Latar Masyarakat

Berdasarkan dua buah novel yang telah anda kaji, huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam setiap novel tersebut.

Dalam novel Jendela Menghadap Jalan, karya Ruhaini Mat Darin, terdapat latar masyarakat yang suka menuduh tanpa usul periksa.  Contohnya, masyarakat kampung telah membawa sepanduk dan melaung-laungkan nama Haji Abdul Rahman sebagai pengkhianat  kerana dikatakan bersubahat dengan Sugi untuk memujuk orang kampung menjual tanah mereka kepada pemaju.

Dalam novel Songket Berbenang Emas, karya Khairuddin Ayip, terdapat latar masyarakat yang suka memfitnah orang lain. Contohnya, Aton telah melemparkan fitnah kepada Dahlia yang dikatakan menjadi punca anaknya mati lemas di dalam sungai sedangkan hakikatnya Dahlia telah berusaha untuk menyelamatkan Said.

 

Konflik

Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan cara watak utama menyelesaikan dua konflik yang dihadapinya.

Saya telah mengkaji novel Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Mat Darin.  Terdapat banyak konflik yang dihadapi oleh watak utama  dan berjaya diselesaikan olehnya.

Watak utama berdepan dengan konflik untuk membuat keputusan pulang ke kampung(pernyataan).  Buktinya, Lili menghadapi konflik untuk membuat pilihan apabila dia diminta oleh ibunya untuk pulang ke kampung sedangkan dia telah ada perancangan untuk menghabiskan cuti persekolahan terakhirnya bersama rakan-rakan.  Bagi menyelesaikan konflik itu, Lili mengambil keputusan untuk memenuhi permintaan ibunya dan menyembunyikan perasaannya.

Watak utama juga berdepan dengan konflik simpati terhadap ibu yang menghadapi masalah keluarga.  Contohnya, Lili bersimpati dengan nasib Che Jah yang sering didera suami tidak bertanggungjawab.  Bagi menyelesaikan konflik ini, Lili telah mendapatkan bantuan Puan Hamimah, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyelesaikan masalah tersebut.


Saya telah mengkaji novel Songket Berbenang Emas karya Khairudin Ayip.  Terdapat banyak konflik yang dihadapi oleh watak utama dipaparkan dalam novel ini.

Watak utama berdepan dengan konflik menguruskan adik-adik semasa ibu dan ayahnya dimasukkan ke dalam wad.  Ibu ayahnya dimasukkan ke hospital akibat tekanan jiwa dan ayahnya pula dipatuk ular.  Dahlia menyelesaikan konflik ini dengan keluar dari asrama dan ponteng sekolah kerana terpaksa menjaga adik-adiknya.

Watak utama juga berdepan dengan konflik neneknya yang tidak menyayangi keluarga mereka.  Contohnya, Nek Kiah selalu menyindir kemiskinan yang dialami oleh keluarga Dahlia.  Dahlia menyelesaikan konflik ini dengan sentiasa memberikan layanan yang baik terhadap neneknya dan sikap ambil berat ketika neneknya sakit telah membuka pintu hati neneknya untuk menerima mereka.

 

 

Persoalan-Kegigihan

Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan satu persoalan kegigihan watak utama yang terdapat dalam setiap novel.

Novel yang saya kaji ialan Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Mat Darin.  Dalam novel ini terdapat persoalan kegigihan yang dipaparkan.

Terdapat persoalan kegigihan menyelesaikan konflik kekeluargaan.(persoalan).  Contohnya, Lili gigih membantu Che Jah dan anak-anaknya daripada terus menjadi mangsa penderaan Seman.  Lili mendapatkan bantuan Kak Mimah, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam hal ini.

Persoalan seterusnya ialah kegigihan mencungkil rahsia reka bentuk jendela yang menghadap jalan.  Lili gigih bertanya berkali-kali kepada datuknya tentang punca jendela di kampung itu yang menghadap jalan walaupun datuknya tidak memperdulikan pertanyaannya itu.

Terdapat persoalan kegigihan menangani isu kubah.  Lili dan Danel gigih meyakinkan penduduk kampung untuk menyelesaikan isu kubah yang menjadi konflik dengan mencadangkan agar sebuah masjid baru dibina bagi kegunaan penduduk kampung.

