Rumusan 3 – Sabah 2016


Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian tulis satu rumusan tentang faktor-faktor jenayah pemerdagangan manusia dan implikasinya kepada negara. Panjangnya rumusan tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pemerdagangan manusia ialah masalah global yang kian meningkat jumlah kesnya sejak seabad yang lepas. Jenayah ini membabitkan perbuatan eksploitasi pada skala yang besar terhadap wanita, lelaki dewasa dan kanak-kanak dalam perhambaan moden. Mengikut laporan Amnesty International, pada tahun 2004 dianggarkan 700,000 orang diperdagangkan pada setiap tahun. Amat malang sekali kerana Malaysia dilihat sebagai tempat menarik oleh sindiket pemerdagangan manusia untuk menjalankan aktiviti mereka. Usaha kerajaan memerangi aktiviti pemerdagangan manusia berhadapan dengan pelbagai cabaran kerana isu ini merupakan jenayah rentas sempadan. Jenayah ini sukar dikesan kerana melibatkan banyak negara contohnya negara-negara yang berjiran dari segi kedudukan geografinya. Orang yang diperdagangkan direkrut oleh agensi- agensi pekerjaan secara sukarela mahupun secara paksa. Pada mulanya, mereka diperdagangkan kerana telah dijanjikan pekerjaan yang baik di negara yang menjadi destinasi. Mereka juga diyakinkan bahawa aktiviti ini tidak menyalahi peraturan.
Perkembangan ekonomi dan kemakmuran Malaysia menjadi tarikan utama kepada ramai warga asing dari seluruh dunia berhijrah ke negara kita. Kebanyakan mereka yang datang dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Vietnam telah menjadi mangsa selepas dijanjikan pekerjaan dengan bayaran lumayan sedangkan semuanya palsu. Keadaan ini merancakkan aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Pada masa yang sama, kewujudan pusat hiburan yang beroperasi secara haram menyebabkan permintaan yang tinggi kepada aktiviti ini. Hal ini ditambah oleh kedudukan Malaysia di tengah-tengah negara Asean yang menjadikan antara lokasi strategik untuk aktiviti pemerdagangan manusia. Menyedari masalah itu, Akta Antipemerdagangan Orang 2007 telah diluluskan tetapi akta ini masih belum cukup kuat untuk menghalang jenayah ini. Selain itu, modus operandi sindiket yang membawa masuk mangsa sukar dikesan oleh pihak berkuasa disebabkan mereka memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial atau pas pelajar. Bukan hanya wanita, malahan lelaki dewasa turut diperdagangkan terutama untuk tujuan pengeksploitasian buruh. Kanak-kanak dan bayi juga mendapat permintaan yang tinggi bagi aktiviti meminta sedekah.
Selain itu juga, kesedaran dan kefahaman masyarakat Malaysia yang masih rendah tentang isu ini turut menjadi penyebab kepada permasalahan ini. Keuntungan lumayan yang diperoleh oleh sindiket dengan jumlah yang besar hasil daripada aktiviti pemerdagangan manusia juga menyebabkan kegiatan ini terus berleluasa. Kanak-kanak dan bayi turut diperdagangkan untuk dijadikan anak angkat kepada pasangan yang tidak mempunyai zuriat sendiri. Kemiskinan di negara asal membuatkan mangsa hilang pertimbangan kerana percaya akan janji-janji manis pihak sindiket. Penguatkuasaan undang-undang yang lemah seperti hukuman yang ringan turut menyebabkan kegiatan yang tidak bermoral ini terus berlaku. Kesimpulannya, sindiket pemerdagangan manusia dilihat semakin meruncing dari hari ke hari dan menggugat hak asasi manusia. Kerjasama masyarakat dunia diharap merupakan jalan terbaik bagi membendung jenayah ini daripada terus menjadi barah kepada masyarakat.

