RUMUSAN 3 – PERCUBAAN KEDAH 2020

SOALAN RUMUSAN PERCUBAAN KEDAH 2020

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha melestarikan permainan tradisional dan kekangan-kekangan untuk memajukannya.  Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

                Permainan tradisional merupakan permainan yang dicipta oleh masyarakat tradisional, iaitu merujuk permainan budaya yang sudah diamalkan oleh masyarakat itu untuk satu tempoh yang tertentu.  Permainan tradisional ini juga sebagai pelengkap alam kanak-kanak pada masa silam untuk berkongsi keriangan dan kegembiraan.  Mereka cuma perlu berkawan, namun bukan lagi resam kepada kanak-kanak masa ini yang begitu terdedah kepada peralatan telekomunikasi yang amat mengasyikkan dan menenggelamkan beberapa jenis permainan tradisional yang tersohor pada suatu ketika dahulu.  Ekoran daripada itu, permainan tradisional semakin dilupakan, namun masih terdapat prakarsa untuk terus melestarikan sekali gus mengembalikan nostalgia warisan budaya ini.

Permainan tradisional ini bukanlah semata-mata mengisi masa lapang tetapi juga meningkatkan daya kreativiti, memupuk semangat berpasukan dan melatih kekuatan mental dan fizikal.  Secara tegasnya, permainan tradisional memang wajar diketengahkan pada peringkat negara dan serantau.  Minat yang mendalam terhadap pemainan tradisional seperti wau, layang-layang, sepak raga dan gasing tidak cukup sekiranya tiada kemudahan untuk permainan ini.  Bagi menangani isu ini, kerajaan haruslah menyediakan lebih banyak tempat atau gelanggang permainan tradisional.  Berkaitan dengan pembinaan gelanggang, kerajaan boleh memajukan permainan ini dengan menyediakan jurulatih di setiap gelanggang yang telah disediakan.  Pada masa yang sama, masyarakat tempatan juga boleh berganding bahu mewujudkan tapak permainan tradisional di kawasan perumahan atau di kampung mereka.  Hal ini secara tidak langsung dapat menarik perhatian penduduk sekitar untuk beriadah bagi mengeratkan silaturahim sesama mereka.

Di samping itu, hotel tempatan dan pusat  peranginan yang termuka di negara kita juga  patut menyediakan ruang dan tapak serta alat permainan tradisional kepada pelancong asing.  Sempena Tahun Melawat Malaysia, setiap negeri perlu mengetengahkan permainan tradisional dalam acara yang disusun bagi menyerlahkan warisan seni budaya yang penuh nila estetika bagi menggamit pelancong.  Sebagai contoh, kerajaan Kedah merancang menganjur program sukan, “Eagle Cup Sepak Takraw” bersempena Tahun Melawat Kedah 2020.  Selain itu, Festival layang-layang Sedunia Pasir Gudag ang dianjurkan setiap tahun perlu diteruskan untuk menarik lebih banyak pengunjung dari dalam dan luar negara.

Usaha menghidupkan kembali permainan tradisional boleh dilakukan oleh pihak sekolah dengan menganjurkan Kelab Permainan Tradisional dalam aktiviti kokurikulum.  Permainan ini amat penting untuk kehidupan generasi muda kerana dapat membantu perkembangan diri.  Melalui permainan tradisional, mereka mempelajari cara mematuhi peraturan, menyesuaikan diri dan menyelesaikan masalah.  Dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut memperuntukkan seni, warisan dan budaya dalam aktiviti kokurikulum.  Seni, warisan dan budaya bangsa Malaysia yang dimaksudkan termasuklah tarian, muzik, kraf, tulisan jawi syair, permainan tradisional dan seni pertahanan diri.  Penyebaran maklumat tentang permainan tradisional kepada masyarakat melalui media massa juga tidak harus dipandang remeh.  Hal ini demikian kerana media merupakan saluran utama dalam pencarian maklumat terutama dalam kalangan remaja.  Jabatan Warisan Negara atau kerajaan negeri perlulah lebih kerap menganjurkan festival pertandingan dan kempen bagi mengetengahkan permainan tradisional kepada masyarakat agar dapat menanamkan rasa cinta terhadap warisan negara kepada generasi muda.

Dipetik dan diubah suai daripada “Melestarikan Permainan Tradisional Warisan Negara”
Oleh Samat Buang Dewan Siswa, Jun 2015

 

 

  1. Berikan maksud rangkai kata mengembalikan nostalgia. (2m)
  2. Permainan tradisional mampu merapatkan hubungan silaturahim antara anggota masyarakat.

    Apakah kepentingan-kepentingan lain permainan tradisional dalam kehidupan? (3m)

  3. Permainan tradisional mampu merangsang perkembangan minda kanak-kanak.

    Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa bagi menggalakkan anak-anak melibatkan diri dalam permainan tradisional. (4m)