Latihan 12- Burung Terbang dipipiskan lada

Adapun segala orang Siam yang kembali itu, telah ia sampai ke benua Siam, maka Awi Dicu pun masuk menghadap Paduka Bubunnya. Maka Paduka Bubunnya pun terlalu marah; maka ia sendiri hendak pergi menyerang Melaka itu. Maka ada seorang anak Paduka Bubunnya, Cau Pandan namanya.

Maka ialah bercakap Ke Bawah Duli Paduka Bubunnya hendak menyerang Melaka, sembahnya, “Duli Pra Cau, lengkapi patik, patiklah mengalahkan Melaka itu.” Maka Paduka Bubunnya pun terlalu suka mendengar sembah Cau Pandan itu. Maka baginda pun menyuruh berlengkap kepada Pra Kelong delapan ratus sum, lain perahu kecil-kecil tiada terbilang lagi, sekadar menantikan musim juga lagi.

Maka kedengaranlah ke Melaka, Cau Pandan, anak Bubunnya, akan dititahkan menyerang Melaka. Maka ada seorang hamba Allah diam di Melaka, bangsanya Arab, Sidi Arab namanya disebut orang. Maka tuan itu senantiasa bermain panah lasykar, seperti dewal orang berzikir. Barang ke mana tuan itu pergi, panah itu dibawanya. Maka tatkala itu Tuan Sidi Arab itu pun ada menghadap Sultan Muzaffar Syah. Telah tuan itu mendengar khabar Cau Pandan akan datang ke Melaka itu, maka tuan itu pun berdiri di hadapan baginda. Maka dihalakannya panahnya itu ke benua Siam. Maka kata Tuan Sidi Arab, sambil menarik panahnya itu, “Mati engkau, Cau Pandan.” Maka Sultan Muzaffar Syah pun tersenyum; maka titah baginda pada Tuan Sidi Arab itu, “Jikalau sungguh mati Cau Pandan, sungguhlah tuan keramat.”

Latihan 11 – Burung Terbang dipipiskan Lada

Maka kedengaranlah ke Melaka, Cau Pandan anak Bubunnya, akan dititahkan menyerang Melaka. Maka ada seorang hamba Allah diam di Melaka, bangsanya Arab, Sidi Arab namanya disebut orang. Maka tuan itu senantiasa bermain panah lasykar, seperti dewal orang berzikir. Barang ke mana tuan itu pergi, panah itu dibawanya. Maka tatkala itu, Tuan Sidi Arab itu pun menghadap Sultan Muzaffar Syah. Telah tuan itu mendengar khabar Cau Pandan akan datang ke Melaka itu, maka tuan itu pun berdiri di hadapan baginda. Maka dihalakannya panahnya itu ke benua Siam. Maka kata Tuan Sidi Arab, sambil menarik panahnya itu, “Mati engkau, Cau Pandan.”

Maka Sultan Muzaffar Syah pun tersenyum; maka titah baginda pada Tuan Sidi Arab itu, “Jikalau sungguh mati Cau Pandan, sungguhlah Tuan keramat.”

Adapun Cau Pandan itu, lagi di benua Siam, maka berasa kepada dadanya seperti kena panah, maka Cau Pandan pun sakit muntahkan darah lalu mati. Maka tidaklah jadi Siam menyerang Melaka, sebab mati Cau Pandan itu. Maka itulah diperbuatkan orang nyanyi:

Cau Pandan anak Bubunnya, hendak menyerang ke Melaka; Ada cincin berisi bunga, Bunga berladung si air mata.


i.  Berikan maksud rangkai kata sungguhlah tuan keramat.

Maksud rangkai kata sungguhlah tuan keramat ialah benarlah Sidi Arab hebat.


ii.  Bagaimanakah Tuan Sidi Arab berjaya menghalang Cau Pandan anak Bubunnya daripada menyerang Melaka?

