RUMUSAN 9 – PERCUBAAN PERLIS 2020

SOALAN RUMUSAN PERCUBAAN PERLIS 2020

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang panduan-panduan menjayakan matlamat dalam akademik dan kepentingan menetapkannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Hidup tanpa matlamat umpama sehelai daun yang ditiup angin, melayang-layang mengikut angin tanpa arah tuju destinasi yang diingininya. Dalam hidup manusia, peranan matlamat sangat penting. Begitu juga dalam bidang akademik, penetapan matlamat sangat penting. Untuk menyatakan matlamat kita, perbuatan yang senang. Namun, untuk mencapainya ialah suatu perjalanan yang penuh berliku. Matlamat ini dapat dicapai dengan cara menyatakan matlamat akademik secara bertulis. Kemudian, meletakkan matlamat tersebut di tempat yang mudah dilihat untuk mempengaruhi minda kita supaya berusaha untuk mencapai impian tersebut.

Selain itu, berkongsi matlamat dengan orang lain akan dapat membantu kita untuk menjayakan matlamat akademik kita. Berkongsi matlamat akademik dengan sahabat, ahli keluarga atau guru mahupun pensyarah sudah tentu akan membantu setiap usaha kita. Jangan sewenang-wenangnya berkongsi matlamat akademik dengan mereka yang menjadi parasit dan akhirnya turut membunuh cita-cita kita. Perkara yang paling penting untuk menjayakan matlamat akademik ialah fokus kepada sasaran, mengikut pelan perancangan yang telah dilakukan. Jangan berhenti sekerat jalan dan terlalai fokus dengan melebihkan perkara-perkara lain. Jika hal ini berlaku, kembali kepada fokus yang ditetapkan dan meneruskan matlamat.

Penetapan matlamat haruslah tinggi. Jika anda gagal untuk mencapai matlamat tersebut sekurang-kurangnya mungkin kita telah mencapai matlamat yang agak baik. Di samping itu, keyakinan kepada diri sendiri amat perlu. Jika kita tidak berasa yakin dengan diri sendiri, bagaimana kita mahu orang lain meyakini kita? Kita sendiri telah meletakkan nilai yang sangat rendah kepada diri kita. Kita seperti telah membunuh potensi diri kita sendiri. Buya Hamka, ulama dan penulis terkemuka pernah berkata “Jangan pernah takut gagal kerana orang yang tidak pernah gagal hanyalah orang yang tidak pernah melangkah.” Jadikan kegagalan masa lalu sebagai pengalaman dan sebagai sempadan untuk kita tudak mengulangi kesilapan.

Apa-apa jua yang dilakukan, perlu diingatkan bahawa doa dan tawakal merupakan jalan pemula untuk mencapai kejayaan. Kita wajar menetapkan matlamat akademik kita dengan doa agar segala-gala yang dirancang akan berjaya tanpa menghadapi simpang-siur sekatan. Doa ini perlu disertai dengan usaha kerana doa tanpa usaha hanya akan menjadi sia-sia. Tidak dapat dinafikan, orang yang berjaya mempunyai tujuan hidup yang jelas. Jika kita tidak menetapkan matlamat akademik kita, kita akan sesat dan mungkin terkandas dalam perjuangan pelajaran dan akhirnya ditiup angin seperti luruhnya dedaun ke tanah. Dalam apa-apa jua perkara yang dilakukan, matlamat menjadi kompas perjalanan hidup.

Dipetik dan diubah suai daripada ‘Menetapkan Matlamat dalam Akademik”’
Oleh Mohd Khairul Riza Tuan Mohd Yusop’

 

  1. Berikan maksud rangkai kata potensi diri (2m)

  2. Pengarang mengemukakan beberapa larangan dalam menjayakan matlamat hidup.  Nyatakan larangan-larangan tersebut. (3m)

  3. Berkongsi matlamat akademik dengan sahabat, ahli keluarga mahupun guru atau pensyarah dapat membantu murid dalam usaha untuk menjayakan impian mereka.

    Pada pendapat anda, apakah tindakan yang perlu dilakukan untuk merangsang murid mencapai matlamat dalam kehidupan mereka? (4m)