haji Sulaiman telah menyampaikan ucapan kepada penduduk Kampung Parit Haji Rais.  Beliau menyeru agar penduduk kampung saling membantu antara satu sama lain dan prihatin akan masalah jiran tetangga.  Beliau juga berharap supaya penduduk kampung bersatu dan bersama-sama menjayakan apa-apa projek di kampung itu keran mereka hidup bermasyarakat.

Kesan daripada kata-kata Haji Sulaiman, penduduk kampung itu mulai insaf dan mereka telah bergotong-royong  membina rumah Embong semula dengan wang sumbangan parti.  Haji Sulaiman bangga akan perubahan sikap penduduk kampungnya.  Begitu juga dengan Tauke Lim.  Dahlia amat terharu dan terasa dirinya tidak disisihkan.  Tauke Lim mengusik Dahlia, rumah baharu nanti bolehlah dia naik pelamin.

Sinopsis Bab 24

Bab 24: Runtuhnya Tembok Kesombongan

Nek Kiah tinggal di rumah Embong selepas dimasukkan ke wad selama dua hari. Nek Kiah berasa bersalah terhadap keluarga Embong yang tetap melayannya dengan baik.  Anak-anak dan cucunya yang lain, termasuk Seman langsung tidak menziarahinya ketika dia sakit.

Pada hari itu, hujan turun dengan lebat.  Air sungai sudah mula melimpah.  Abu Bakar memaklumkan jambatan telah patah dan orang kampung telah mula mengemas barang-barang untuk berpindah ke balai raya.  Embong dah ahli keluarganya turut berkemas untuk berpindah ke balai raya.

Dahlia dan keluarganya berpindah dengan menaiki bot ke balai raya.  Terdengar rungutan penduduk tentang keadaan yang berlaku itu.  Bagi Haji Sulaiman, banjir yang  berlaku  itu ada hikmah yang tersendiri.

Sinopsis Bab 23

Bab 23: Sinar Kebahagiaan

Dahlia kembali semula ke sekolah. Kehadiran Dahlia disambut dengan gembira oleh kawan-kawannya.  Kavita memberitahu Dahlia bahawa Najib begitu berharap agar Dahlia dapat menerima cintanya.  Akan tetapi, Dahlia hanya menganggap Najib sebagai sahabat sahaja.

Semasa pulang ke rumah, Dahlia amat gembira apabila mendapati emaknya telah pulang dari hospital.  Saleha telah pulih daripada penyakitnya.  Azhari juga ada bersama-sama ketika itu.  Dahlia mengajak Azhari  pergi ke rumah neneknya.  Nek Kiah terbaring dalam keadaan mata yang terpejam.  Panggilan Dahlia juga tidak disahutnya.