Tuan Sidi Arab berjaya menghalang Cau Pandan anak Bubunya daripada menyerang Melaka dengan cara membunuhnya dari jauh menggunakan anak panah yang sering dibawanya.  Panah itu dihalakan ke Benua Siam dan Sidi Arab berkata “Matilah engkau Cau Pandan” sambil menarik anak panahnya.


iii.  Tuan Sidi Arab amat pakar dalam memanah. Pada pendapat anda, apakah kepentingan khidmat pakar dalam sistem pertahanan sesebuah negara?

Pada pendapat saya, khidmat pakar dalam sistem pertahanan sesebuah negara amat penting untuk mengkaji kelebihan dan kelemahan sistem pertahanan negara.  Mereka juga dapat menghasilkan strategi baru untuk mengatasi kelemahan yang ada.  Pihak musuh juga akan berasa gerun jika sesebuah negara mempunyai pakar yang diakui dalam sistem pertahanan negara.

Latihan 10 – Burung Terbang dipipiskan Lada

Syahadan, pada suatu hari, maka Tun Perak datang menghadap, duduk di tanah samasama orang banyak. Maka kata bentara yang bergelar Seri Amerta kepada Tun Perak, “Tuan Tun Perak, segala orang Kelang ini menghadap baginda mengadukan halnya kepada Duli Yang Dipertuan. Adapun orang teluk rantau yang lain semuanya menghadap laki-laki juga; adapun orang Kelang ini menghadap bahawa Tun Perak dengan membawa perempuan sekali. Mengapakah maka demikian fiil tuan?”

Maka tiada disahut oleh Tun Perak kata itu. Sekali lagi Seri Amerta berkata, itu pun tiada disahuti oleh Tun Perak. Genap tiga kali Seri Amerta berkata itu, maka barulah disahuti oleh Tun Perak, katanya, “Hai Seri Amerta, tuan hamba dengan pedang tuan hamba sebilah itu juga, hendaklah baik baik tuan hamba peliharakan, jangan diberi berkarat, jangan kemakanan matanya. Akan pekerjaan kami orang bekerja ini, di mana tuan hamba tahu? Adapun akan sekarang Duli Yang Dipertuan di dalam negeri ini dengan perempuan anak isteri dan segala perkakas. Maka benarkah pada fikir tuan hamba, kami sekalian datang dengan laki-laki juga, dengan begini jauh Selat Kelang? Jikalau satu hal negeri ini, apa hisab pada kami sekalian? Sebab itulah maka segala orang Kelang ini hamba suruh bawa dengan anak isterinya sekali. Nescaya berperang dengan bersungguh-sungguh hatinya; kurang-kurang ia berlawankan Duli Yang Dipertuan lebih ia berlawankan anak isterinya bersungguh-sungguh.”

Dipetik daripada ‘Burung Terbang Dipipiskan Lada’ Dalam antologi Sejadah Rindu.

i. Berikan maksud rangkai kata jangan kemakanan matanya.

Maksud rangkai kata jangan kemakanan matanya ialah usah dibiarkan rosak.

——————————-

ii.  Tun Perak memberikan beberapa peringatan kepada Seri Amerta. Nyatakan peringatan-peringatan tersebut.

Antara peringatan Tun Perak kepada Seri Amerta adalah supaya dia menjaga pedangnya baik-baik agar tidak berkarat dan tidak tumpul.

——————————-

iii.  Pada pendapat anda, wajarkah Tun Perak menyuruh orang Kelang datang ke Melaka untuk berperang dengan membawa anak dan isteri mereka?

Pada pendapat saya, Tun Perak wajar menyuruh orang Kelang datang ke Melaka untuk berperang dengan anak dan isteri mereka supaya orang lelaki Kelang akan bersungguh-sungguh mempertahankan negeri Melaka kerana anak dan isteri mereka berada di situ.  Orang lelaki Kelang juga tidak akan risau jika orang Siam mengubah taktik menyerang negeri jajahan Melaka yang lain dahulu sebelum menyerang Melaka.

Latihan 9 – Burung Terbang dipipiskan Lada

Adapun segala orang Siam yang kembali itu, telah ia sampai ke benua Siam, maka Awi Dicu pun masuk menghadap Paduka Bubunnya. Maka Paduka Bubunnya pun terlalu marah; maka ia sendiri hendak pergi menyerang Melaka itu. Maka ada seorang anak Paduka Bubunnya, Cau Pandan namanya. Maka ialah bercakap Ke Bawah Duli Paduka Bubunnya hendak menyerang Melaka, sembahnya “Duli Pra Cau, lengkapi patik, patiklah mengalahkan Melaka itu.”