Sinopsis Bab 7

Sinopsis Bab 7 m/s _________________

Nenek membawa Lili ke kedai runcit Letchumi dan terserempak dengan ____________. Lili tidak menyangka bahawa selama ini, neneknya begitu akrab dengan ibu Geetha.  Menurut Geetha, ibunya merupakan pelanggan setia yang mengamalkan minuman herba buatan datuk Lili yang telah berjaya menyembuhkan penyakit ibunya yang sebelum ini sakit teruk.  Walaupun ketika ini saiz badan ibunya terlalu gemuk, tetapi dia kelihatan begitu sihat.  Geetha menasihati Lili supaya mempelajari ilmu penyediaan herba dan rawatan ____________ dari datuknya yang begitu terkenal di Pekan Sentosa ini. Lili merasa bangga kerana mendapat penghargaan atas kepakaran datuknya dalam ilmu pengubatan tradisional, apatah lagi yang memujinya bukanlah sebangsa dengannya.  Geetha juga menyedari bahawa Lili tidak banyak bercakap seperti ________________.  Setelah sejam berbual-bual, nenek mengajak Lili _____________.  Lili mempelawa Geetha datang ke rumah nenek.

Sinopsis Bab 6

Sinopsis Bab 6 m/s _________________

Lili melihat keluar jendela dan hujan mula turun.  Nenek mengarahkan Lili menutup semua _____________ yang terdapat di dalam rumah dengan menggunakan _________________ bertujuan untuk terbalikkan mata kilat.  Lili memerhatikan halaman rumah datuk.  Terdapat perbezaan yang jelas antara halaman rumah ibu dan halaman rumah datuk.  Ibu Lili lebih suka seni taman ala ____________, yang dipenuhi reka bentuk dan tumbuh-tumbuhan yang mempunyai ciri-ciri keselamatan, tahan lasak dan menghalau nyamuk. Manakala, halaman rumah datuk ditanam dengan _____________ pembuka selera makan.

Masyarakat kampung lebih gemar berurusan dengan datuk apabila berdepan dengan masalah kesihatan dan menjadi kepercayaan serta sumber rujukan.  Dari dapur Lili mendengar neneknya mencari bekas _____________ pemberian perempuan berbangsa India, _______________ .  Nenek ingin membakar _______________________ di dalam bekas itu supaya isi rumah berbau wangi.  Selepas hujan teduh nanti, nenek hendak mengajak Lili ke kedai Letchumi.

Sinopsis Bab 5

Sinopsis Bab Lima, m/s ____________

Datuk sejak dahulu menganggap Lili tidak tahu tentang kesan corak _______________, pintu dan susunan rumah kampung yang menghadap jalan.  Harapan Lili untuk merungkai hal itu tidak kesampaian kerana sepanjang malam datuk bercerita tentang perubatan herba tradisional.  Banyak ubi kayu, __________ dan mangga di sekitar rumah datuk.  Datuk begitu yakin akan keberkesanan penyembuhan penyakit melalui rawatan _______________ dan kos rawatan juga lebih rendah.

Datuk menceritakan pengalamannya mengurangkan penderitaan seorang pesakit ______________ yang sebelumnya menjalani rawatan bertahun-tahun lamanya di hospital.  Nenek mencelah dengan mengatakan bahawa cerita datuk seperti mahu mengheret Lili ke zaman ________________, tetapi datuk bertegas bahawa Lili seorang yang _____________.  Datuk mahu Lili menyaksikan proses rawatan penghidap strok,darah tinggi dan kencing manis keesokannya.

Sinopsis Bab 4

Sinopsis Bab Empat (ms ______)

Lili asyik dengan pemandangan kehijauan kampung. Kelihatan di tengah petak sawah kelibat _____________ yang bertubuh kerdil.  Pak ______________ yang sedang menuju ke surau sempat mengangkat tangan ke arah Lili.  Sebaik sahaja nenek tiba dekat bangsal Abang Rashid, Lili segera meraih tangan nenek lalu menciumnya.  Nenek mendongak untuk mencari wajah Lili.

Nenek separuh percaya cucunya di situ, tetapi gembira.  Baginya, kedatangan Lili ialah ‘buah tangan’ yang lebih tinggi nilainya daripada oleh-oleh yang tidak sempat dibeli oleh Lili.  Nenek menolak kiriman _________________  ibu Lili, sebaliknya mahu Lili sahaja yang menyimpannya.

Lili cuba memberi pendapat bahawa _______________ lebih sesuai dipasang di masjid, bukannya pada surau yang sudah usang seperti di kampung itu.  Namun, nenek beranggapan hal itu urusan kaum ____________ dewasa.  Lili sengaja memimpin tangan nenek menuruni bangsal.  Lili menghilangkan kesangsian nenek bahawa dia bercuti selama ____________ minggu dan beg pakaiannya sudah dihantar oleh Abang Rashid ke rumah nenek.

