RUMUSAN 1 – PERCUBAAN KELANTAN 2020

RUMUSAN PERCUBAAN KELANTAN 2020

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan pembangunan modal insan dan langkah-langkah kerajaan membangunkan modal insan.  Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

 

Secara umumnya, pembangunan modal insan bermula sejak seseorang anak itu dilahirkan, kemudian melalui pendidikan formal yang berterusan di peringkat prasekolah seperti di Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) atau Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) seterusnya ke peringkat sekolah rendah, menengah dan yang lebih tinggi.  Hal ini membabitkan pembangunan jasmani, emosi, rohani dan intelek anak-anak.

Pendidikan di peringkat sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) memerlukan kesinambungan yang berterusan bagi membekalkan seseorang itu dengan ilmu pengetahuan dan juga kemahiran.  Guru sebagai pendidik di sekolah memainkan peranan penting ke arah mewujudkan modal insan yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi serta berakhlak terpuji.  Hal ini secara tidak langsung dapat menyediakan sumber tenaga yang berkualiti.  Lebih 90,000 orang pelajar yang ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) mampu menghasilkan tenaga kerja yang intelektual.  Hal ini seterusnya dapat menyediakan masyarakat yang berdaya saing dalam bidang ekonomi.  Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara akan menghasilkan pelajar berkualiti yang akan menjadi pemimpin pada masa hadapan.  Dasar pendidikan menekankan lahirnya insan yang seimbang dalam masyarakat yang tinggi nilai rohaninya.  Di samping itu, penekanan kokurikulum dalam pendidikan juga akan melahirkan masyarakat yang berdisiplin.

Pembangunan modal insan ini penting bagi meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta melahirkan rakyat berminda kelas pertama.  Masyarakat yang berpengetahuan mampu berdaya saing, berbudaya kerja cemerlang dan memiliki kekuatan mental.  Modal insan merupakan petunjuk penting dalam pembangunan sesebuah negara.  Kita perlu sedar dalam menghadapi cabaran globalisasi, rakyat terutamanya generasi muda perlu bijak mengadun antara nilai tradisional dan kontemporari dalam usaha memajukan negara dan martabat bangsa.

Sistem pendidikan yang ditawarkan amat gagah dan cuba melakukan transformasi menyeluruh terhadap cara dan daya hidup rakyat. Keadaan ini dapat menjanakan dan menempa kemajuan dalam semua bidang.  Dalam membangunkan modal insan terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi oleh masyarakat kini termasuklah salah laku rasuah yang masih menjadi amalan dalam sesetengah organisasi, jenayah berat yang kian meningkat, hubungan kekeluargaan yang kian renggang dan terlalu memberikan tumpuan kepada pembangunan fizikal.

Pembinaan negara bangsa bagi sesebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia berasaskan pembentukan dan pembangunan modal insan yang bersepadu dan seimbang.  Nilai-nilai murni yang sentiasa diamalkan dalam masyarakat akan dapat membentuk sebuah negara Nasional 2050 (TN50) dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Dipetik dan diubah suai daripada
Pentingnya Pembangunan Modal Insan
Oleh Dr. Aminuddin Mansor

 

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

  1. Berikan maksud rangkai kata melakukan transformasi. (2 m)
  2. Pengarang mengemukakan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh masyarakat kini dalam membangunkan modal insan. Nyatakan cabaran-cabaran tersebut. (3 m)
  3. Ibu bapa berperanan sebagai pendidik dan pembimbing anak-anak di rumah.  Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa dalam membentuk sahsiah anak-anak ?(4 m)