Maka Paduka Bubunnya pun terlalu suka mendengar sembah Cau Pandan itu. Maka baginda pun menyuruh berlengkap kepada Pra Kelong delapan ratus sum, lain perahu kecil-kecil tiada terbilang lagi, sekadar menantikan musim juga lagi.

Maka kedengaranlah ke Melaka, Cau Pandan, anak Bubunnya akan dititahkan menyerang Melaka. Maka ada seorang hamba Allah diam di Melaka, bangsanya Arab, Sidi Arab namanya disebut orang. Maka tuan itu senantiasa bermain panah lasykar, seperti dewal orang berzikir. Barang ke mana tuan itu pergi, panah itu dibawanya. Maka tatkala itu Tuan Sidi Arab itu pun ada menghadap Sultan Muzaffar Syah. Telah tuan itu mendengar khabar Cau Pandan akan datang ke Melaka itu, maka tuan itu pun berdiri di hadapan baginda. Maka dihalakannya panahnya itu ke benua Siam. Maka kata Tuan Sidi Arab, sambil menarik panahnya itu, “Mati engkau, Cau Pandan.”

i.  Berikan maksud rangkai kata sekadar menantikan musim juga lagi.

Maksud rangkai kata menantikan musim juga lagi ialah hanya menunggu masa.

—————————————

ii. Nyatakan reaksi Sidi Arab sebaik sahaja mendapat tahu bahawa Melaka akan diserang oleh Siam.

Sebaik sahaja Sidi Arah mendapat tahu bahawa Melaka akan diserang oleh Siam, dia terus menghadap Sultan Muzaffar Syah. Smabil berdiri di hadapan sultan, Sidi Arab menghalakan panahnya ke arah Benua Siam.  Sambil menarik panahnya, Sidi Arab berkata “Mati engkau, Cau Pandan.”

—————————————

iii.  Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh kerajaan sebelum menghadapi peperangan.

Pada pendapat saya, sebelum menghadapi peperangan, sesebuah kerajaan perlu memastikan bala tenteranya bersedia dari segi mental dan fizikal.  Selain itu, kerajaan perlu menyediakan kelengkapan perang yang mencukupi.  Kerajaan juga perlu menyediakan bekalan makanan dan ubat-ubatan yang lengkapStrategi peperangan yang berkesan juga perlu dicari untuk menawan musuh.

Latihan 8 – Burung Terbang dipipiskan Lada

Maka ada seorang anak Seri Bija Diraja, Tun Umar namanya, terlalu berani, kelakuannya gila-gila bahasa. Maka disuruhkan oleh Bendahara Paduka Raja suluh perahu Siam itu. Maka Tun Umar pun pergilah dengan sebuah perahunya olang-oleng. Telah bertemu dengan perahu Siam yang banyak itu, maka dilanggarnya sekali, dua tiga buah perahu Siam alah, lalu ia terus ke sebelah; maka ia berbalik, dilanggarnya pula yang lain, itu pun dua tiga buah perahu Siam alah. Maka Tun Umar pun kembalilah. Maka orang Siam terlalu hairan melihat kelakuan Tun Umar itu.

Telah hari malam, maka Awi Dicu pun datanglah. Maka oleh Bendahara Paduka Raja segala pohon kayu bakau dan nyirih dan tumpu api-api itu sekaliannya disuruhnya tambati puntung api. Telah dipandang oleh orang Siam api tiada terbilang lagi banyaknya, maka kata hulubalang Siam, “Terlalu banyak kelengkapan perahu Melaka ini, tiada terbilang lagi.  Jikalau ia datang apa hal kita? Sedang sebuah perahunya tadi lagi tiada terlawan oleh kita.”

Maka kata Awi Dicu, “Benarlah seperti kata kamu itu; marilah kita kembali sementara belum siang ini.” Maka segala orang Siam pun kembalilah. Adapun perigi di Batu Pahat itu, orang Siamlah membuat dia.

i. Berikan maksud kelakuannya gila-gila bahasa?