Sinopsis Bab 3

Sinopsis Bab Tiga

(Teknik penceritaan: sudut pandangan orang pertama, watak utama, Lili sebagai pencerita)

Geetha turun di pekan ________________, manakala Lili di pekan _____________. Pemuda Cina juga turun bersama, tetapi sebuah kereta sudah menunggunya. Lili memasuki kedai untuk membeli ______________ tetapi akhirnya dia tidak membeli apa-apa kerana semuanya boleh diperoleh di kampung. Ketika Lili meninjau kelibat _________________ , pemuda tadi tiba-tiba menegurnya menyebabkan Lili curiga.  Namun, pemuda itu sebenarnya mahu memulangkan ___________________ yang tercicir.

Pemuda itu cuba memulakan perbualan, tetapi Lili masih berhati-hati. Katanya dia juga hendak ke Kampung Sentosa menemankan bapanya ____________________ . Sedang dia hendak bertanyakan nama, Abang Rashid pun tiba. Lili seronok pemuda itu kelihatan bingung. Tidak banyak yang dibualkan dalam kereta kerana Lili dan Abang Rashid bersifat pendiam dan hanya berkomunikasi dengan pertanyaan asas.

KC2 – Cara Menyayangi Sekolah

Sekolah merupakan institusi yang amat sinonim dengan para pelajar.  Sekolah diwujudkan untuk menyediakan pendidikan berkualiti bagi melahirkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  Pendidikan yang disediakan kepada anak-anak di sekolah mampu menyediakan modal insan yang akan menggalas tugas meneraju negara pada masa akan datang.  Mereka diharap agar mampu bersaing dalam dunia globalisasi yang semakin mencabar kini.  Hasrat ini dapat direalisasikan jika pelajar menunjukkan rasa sayang akan sekolah masing-masing.  Pada pendapat saya, pelbagai cara boleh dilakukan oleh pelajar untuk membudayakan semangat menyayangi sekolah setulus hati.

                Seseorang pelajar membuktikan rasa sayang akan sekolah jika mereka tidak merosakkan harta benda yang disediakan oleh pihak sekolah.  Harta benda sekolah seperti meja, kerusi, tandas, telefon, peralatan sukan dan sebagainya perlu dijaga dengan baik.  Hal ini demikian kerana harta benda sekolah merupakan kemudahan yang perlu dikongsi secara bersama oleh warga sekolah keseluruhannya.  Pelajar perlu difahamkan tentang keburukan melakukan vandalisme, iaitu kegiatan merosakkan harta benda sekolah.  Kerajaan terpaksa menyediakan sejumlah peruntukan untuk membaiki kerosakan tersebut.  Hal ini sudah tentu akan merugikan kerajaan kerana peruntukan yang disalurkan untuk sektor lain terpaksa distruktur semula untuk membaik pulih kerosakan yang diakibatkan oleh sikap negatif segelintir pelajar ini.  Senario ini sangat merugikan kerana peruntukan tersebut sepatutnya boleh disalurkan untuk menyediakan kemudahan lain kepada pelajar agar mereka dapat belajar dengan sempurna.  Situasi ini  jelas menunjukkan bahawa menjaga harta benda sekolah dengan baik merupakan cara yang boleh ditunjukkan oleh murid sebagai tanda menyayangi sekolah.

                Selain itu, mematuhi peraturan sekolah juga merupakan salah satu cara membuktikan rasa sayang akan sekolah.  Peraturan yang digubal oleh pihak sekolah adalah untuk mendidik pelajar supaya berdisiplin dan menjadi insan yang sentiasa patuh pada peraturan walau di mana-mana sahaja mereka berada.  Namun begitu, segelintir pelajar beranggapan bahawa mereka bebas untuk melakukan sesuatu dan berasa besar diri jika mampu mencabar kreadibiliti pihak sekolah menangani karenah disiplin mereka. Tanggapan sedemikian tidak tepat kerana peraturan yang digubal sebenarnya mampu membina jati diri yang kukuh.  Peraturan yang dirangka bertujuan untuk menyediakan satu situasi yang harmoni serta mengelakkan pelajar terlibat dalam salah laku disiplin kerana boleh menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.  Sebagai contoh, jika pelajar  terlibat dalam kes gaduh, sudah tentu pelajar tersebut akan dikenakan tindakan disiplin seperti digantung persekolahan.  Kes  tersebut secara tidak langsung telah menggelapkan masa depan dan maruah pelajar terbabit serta nama baik sekolah jika kes itu diketahui umum.  Oleh itu, pelajar perlu mematuhi peraturan supaya nama baik sekolah dapat dijaga sekali gus menunjukkan rasa sayang pada sekolah.

