KC19- Amalan Nilai Murni Murid

 

Tema : Nilai murni

Fokus Soalan : amalan nilai murni murid

Isi :

  1. membantu guru
  2. rajin mengulangkaji pelajaran
  3. menepati masa

 

 

Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.  Madah hikmah ini amat bertepatan dengan isu amalan nilai murni sehingga menjadi bual bicara oleh rakyat Malaysia yang kian celik tentang kepentingannya.  Hal ini demikian kerana rakyat negara ini mengetahui bahawa amalan nilai murni mendatangkan banyak faedah kepada masyarakat.  Sehubungan dengan itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk meningkatkan kesedaran berkaitan isu ini dalam kalangan murid sehingga mencapai objektifnya bak pepatah alang-alang berdakwat biar hitam.  Persoalan yang akan menjadi topik perbincangan seterusnya ialah apakah amalan nilai murni dalam kalangan murid?

Bunga kenanga bunga teratai, idea perdana pembuka tirai.  Idea utama yang ingin diketengahkan dalam senario ini ialah murid sentiasa ikhlas membantu guru sebagai amalan nilai murni dalam hidup.  Hal ini dikatakan sedemikian kerana murid yang gemar membantu guru selalunya akan disayangi dan dipuji oleh guru sekali gus dapat mendatangkan keberkatan guru kepada murid.  Antara contoh yang boleh dikemukakan dalam hal ini ialah murid boleh membantu guru mengangkat buku atau beg ke bilik guru, membantu guru mengawal kelas dan menjaga kebersihan kelas.  Secara tidak langsung, murid akan dapat belajar dalam suasana yang kondusif.  Sudah terang lagi bersuluh bahawa membantu guru merupakan antara amalan nilai murni yang perlu dipraktikkan oleh murid.

Buah pauh delima merah, fakta kukuh mengorak langkah.  Tidak dapat disangkal bahawa rajin mengulang kaji  juga antara amalan nilai murni murid.  Situasi ini berkait rapat dengan tanggungjawab murid untuk menggenggam kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.  Contoh amalan yang paling sesuai untuk menjelaskan situasi ini ialah murid perlu menyediakan dan mematuhi jadual belajar selain sentiasa fokus semasa guru mengajar di kelas.  Hal ini bermaksud murid yang rajin belajar tidak akan tersasar daripada tanggungjawab sebenarnya pada usia remaja.  Tidak dapat dinafikan lagi bahawa rajin mengulangkaji pelajaran adalah sebahagian daripada amalan nilai murni yang perlu menjadi pegangan murid.

Delima batu manis bersira, pandangan jitu menyambung bicara.  Selain itu, amalan menepati masa turut mewarnai topik perbincangan berkaitan nilai murni murid.  Hal  ini bermaksud murid perlu menghayati konsep masa itu emas agar tidak membazir masa yang ada dengan perkara yang tidak berfaedah.  Contoh yang boleh kita kupas ialah murid mematuhi jadual belajar, mematuhi masa kelas tambahan yang diadakan dan solat pada awal waktu sebagai tanda kehambaan pada Tuhan.  Murid dapat mengetahui bahawa masa yang dibazirkan tidak mungkin diulang kembali.  Maka, jelaslah di sini bahawa menepati masa merupakan antara amalan nilai murni yang wajib dijadikan prinsip hidup.

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa amalan nilai murini tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakat.  Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita mestilah saling bekerjasama dan bukannya bersikap bagai enau dalam belukar dalam menghadapi sebarang isu berkaitan senario ini.  Semoga segala usaha yang dilakukan berjaya memastikan amalan nilai murni murid semakin teguh. Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.  Sebagai penutup bicara, marilah sama-sama kita hayati sebuah  ungkapan yang bermakna iaitu Remaja Berkualiti Pemangkin Kecemerlangan Ummah.