——————————-

ii.  Apakah tindakan Tun Umar untuk menghalang serangan Siam?

Tun Umar bertindak dengan cara menyuluh perahu Siam, sebaik bertemu perahu Siam dia pun melanggar perahu tersebut.  Kemudian Tun Umar ke bahagian lain dan melanggar perahu-perahu Siam yang lain.

—————————-

iii. Pada zaman dahulu, istana raja dibina di tempat yang tinggi. Pada pendapat anda, mengapakah istana raja dibina di tempat yang tinggi?

Pada pendapat saya, istana raja dibina di tempat yang tinggi untuk menggambarkan kedudukan raja yang tinggi dalam negara.  Selain itu, kawasan istana tidak akan mudah diserang oleh musuh dan juga terselamat daripada bencana alam seperti banjir.

KC8- Masalah Keruntuhan Akhlak

Remaja sering dianggap menghadapi krisis identiti sehingga menyebabkan mereka terjerumus dalam kancah negatif.

Huraikan strategi-strategi untuk membantu remaja mengatasi masalah ini.

Remaja alaf milenium sering kali mencetuskan polemik berkaitan keruntuhan akhlak yang mendapat perhatian masyarakat.  Penglibatan dalam kancah penyalahgunaan dadah, perlakuan seks bebas sehingga mengundang perbuatan membuang bayi yang tidak berdosa, kegiatan menunjukkan kehebatan di jalan raya dan pelbagai rencam perbuatan selalu menjadi bahan perdebatan antara remaja dan golongan dewasa yang rata-rata beranggapan bahawa akhlak remaja hari ini semakin kronik.  Menurut kaca mata remaja, mereka sekadar ingin melepaskan tekanan dan gelodak rasa yang melingkari jiwa.  Sampai masanya mereka akan bertaubat daripada perlakuan-perlakuan yang dianggap menyusahkan ahli masyarakat yang lain.  Senario ini berlaku disebabkan pada usia remaja, kebanyakan mereka mengalami krisis identiti iaitu masalah dalam diri untuk mematuhi budaya dan gaya hidup yang berada di landasan yang selari dengan nilai murni.  Kegagalan inilah yang menjadi punca remaja begitu mendambakan budaya hedonisme.  Namun, masih ada remaja yang mempunyai jati diri dan tidak terlibat dalam kancah negatif.  Hal ini membuktikan bahawa jika strategi yang tepat dilakukan, pasti remaja yang bermasalah dapat diselamatkan sebelum nasi menjadi bubur.

Perlakuan negatif remaja biasanya dikaitkan dengan masalah kurangnya didikan agama dan pengamalan nilai murni dalam diri.  Ibu bapa sudah pasti dipersalahkan dalam hal ini kerana dianggap gagal mendidik anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna.  Ibu bapa usah melenting dengan tanggapan ini sebaliknya menyahut cabaran menggalas tanggungjawab untuk memastikan anak-anak mendalami ilmu agama sejak kecil.  Seharusnya mereka menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan menunjukkan sikap yang baik di hadapan anak-anak.  Di sebalik kesibukan mencari rezeki, ibu bapa patut mencuri masa untuk turut serta dalam kelas agama yang dihadiri oleh anak-anak ataupun menggunakan masa tersebut untuk menerapkan nilai murni.  Penerapan nilai murni dalam hidup juga boleh diterapkan secara santai melalui aktiviti menonton televisyen bersama-sama ahli keluarga.  Ibu bapa perlu menjelaskan impak perlakuan yang dilakonkan oleh pelakon dalam rancangan yang ditonton.  Tidak dapat dinafikan bahawa  kecemerlangan individu biasanya dikaitkan dengan kejayaan ibu bapa mencorakkan anak tersebut.

