KC20 – PERMAINAN TRADISIONAL-PCB N9 2018

Tema : permainan tradisional

Fokus Soalan : usaha-usaha mempopularkan permainan tradisional

Isi :

  1. menjadikan permainan tradisional sebahagian daripada aktiviti kokurikulum
  2. menganjurkan pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa
  3. menyediakan kemudahan permainan

Yang lama dikelek, yang baharu didukung.  Madah hikmah ini amat bertepatan dengan isu kelestarian permainan tradisional seperti congkak, gasing, sepak raga dan wau sehingga menjadi bual bicara oleh rakyat Malaysia yang kian celik tentang kepentingannya.  Hal ini demikian kerana rakyat negara ini mengetahui bahawa mengekalkan permainan tradisional mendatangkan banyak faedah.  Sehubungan dengan itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk meningkatkan kesedaran berkaitan isu ini dalam kalangan masyarakat sehingga mencapai objektifnya bak pepatah alang-alang berdakwat biar hitam.  Persoalan yang akan menjadi topik perbincangan seterusnya ialah apakah usaha-usaha mempopularkan permainan tradisional di negara kita?

Bunga kenanga bunga teratai, idea perdana pembuka tirai.  Idea utama yang ingin diketengahkan dalam senario ini ialah Kementerian Pendidikan Malaysia menjadikan permainan tradisional sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah.  Hal ini dikatakan sedemikian kerana murid perlu didedahkan  tentang permainan tradisional sejak kecil agar minat mereka dapat dipupuk.  Antara contoh yang boleh dikemukakan dalam hal ini ialah pihak sekolah mewujudkan Kelab Permainan Tradisional di sekolah dan guru penasihat perlu mengajar teknik permainan yang betul kepada ahli kelab serta menganjurkan Minggu Permainan Tradisional peringkat sekolah.  Secara tidak langsung, murid juga akan dapat mendedahkan teknik permainan tersebut kepada ahli keluarga dan rakan-rakan yang lain.  Sudah terang lagi bersuluh bahawa menjadikan permainan tradisional sebahagian aktiviti kokurikulum juga  merupakan antara usaha yang pragmatik untuk mempopularkan permainan tradisional warisan bangsa.

Buah pauh delima merah, fakta kukuh mengorak langkah.  Tidak dapat disangkal bahawa penganjuran pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa oleh kerajaan  juga antara usaha mempopularkan permainan tradisional.  Situasi ini berkait rapat dengan tanggungjawab pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berkolaboratif dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk menjadikan pertandingan permainan tradisional sebagai aset industri pelancongan negara.  Contoh pertandingan yang paling sesuai untuk menjelaskan situasi ini ialah pertandingan sepak raga peringkat antarabangsa mampu menggalakkan kemasukan pelancong asing ke negara untuk menyaksikan pertandingan tersebut.  Hal ini bermaksud bukan sahaja sepak raga diperkenalkan malahan negara turut menjanakan pendapatan.  Tidak dapat dinafikan lagi bahawa pertandingan permainan tradisional  adalah sebahagian daripada langkah untuk memastikan kelestarian permainan tradisional.

Delima batu manis bersira, pandangan jitu menyambung bicara.  Selain itu, menyediakan kemudahan permainan tradisional  turut mewarnai topik perbincangan berkaitan situasi ini.  Hal  ini bermaksud rakyat diberi peluang untuk bermain permainan tradisional secara berpusat tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi.  Contoh yang boleh kita kupas ialah pihak swasta boleh menyalurkan dana untuk menyediakan kemudahan seperti gelanggang gasing, gelanggang sepak raga, peralatan untuk bermain permainan tradisional kepada masyarakat setempat.   Masyarakat juga mengetahui bahawa pihak swasta pasti mampu untuk menyediakan kemudahan-kemudahan ini dengan galakan daripada pihak kerajaan sebagai tanggungjawab sosial mereka.  Maka, jelaslah di sini bahawa menyediakan kemudahan permainan tradisional  merupakan antara langkah yang bijak untuk mempopularkan permainan tradisional dalam kalangan rakyat marhaen.

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa permainan tradisional warisan bangsa tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakat.  Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita mestilah saling bekerjasama dan bukannya bersikap bagai enau dalam belukar dalam menghadapi sebarang isu berkaitan senario ini.  Semoga segala usaha yang dilakukan berjaya memastikan permainan tradisional semakin popular.  Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.  Sebagai penutup bicara, marilah sama-sama kita hayati sebuah  ungkapan yang bermakna iaitu Permainan Tradisional Lambang Keunikan Bangsa Malaysia.