Sinopsis Bab 1

Cerita bermula dengan Dahlia dan Siti Wangi yang keletihan berlatih bola jaring bersama rakan-rakannya di padang lalu duduk berehat di kerusi panjang.  Siti Wangi mengajak Dahlia untuk berjoging pada sebelah petang namun  Dahlia memberitahu Siti Wangi tentang keinginannya untuk balik ke kampung.  Siti Wangi mengusik Dahlia bahawa ada seseorang yang istimewa sedang menunggu Dahlia di kampung.  Usikan tersebut menyebabkan Dahlia teringat akan masalah ibunya yang bercakap sendirian di bawah pokok getah dan merayau tidak tentu arah apabila senja menjelang.

Kemudian Siti Wangi mengingatkan Dahlia tentang pembentangan kertas kerja yang disuruh oleh Cikgu Hisyam.  Mereka mencari maklumat tentang remaja yang meninggalkan bangku sekolah untuk bekerja.  Mereka mesti membuat kajian terperinci agar persembahan mereka mantap.  Perbualan mereka terputus apabila Kavita muncul dan memberitahu bahawa ada seorang lelaki berkumis nipis, tinggi dan kacak ingin berjumpa dengan Dahlia di kantin.

Di kantin, Dahlia berjumpa dengan Azhari, lelaki yang sudah lama tidak bersua muka.  Mereka berbual tentang pelajaran.  Dahlia pelajar STPM manakala Azhari akan mendapat ijazahnya pada bulan Ogos.  Selepas itu, Azhari menyampaikan hasratnya untuk menghantar rombongan ke rumah Dahlia untuk merisik, bertunang dan berkahwin dengan Dahlia.  Azhari dikenali Dahlia ketika mereka sama-sama menuntut di SMK Tun Ismail. Dahlia menyampaikan hasratnya yang masih mahu meneruskan pelajarannya kerana Dahlia merupakan anak sulung, malah dia telah mengatakan keinginannya untuk melihat adik-adiknya berjaya dalam pelajaran kepada ibu bapanya.  Azhari memberitahu bahawa dia tidak menghalang Dahlia untuk meneruskan pelajarannya malah menggalakkan Dahlia meneruskan pengajian ke peringkat yang tinggi.  Pertunangan mereka diharap dapat menjamin masa depan mereka untuk bersama-sama melayar bahtera perkahwinan.

Ketika mereka berbincang,  Dahlia melihat jam tangan di tangan kanannya sudah 4. 25 petang, pada kebiasaannya waktu seperti ini dia sudah menunggu bas untuk pulang.  Azhari ingin menghantar Dahlia tetapi Dahlia berasa keberatan kerana bimbang akan pandangan orang kampung terhadapnya.

 

KAJIAN BAB 1 

Berdasarkan ayat yang berwarna biru dalam sinopsis ini, huraikan perwatakan watak utama dan kepentingan ilmu dalam hidup seseorang.

Novel yang saya kaji ialah Novel Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip.  Watak utama iaitu Dahlia seorang yang bercita-cita tinggi.

Azhari yang dikenali Dahlia ketika sama-sama menuntut di SMK Tun Ismail telah menyatakan hasratnya untuk meminang Dahlia.  Namun Dahlia menyatakan hasratnya untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi demi mencapai cita-citanya.  Dahlia juga ingin berbakti kepada keluarganya terlebih dahulu dan bercita-cita untuk melihat kejayaan adik-adiknya.

Seseorang yang berilmu akan dipandang tinggi oleh masyarakat.  Selain dapat menjawat kerja yang lebih baik, taraf hidup seseorang juga akan lebih terjamin.  Pendapat atau pandangan orang yang berilmu biasanya lebih diambil berat.

 

Bab 1-Kalaulah Engkau Mengerti

Koleksi Soalan Menajamkan Pemahaman

Kalaulah engkau mengerti  betapa gawatnya hatiku dilanda kebimbangan tentang keadaan keluargaku dan kau tiba menuntut sebuah janji yang tidak dapat kutunaikan.