 

Pihak sekolah merupakan entiti yang mampu mempengaruhi remaja.  Peranan efisien unit bimbingan dan kaunseling sangat diperlukan dalam usaha menangani remaja yang terlibat dalam kancah negatif ini.  Tindakan pembetulan perlu dilakukan dengan cara mendidik remaja untuk mengenal diri.  Kaunselor yang berpengalaman mampu mencungkil punca remaja melepaskan tekanan emosi mereka dengan cara yang salah.  Perhatian dan sentuhan kasih sayang yang diberikan oleh kaunselor ataupun guru di sekolah juga sedikit sebanyak mampu memberikan kesedaran kepada remaja untuk kembali ke pangkal jalan.  Jika remaja ini dilabelkan sebagai pelajar nakal atau pelajar bermasalah dan mereka diabaikan di sekolah, masalah akan lebih meruncing.  Pihak sekolah juga perlu melakukan tindakan pencegahan dengan cara mengadakan ceramah kesedaran kepada seluruh warga pelajar untuk mengingatkan mereka tentang akibat jika terlibat dalam kancah negatif.  Pihak polis boleh dijemput agar kempen lebih berkesan.  Jika sekolah menjadi pusat untuk mencegah dan mengawal masalah jiwa remaja, pasti negara akan mempunyai bakal pelapis negara yang berwibawa.

 

Masyarakat lebih gemar mencaci perlakuan buruk remaja berbanding mencari jalan untuk menyelesaikan masalah.  Sikap menuding jari yang dilakukan oleh masyarakat terutamanya golongan yang lebih makan garam sebenarnya mencetuskan pergolakan dalam diri remaja untuk semakin memberontak.  Langkah yang paling mudah dalam menangani masalah ini ialah masyarakat tidak bersikap mudah melatah.  Penduduk setempat perlu mengambil pendekatan untuk mendekati remaja yang bermasalah dan mula memberikan bantuan.  Jika remaja setempat terlibat dalam penyalahgunaan dadah, masyarakat boleh bekerjasama dengan Akademi Antidadah Kebangsaan untuk mendapatkan bantuan.  Ibu bapa remaja terbabit juga perlu diberikan sokongan untuk bekerjasama dalam usaha menyelamatkan anak mereka yang sakit.  Jika remaja yang bermasalah sentiasa didekati oleh golongan dewasa tanpa sikap mencemuh dan menyalahkan, sedikit sebanyak usaha untuk membantu mereka akan dapat dilakukan kerana mereka akan jadi malu alah dengan insan yang mengambil berat terhadap mereka.  Usaha ahli masyarakat perlu dilipatgandakan dan semangat kejiranan yang diamalkan oleh masyarakat zaman dulu perlu kembali disemarakkan.

 

Budaya hedonisme yang mewarnai hidup remaja hari ini berpunca daripada penularannya melalui media massa terutamanya melalui media sosial.  Agak sukar bagi pihak kerajaan untuk menyekat semua laman web yang menyerang norma hidup remaja di Malaysia kerana kita menjunjung dasar langit terbuka.  Selain ibu bapa dan pihak sekolah yang berusaha untuk memantapkan jati diri remaja, pihak media massa boleh membantu dengan cara memaparkan iklan-iklan atau drama pendek yang bertujuan untuk menyemai nilai murni dan pengajaran dalam hidup.  Filem yang mengangkat tema budaya hidup bebas perlu dihadkan penayangannya oleh media massa dengan pemantauan pihak kerajaan.  Artis-artis yang mengamalkan budaya hidup sihat wajar diketengahkan untuk dijadikan idola kepada anak muda.  Artis yang bermasalah juga boleh dijadikan tema drama berkisarkan penglibatan mereka dalam kancah negatif dan penyesalan yang telah dilalui oleh mereka.  Rata-ratanya, remaja lebih mudah menerima nasihat daripada orang yang menjadi idola mereka.  Media massa perlulah kreatif menggunakan saluran mereka untuk mendidik anak bangsa ke arah yang lebih baik walaupun melalui hiburan.