Di samping itu, mengharumkan nama sekolah di pentas nasional dan antarabangsa juga merupakan cara untuk membuktikan rasa sayang akan ekolah.  Selain bertanggungjawab menjaga nama baik sekolah, pelajar juga perlu menaikkan nama sekolah dengan menempa kejayaan-kejayaan sama ada dalam bidang kurikulum atau kokurikulum.  Kejayaan-kejayaan yang ditempa oleh pelajar dapat menaikkan imej sekolah pada kaca mata komuniti sekeliling.  Sekolah-sekolah lain akan menjadikan kejayaan itu sebagai penanda aras untuk mereka mencipta kejayaan yang sama.  Lebih manis lagi, sekolah akan diberikan penghargaan oleh pihak kementerian atas kejayaan yang diraih.  Sebagai contoh, kejayaan Nik Nur Madihah menempa keputusan hebat 21A dalam Sijil Pelajaran Malaysia telah mengharumkan nama sekolah yang masih menjadi sebutan sehingga kini.  Jika tidak mampu mengharumkan nama sekolah dalam bidang akademik, pelajar masih boleh menjadi contoh dengan melonjakkan diri dalam arena sukan seperti Pandalela Rinong yang menjadi kebanggaan warga sekolahnya.  Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa pelajar boleh menunjukkan cara menyayangi sekolah mereka dengan cara menaikkan nama sekolah.

Kesimpulannya,  pelajar wajib menzahirkan rasa sayang akan sekolah mereka.  Mereka perlu menyayangi sekolah masing-masing kerana di situlah tempat mereka belajar asas jatuh bangun dalam kehidupan dan membina masa depan.  Jadi, tugas menjaga nama baik sekolah perlu menjadi tanggungjawab utama pelajar.  Jangan jadi seperti kera mendapat bunga yang tidak tahu menghargai sesuatu yang bernilai.

Hasil : Cikgu Lina

Sinopsis Bab 2

Sinopsis Bab Dua, muka surat 7 – 15

Lili berusaha mengikhlaskan dirinya ketika mahu meninggalkan rumahnya di Kuala Lumpur bagi menempuh perjalanan selama ___________________ dengan menaiki _________________.  Lili memilih tempat duduk paling ____________________  sambil membaca buku bertajuk __________________.  Tiba-tiba seorang gadis yang sedikit kelam-kabut menjatuhkan beberapa barang kecil duduk di sebelahnya. _________________, 19 tahun, mahasiswi kejuruteraan awam Tahun Satu di __________________.

Geetha memulakan perbualan tentang cita-cita dan persaingan, tetapi Lili tidak menetapkan sebarang cita-cita, malah berasa dia tidak pernah bersaing.  Geetha menegaskan bahawa peredaran waktu mengubah banyak perkara, lantas seseorang itu tidak boleh lambat kerana pilihan akan semakin terhad.

Menyedari Lili tidak berminat, Geetha mengubah perbualan terhadap herba lumatan iaitu ______________ di Indiayang berfungsi untuk _____________. Lili berasa pelik justeru Geetha seolah-olah sudah kenal dengannya begitu lama.  Geetha menguap dan kemudian berdengkur.  Pandangan Lili beralih kepada seorang pemuda persis _____________ atau kacukan yang sedang tersenyum kepadanya.

Sinopsis Bab 1

Sinopsis Bab Satu, muka surat 1 -6

Lili, ________ tahun, harus melupakan keinginannya untuk mengisi cuti sekolah menengahnya yang terakhir bersama rakan bagi menjaga hati _________________ yang mahu dia ke rumah ______________ dan ______________ di Kampung _____________________.  Ibunya seorang wanita bekerjaya, cantik dan pandai memujuk.  Lili mengambil hati ibunya dengan menafikan cakap ibunya bahawa sebenarnya dia tidak gembira bercuti di kampung.  Ibu memimpin Lili ke bilik air, kemudian terus memberi nasihat dari luar.

Usai mandi, ibu masih di situ membantu _______________ tubuh Lili bagaikan melayan anak kecil.  Lili melebarkan senyumannya bagi menghilangkan kecurigaan ibunya.  Masa berkualiti anak-beranak itu berakhir dengan pujian ‘budak baik’.

