RUMUSAN 7 – PERCUBAAN SBP 2020

SOALAN RUMUSAN PERCUBAAN SBP 2020

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca seseorang menghidap nomofobia dan langkah-langkah mengelakkan diri daripada menjadi mangsa nomofobia.  Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

 

Nomofobia bermaksud ketidakselesaan, ketakutan dan kebimbangan seseorang untuk hidup tanpa berhubungan dengan telefon pintar.  Istilah nomofobia mula digunakan dan diperkenalkan apabila kajian yang dijalankan di United Kingdom (UK) mendapati bahawa pengguna telefon pintar mula berasa bimbang apabila kehilangan telefon pintar dan kehabisan bateri.  Kajian ini juga menunjukkan bahawa kehabisan kredit dan tidak mempunyai liputan meluas juga menimbulkan kebimbangan.  Dalam hal ini, nomofobia amat berkait rapat dengan tahap kebergantungan dan ketagihan seseorang terhadap telefon pintar. Tanpa telefon pintar di tangan, situasi yang berlainan akan menjejaskan emosi seseorang.

Dari aspek yang lain pula, seseorang itu menjadi nomofobia apabila tidak yakin atau takut untuk bersosial dengan orang di sekeliling.  Golongan ini berusaha untuk mengelakkan diri daripada terlibat dengan aktiviti yang boleh mendedahkan dirinya kepada orang ramai seperti perbincangan atau persembahan.  Maka, mereka memerlukan satu saluran sebagai alat bantuan untuk berjaya berkomunikasi secara nyata atau bersemuka.  Hal ini dikatakan sebegitu lantaran peranti elektronik tersebut menjadikan mereka lebih selamat dan selesa untuk mewujudkan perhubungan sosial.  Seterusnya, komunikasi yang melibatkan hubungan jarak jauh juga menjadi faktor penyebab hal ini.  Menerusi cara ini, penghidap nomofobia dapat memberitahu keberadaan dan keadaan dirinya apabila terdapat urusan penting.

Sementara itu, perasaan takut apabila tidak mampu mengekalkan hubungan dengan orang lain menyebabkan nomofobia berlaku.  Sebagai contohnya, apabila penghidap nomofobia tamat belajar atau mula bekerja, telefon pintas menjadi alat untuk terus berkomunikasi malah, telefon pintar mampu menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengguna juga menjadi punca kepada penyakit ini.  Perkara ini bermaksud, jika sesuatu kemudahan yang menjadi rutin harian hilang, pengguna akan berasa risau dan bimbang serta berada dalam situasi janggal melakukan aktiviti harian mereka.

Nomofobia juga boleh terjadi disebabkan oleh perasaan bimbang jika tidak mampu mencari maklumat yang diinginkan.  Perkara ini biasanya terjadi kepada individu yang ingin mencari pelbagai maklumat dan sumber rujukan untuk menyiapkan kerja atau tugasan.  Begitu juga jika pencarian sesuatu maklumat sangat penting untuk memudahkan urusan atau melakukan tindakan lanjut.  Jika keadaan menjadi kronik, penghidap nomofobia akan mengalami gangguan psikologi yang serius.  Selain itu juga, mereka bakal berhadapan dengan masalah kesukaran berfokus dan insomnia.  Seyogianya, penghidap nomofobia perlu mendapatkan rawatan yang sewajarnya sebelum menjadi lebih parah kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Dipetik dan diubahsuai daripada
‘Nomofobia Ketagihan Telefon Pintar’
Oleh Mudiana Mokhsin@Misron
Dewan Kosmik, bil 4 2019

  1. Berikan maksud rangkai kata situasi janggal. (2 m)
  2. Pengarang menyatakan beberapa kesan yang dialami oleh penghidap nomofobia. Nyatakan usaha-usaha tersebut. (3m)
  3. Penggunaan pelbagai peranti elektronik semakin mendapat perhatian dalam masyarakat kita untuk pelbagai tujuan.Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak supaya alat peranti elektronik dapat digunakan dengan bijak.
    (4 m)