RUMUSAN 10 – PERCUBAAN PULAU PINANG 2020

SOALAN RUMUSAN PERCUBAAN PULAU PINANG 2020

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha untuk  menangani ancaman buli siber di media sosial dan kesannya kepada remaja.  Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Masyarakat pada masa ini mempunyai kemudahan untuk mengakses teknologi komunikasi,  antaranya termasuklah melalui e-mel, blog dan media sosial. Disebabkan perkembangan teknologi  tersebut, isu yang sering muncul dalam kalangan pengguna, khususnya remaja ialah buli siber.  Dalam hal ini, buli siber bermaksud suatu bentuk gangguan dalam dunia digital dan secara  kebiasaannya melibatkan kata-kata yang tidak sopan secara berulang-ulang, intai siber dan hasutan  maya. Oleh itu, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyarankan para  pengguna agar mengamalkan kawalan kendiri ketika melayari media sosial.

Panduan kawalan kendiri boleh dipraktikkan dengan mengenali rakan media sosial yang  menjadi kenalan anda. Sekiranya ada pemilik akaun yang tidak dikenali, usahlah diterima untuk  mengelakkan masalah yang tidak diingini.  Ada juga kenalan yang pada mulanya kelihatan baik tetapi  mula menunjukkan cubaan-cubaan untuk membuli, jadi lebih baik diputuskan perhubungan dan  menyekatnya daripada mengikuti sebarang bahan yang dimuat naik di laman sosial. Usaha ini sangat  berkesan bagi mangsa yang diganggu keselamatannya malah dapat mengelakkan fitnah atau  hasutan.  Selain itu, bagi remaja yang telah menjadi mangsa, ambillah langkah drastik untuk  melaporkan kepada ibu bapa kerana mereka lebih memahami masalah anak-anak.

Buli siber juga boleh menjadi semakin serius sehingga kes itu berlanjutan ke peringkat  sekolah.  Oleh hal yang demikian, remaja patut melaporkan kes buli siber kepada guru yang  dipercayai atau meminta bantuan kaunselor. Secara tidak langsung, guru dan kaunselor boleh  mengambil tindakan kepada pembuli yang dikenal pasti bersekolah di sekolah yang sama ataupun  memberikan kaunseling kepada mangsa buli siber.   Bagi remaja yang bijak menyelesaikan masalah  ini secara kendiri, mereka boleh terus mengemukakan aduan kepada pihak pengurusan laman sosial.  Aduan tersebut membolehkan pembuli diambil tindakan sebelum mengulangi perbuatan itu kepada  orang lain pula.

Pendekatan proaktif amat penting untuk menyelesaikan kemelut buli siber dan remaja perlu  menyimpan segala teks perbualan daripada pembuli yang berkemungkinan dapat dijadikan bahan  bukti.  Bukti tersebut dapat membela nasib mangsa buli sekiranya dibawa ke muka pengadilan.  Di  samping itu, pengguna media sosial yang terlibat boleh melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi  dan Multimedia dan Polis Diraja Malaysia sekiranya masalah ini membabitkan ancaman terhadap  keselamatan seseorang.  Namun demikian, pengguna media sosial harus melihat kembali punca buli  siber ini berlaku, berkemungkinan disebabkan perasaan cemburu atau hasad dengki yang  keterlaluan.  Ada juga yang bertindak membuli untuk membalas dendam kerana kisah silam yang  tidak boleh dilupakan.  Tambahan pula, tekanan perasaan akibat masalah keluarga menyebabkan  pembuli bertindak melepaskan geram kepada orang lain.

Dipetik dan diubah suai daripada “Ancaman Buli Siber di Media Sosial”,
oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dewan
Masyarakat, Bil. 6 2018

 

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda  sendiri.

  1.  Apakah maksud rangkai kata menyelesaikan kemelut?[2 m]
  2. Pengarang mengatakan bahawa pengguna media sosial harus mengenal pasti punca  berlakunya ancaman siber.  Nyatakan punca-punca tersebut?[3 m)
  3. Pada pendapat anda, jelaskan hukuman yang boleh dikenakan kepada murid-murid yang  terlibat dengan buli siber? [4 m]