 

  1. Siti Wangi dan ____________ berlatih bermain __________ selama ______ minit di __________.
  2. Dahlia berhajat untuk pulang ke kampung kerana hatinya tidak keruan memikirkan keadaan ____________ iaitu ibunya.
  3. Ibu Dahlia bersikap aneh kerana _______________ di bawah pokok getah dan merayau tidak tentu arah pada waktu ___________.
  4. Dahlia berusaha melupakan kesedihan hatinya dengan cara menyibukkan diri di _______________.
  5. Dahlia dan rakan-rakannya bakal membentangkan kertas kerja berkaitan ___________________.
  6. Antara alasan yang menyebabkan remaja tercicir dalam pelajaran adalah _________________ dan ________________ .
  7. ______________ menyertai Dahlia dan Seri Wangi sekembalinya dia dari kantin sekolah beserta dengan sebuah pesanan iaitu seorang lelaki kacak ingin bertemu dengan ___________di _______________.
  8. Nama penuh lelaki bergelar Az ialah _______________.  Dia bakal menamatkan pengajian di universiti pada bulan ______________.
  9. Azhari mempunyai hajat besar untuk _____________ Dahlia tetapi Dahlia menolak dengan alasan dia masih ______________ dan dia mahu ______________________.
  10. Azhari dan Dahlia pernah belajar bersama di ____________________.
  11. Azhari menawarkan diri untuk menghantar Dahlia pulang ke kampung tetapi Dahlia bimbang tentang _____________________________.

Rumusan 1 – Kedah 2016

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca remaja terlibat dengan budaya hedonisme dan langkah-langkah kerajaan membendungnya.  Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Budaya hidup dalam keseronokan atau dikenali sebagai hedonisme merupakan amalan hidup masyarakat Barat.  Gaya hidup bebas tanpa batasan ini telah menyebabkan institusi keluarga di Barat menjadi rapuh dan musnah.  Di Malaysia, budaya hedonisme ini telah meresap dalam sanubari golongan remaja yang menyebabkan mereka lebih mementingkan diri sendiri dan bersikap materialistik.  Penyerapan budaya ini berlaku kerana kekurangan nilai dan pengalaman agama dalam kalangan remaja.

Budaya hedonisme ini jika tidak dibendung akan membabitkan masalah yang lebih besar seperti jenayah rogol, pembuangan bayi dan seks bebas.  Remaja terjebak dalam budaya keseronokan ini kerana mereka terpengaruh dengan budaya Barat.  Tanpa pemikiran yang matang, mereka mudah menerima budaya hidup Barat yang cenderung ke arah keseronokan dan hiburan.  Masalah ini menjadi semakin rencam apabila pihak media massa sering menyiarkan rancangan hiburan Barat yang mengasyikkan sehingga melekakan golongan remaja.

Selain itu, remaja terlibat dalam budaya keseronokan ini kerana kurangnya maklumat hedonisme yang diterima oleh mereka.  Remaja mendapat maklumat tentang budaya tersebut melalui media sosial.  Tanpa merujuk dan berbincang dengan ibu bapa, mereka menerima budaya tersebut semata-mata hendak berseronok.  Di samping itu, kebanyakan remaja merujuk rakan sebaya tentang persoalan hubungan sosial yang telah mendapat maklumat daripada sumber yang salah seperti Internet.  Dalam hal ini, remaja seharusnya menitikberatkan hubungan sosial yang betul dan memahami kehendak agama.

Tidak dinafikan kebanyakan remaja yang terlibat dalam budaya ini menghadapi tekanan dalam kehidupan mereka.  Pengaruh hedonisme ini jika tidak disekat akan menjadikan remaja hidup secara sendiri-sendiri dan tidak kisah tentang hal orang lain.  Remaja juga kurang kefahaman tentang keburukan amalan hedonisme.  Pengetahuan yang cetek akibat kurang membaca menyebabkan remaja tidak mampu menilai kesan buruk budaya tersebut terhadap diri sendiri.  Lebih memburukkan keadaan apabila sikap prihatin masyarakat semakin luntur.  Masyarakat hari ini lebih mementingkan ahli keluarga sendiri tanpa mempedulikan permasalahan yang wujud dalam komuniti mereka.

Lantaran itu, ibu bapa haruslah memahami perkembangan jiwa anak-anak remaja dan mengukuhkan jiwa anak-anak dengan didikan agama yang mantap sejak mereka kecil.  Pada masa yang sama, ibu bapa perlu mengukuhkan ikatan kekeluargaan dengan curahan kasih sayang.  Oleh itu, ibu bapa perlu menggunakan agama, akal, hati dan jiwa bagi mengelakkan budaya hedonisme daripada mengawal diri anak-anak.