Usaha pihak kerajaan juga diperlukan untuk memastikan negara bertuah ini memiliki bakal pewaris tampuk kepimpinan negara yang berwibawa.  Hukuman penjara terhadap remaja bawah umur mungkin perlu dikaji dengan lebih mendalam agar lebih bersifat untuk mendidik.  Remaja bawah umur ditahan di sekolah juvana tetapi keberkesanan program yang diadakan semasa menjalani hukuman tersebut perlu ditambahbaik.  Mereka yang ditahan perlu diberi peneguhan jati diri yang kukuh agar setelah bebas kelak mereka tidak akan terpujuk untuk kembali ke lembah yang pernah menyebabkan mereka dihukum.  Modul penguasaan kemahiran juga perlu disesuaikan dengan keperluan tenaga kerja semasa supaya pesalah juvana ini dapat membina hidup baru dengan kemahiran yang ada.  Selain itu, kerajaan juga perlu mengkaji bentuk hukuman yang lebih bersifat untuk mendidik.  Remaja yang terlibat dalam salah laku bukan jenayah juga perlu menjalani program pemulihan di bawah agensi yang mempunyai kepakaran untuk membimbing mereka kembali ke pangkal jalan.  Jika kerajaan merangka strategi yang berkesan, pasti masalah remaja kecundang dalam menentukan hala tuju dapat dikurangkan.

 

Kesimpulannya,  tersilap langkah bukanlah penamat bagi remaja untuk mengharungi hidup yang lebih bersinar pada masa hadapan.  Jangan bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing apabila berdepan dengan masalah melibatkan remaja.  Mereka perlu diberikan bimbingan dan tunjuk ajar untuk menentukan yang mana salah dan yang mana betul mengikut norma yang diterima oleh semua peringkat masyarakat.  Remaja pasti dapat menjalani hidup dengan lebih baik melalui kerjasama ibu bapa, pihak sekolah, media massa, pihak kerajaan dan sebagainya.  Jika semua pihak berganding bahu, sudah pasti hasrat Perdana Menteri Malaysia untuk melahirkan bangsa Malaysia yang terbilang mengikut acuan sendiri akan tercapai.  Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

 

KC7-Keruntuhan Akhlak Remaja

Masalah keruntuhan akhlak remaja sudah sampai ke tahap yang kronik.  Mengapakah fenomena ini berlaku dan apakah cara untuk mengatasinya ?

 

Tema Keruntuhan akhlak remaja
Fokus punca dan cara menangani
Contoh pergaulan bebas, budaya hedonisme
Ungkapan menarik masa itu emas

Dalam keghairahan meniti arus globalisasi , isu keruntuhan akhlak remaja bukanlah satu isu yang harus dipandang sepi oleh semua pihak terutamanya pihak peneraju negara kerana golongan inilah yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara satu hari kelak.  Remaja hari ini tenggelam dalam budaya hedonisme sehingga kabur dalam mencari cahaya masa hadapan mereka.  Kebanyakan mereka bergelumang dalam masalah penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas, pembuangan bayi, lumba haram dan sebagainya sehingga memeningkan masyarakat dan adakalanya menimbulkan keresahan apabila kadar jenayah yang melibatkan mereka semakin meruncing.  Menyedari hakikat ini, punca dan langkah untuk menangani kemelut ini perlulah dijadikan agenda utama semua pihak demi kelangsungan masa depan negara.

Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.  Peribahasa ini amat signifikan dengan senario kesibukan ibu bapa era digital.  Keruntuhan akhlak remaja masa ini berpunca daripada kurangnya perhatian terhadap anak-anak mereka sehingga ada remaja yang terlibat dalam pelbagai perlakuan negatif seperti menghisap rokok, menagih dadah, seks bebas dan lain-lain.  Ada sesetengah ibu bapa mengambil jalan mudah menunjukkan kasih sayang dengan membekalkan anak-anak dengan pelbagai kemudahan seperti telefon pintar dan wang ringgit sebagai pengganti mereka yang sibuk bekerja. Waktu terluang yang ada pula banyak dihabiskan untuk memenuhi keperluan sosial bersama rakan-rakan alam maya berbanding mendekati anak-anak di rumah.  Sebagai ibu bapa yang bijak, mereka perlulah membahagikan masa yang berkualiti untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dalam mendidik anak-anak mereka menjadi insan yang berguna kepada nusa dan bangsa.