Rumusan 2 – Kelantan 2016

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kelebihan-kelebihan menabung bagi golongan remaja dan cara-cara untuk menarik minat golongan remaja menabung.  Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

 

Kebanyakan ibu bapa pada zaman ini mempunyai masa yang amat terhad dengan keluarga terutamanya dengan anak-anak.  Oleh sebab itu, tidak hairanlah rata-rata ibu bapa pada hari ini memanjakan anak-anak mereka dengan wang ringgit.  Mereka menganggap bahawa cara ini sebagai tanda kasih sayang mereka terhadap anak-anak.  Walau bagaimanapun, tindakan ini lama-kelamaan akan menyebabkan golongan remaja ini lupa diri.  Walaupun ibu bapa mempunyai harta yang banyak dan dapat digunakan pada bila-bila masa tanpa had, perkara ini bukan alasan bagi remaja untuk bersikap boros dan tidak mengendahkan amalan menabung yang dapat dijadikan sebagai simpanan masa hadapan.

Amalan menabung ini juga dapat mendidik golongan remaja agar berjimat cermat tatkala tangan mereka memegang wang yang banyak.  Selain itu, amalan ini juga dapat mendidik golongan remaja untuk merancang perbelanjaan dengan bijak.  Sikap beringat-ingat semasa senang mampu mengelakkan golongan remaja daripada menghadapi masalah kewangan.  Hal ini dikatakan demikian kerana duit simpanan amat penting terutamanya untuk digunakan pada masa-masa kecemasan.  Sebagai contoh, simpanan tersebut boleh digunakan untuk menggantikan barang-barang keperluan yang rosak atau hilang terutamanya bagi remaja yang menuntut di kolej atau tinggal di asrama yang jauh daripada keluarga.

Remaja yang gemar menabung dapat meringankan beban ibu bapa kerana duit simpanan mereka yang dapat digunakan untuk melanjutkan pelajaran.  Dengan cara ini, remaja dapat berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada ibu bapa.  Hal ini dikatakan demikian kerana kos belajar di institusi pengajian tinggi agak mahal.  Walaupun kerajaan menyediakan bantuan pinjaman atau biasiswa, remaja tetap perlu menyediakan sejumlah wang yang mencecah ribuan ringgit semasa pendaftaran dan sepanjang tempoh pengajian.  Sekiranya seseorang itu mempunyai wang tabungan, mereka dapat mengurangkan beban hutang pendidikan yang terpaksa ditanggung selepas mereka menamatkan pengajian kelak.

Amalan menabung dalam kalangan remaja dapat membentuk golongan remaja yang berdisiplin dan bermaruah.  Mereka dapat menilai keperluan hidup dengan bijak supaya tidak melepasi batas keperluan sehingga berlaku pembaziran.  Remaja yang terdidik dengan sikap berjimat cermat dan suka menabung pula akan memperoleh pulangan yang lumayan sekiranya mereka memilih untuk menabung dengan institusi perbankan konvensional yang mengamalkan kadar faedah tetap ataupun sistem perbankan Islam berdasarkan kaedah perkongsian untung dan beberapa syarat lain mengikut syariat Islam.  Mereka juga boleh melabur wang dalam saham amanah yang banyak terdapat di negara kita.  Pengurusan kredit secara berhemah ini membantu golongan remaja mencapai ketenangan minda.

Natijahnya, menabung merupakan amalan mulia yang perlu dijadikan budaya hidup dan dipraktikkan.  Perspektif negatif seperti biar papa asal bergaya perlu diubah agar setiap individu mempunyai visi untuk keluar daripada belenggu kehidupan yang begitu mencabar.  Semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi memastikan obligasi terhadap amalan menabung terus subur dalam diari ekonomi setiap individu agar kemakmuran diri dan negara dapat dikekalkan.

 

  1. Apakah maksud rangkai kata meringankan beban ?( 2m)
  2. Pengarang mengemukakan beberapa kaedah menabung yang menguntungkan golongan remaja.  Nyatakan kaedah-kaedah tersebut. ( Ada dalam petikan) (3m)
  3. Alasan bergaji kecil dan tidak mencukupi dalam perbelanjaan seharian sering kali menjadi isu yang diperkatakan oleh pekerja untuk tidak menabung.  Jelaskan alasan-alasan lain yang dikemukakan oleh seseorang yang tidak mahu menabung. (4m)