 

  1. Apakah maksud rangkai kata mengukuhkan jiwa ? (2 m)
  2. Pengarang menyatakan beberapa kesan budaya hedonisme terhadap remaja.  Nyatakan kesan-kesan tersebut. ( Ada dalam petikan ) (3m)
  3. Remaja kini mudah terpengaruh dengan budaya hedonisme.  Pada pendapat anda, bagaimanakah remaja boleh mengelakkan diri daripada terjebak dengan budaya tersebut. (4m)

Lemas di Belaga

Pengalaman ini paling menakutkan aku.  Sampai sekarang aku tak berani menenggelamkan diri ke dalam sungai, apatah lagi laut.  Suatu hari, kami geng cikgu dan pengawas sekolah pergi berkelah di Long Amo (kawasan air terjun). Aku sudah pernah ke situ 2 3 kali.  Sambil bersembang di atas batu sambil menggoyangkan kaki ke dalam air, Cikgu Zila menarik tanganku dan kami masing-masing berdiri di dalam air.  Aku mula terasa secara sedikit demi sedikit yang kami bergerak ke kawasan agak dalam.  Terasa makin tenggelam.  Ehhhhh!! belum sempat menjerit, kami terus tenggelam.  ”Ya Allah.  Matilah aku kali ni”. Tapi mujurlah aku tidak cepat panik.  Cepat-cepatku apungkan diri.  Tapi, Si Zila sudah panik.  Sudah berapa teguk air ditelannya.  Setiap kali aku timbul ke permukaan, dia menekan kepala aku masuk semula ke dalam air balik.  Saat itu, aku mula pasrah.  Terasa ada seseorang menolak tubuhku dari bawah air.  Aku dan zila diselamatkan dengan jayanya.  ( Tak sempat pula berkenalan dengan pelajar yang selamatkan aku) Sejak itu, aku fobia air.  Soalan daripada pelajar ”Kenapa orang semenanjung tak pandai berenang..?” Cehhh….!!!!

Hari Guru 2003

Hari Guru di SMK Belaga memang takkan ku lupa sehingga hari ini.  Kami menyambutnya dari pagi sampai tengah malam.  Ishkk…biar betul.! Kami mulakan dengan perhimpunan rasmi, kemudian acara guru.  Penuh dengan jerit ketawa.  Ingat lagi, Cikgu Jimbau menyimbah kami semua dengan belon berisi air.  Kemudian ada pertandingan bola jaring antara guru lelaki bujang dan guru lelaki yang sudah berkawin.  Hebat permainan mereka.  Guru bujang dibelasah teruk oleh guru yang sudah mejadi ayah.  Cikgu perempuan pula dipaksa bermain bola sepak.  Sekali kasut Cikgu Tijah terpelanting sebelah melambung ke atas gara-gara ingin menjaringkan gol.  2 3 hari jugalah kami asyik tergelak setiap kali topik tu dibincangkan.

Malamnya, ada acara makan, cabutan bertuah.(Aku tak pernah bertuah) Persembahan guru, persembahan pelajar.  Rasa sangat-sangat dihargai.  Walaupun tiada hadiah mahal tapi ingatan tulus  walaupun sekadar ucapan ” Selamat Hari Guru ” sudah membawa makna yang sangat besar bagi seorang guru di sebuah kawasan pedalaman

Terima kasih atas penghargaan kalian.

SMK Belaga 2003

Jaini Usem – SMK Belaga

Jaini Usem ni nama sorang pelajar yang sampai hari ni aku ingat.  Dia tidak memiliki kepandaian seperti anak-anak pelajar yang lain, boleh dikatakan ada masalah pembelajaran, kiranya sudah Tingkatan Dua pun belum lulus membaca.  tapi Allah telah jadikan setiap manusia itu istimewa.  Jaini pakar bab sukan.  Jaguh lari jarak jauh.  Penyumbang pingat emas waktu sukan sekolah bagi rumah sukan…(ishhh aku lupa nama rumah aku ).  Aku cuba untuk ajar dia membaca tapi gagal.  Sedih sangat melihat semangatnya, kerajinannya tapi hasilnya tidak seberapa!  Rindu pada adik-adik aku terubat apabila melihat wajah Jaini.  Senyumannya yang ikhlas lahir dari sudut hati.  Kenapa dia terpilih untuk ada masalah sedemikia, pasti ada hikmah yang Allah telah tentukan untuknya.  Aku sudah berusaha walaupun ada yang memperlekehkan usaha itu.  ( Kita akan berdepan dengan orang yang sentiasa cuba menjatuhkan semangat kita walaupun dalam kalangan rakan sejawatan ).

Semoga Jaini akan hidup dengan aman dan berjaya walaupun tanpa pendidikan yang tinggi.

Doa dari seorang guru yang menyayangimu.