Jika diteliti dengan lebih mendalam, pengaruh persekitaran juga dilihat sebagai salah satu punca keruntuhan akhlak remaja masa ini.  Pengaruh negatif rakan sebaya, media massa, media sosial, kebanjiran pusat hiburan dan juga sikap menangguk di air yang keruh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab telah menjerumuskan remaja ke kancah negatif.  Remaja yang sedang meningkat usia biasanya mengalami krisis identiti dan kabur hala tuju.  Sikap ingin mencuba sesuatu yang baharu menyebabkan ruang untuk dipancing ke arah negatif terbuka luas.  Pada masa ini, mereka mudah  diajak untuk mencuba rokok, pil khayal dan keseronokan budaya hedonisme.  Lebih parah lagi apabila mereka direkrut untuk berjinak-jinak dengan dunia dadah dan ditawarkan habuan kemewahan hidup.  Media sosial tanpa batasan pula menyemarakkan lagi ruang untuk mendapatkan pelanggan baru sama ada untuk memasarkan dadah atau tanpa segan silu menawarkan perkhidmatan di ranjang.  Remaja perlu diberi peneguhan jati diri agar mampu membenteng nafsu daripada menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.  Didikan agama yang padu perlu diterapkan dalam jiwa anak-anak sehingga mereka mampu mengaplikasikan setiap ilmu yang ada di jiwa dalam ruang lingkup kehidupan.  Godaan dunia yang mungkin menjahanamkan hidup mereka pasti dapat ditepis jika pengamalan ilmu agama dan nilai etika menjadi darah daging mereka.  Usaha ini perlu dimulakan oleh ibu bapa sejak anak-anak masih kecil.  Peruntukkanlah sebahagian daripada wang gaji untuk perbelanjaan ilmu agama anak-anak agar ibu bapa tidak menyesal kemudian hari.  Lebih tepat lagi, ibu bapa sendiri yang menjadi guru untuk mendidik anak-anak tentang amalan hidup murni.  Anak-anak juga perlu dijelaskan tentang akibat dan risiko terlibat dalam dunia maksiat sejak mereka masih muda supaya mereka tidak ingin mencuba sesuatu yang akan menjerat kehidupan masa depan mereka.  Ibu bapa perlu menjalani hidup yang positif agar menjadi suri teladan terhadap anak-anak.  Keluarga yang sakinah mampu dibentuk jika setiap ahli keluarga memainkan peranan masing-masing dengan berkesan.

Masyarakat juga perlu memainkan peranan penting tidak perlu bersikap menuding jari sesama sendiri jika berhadapan dengan situasi remaja yang bermasalah sebaliknya perlu memainkan tugas masing-masing kerana sikap meletakkan kesalahan terhadap orang lain menjadi punca yang dapat memburukkan lagi masalah sedia ada.  Ibu bapa juga perlu lebih terbuka menerima teguran dan pandangan daripada jiran sekeliling.  Jika budaya cakna seperti yang diamalkan oleh masyarakat zaman silam kembali menjadi budaya masyarakat alaf digital ini, pasti remaja berasa bimbang untuk melakukan kesalahan secara terbuka.  Saluran khusus secara dalam talian juga perlu disediakan oleh pihak berkuasa tempatan untuk memudahkan masyarakat melaporkan salah laku dalam kalangan remaja.  Situasi tanpa protokol yang melecehkan sebenarnya dapat menggalakkan budaya ambil berat dalam kalangan masyarakat.

Tuntasnya, terdapat pelbagai langkah yang perlu dilakukan oleh pelbagai pihak dalam usaha melahirkan remaja yang cemerlang, gemilang dan terbilang.  Usaha ini tidak dapat dilakukan dalam sekelip mata sebaliknya memerlukan pendekatan yang tepat dan kerjasama yang erat.  Sikap cubit paha kanan paha kiri terasa juga perlu menjadi amalan masyarakat yang akan mengambil berat setiap permasalahan atau kepincangan yang berlaku dalam komuniti setempat.  Punca telah dikenalpasti, cara juga telah disebarluaskan.  Usaha perlu diteruskan tanpa henti kerana masalah ini bukan masalah remeh yang hanya perlu dipandang sebelah mata.  Semoga hasrat Perdana Menteri Malaysia untuk melahirkan bangsa Malaysia yang berjiwa murni dengan acuan sendiri akan terlaksana pada suatu hari nanti.