KC18-Kelebihan Melanjutkan Pelajaran ke IPT-Johor 2018

Karangan adalah panduan untuk pelajar berkemahiran sederhana dalam penulisan karangan. Moga dapat membantu.

Gantunglah cita-citamu setinggi bintang di langit.  Madah hikmah ini amat bertepatan dengan impian melanjutkan pelajaran ke menara gading sehingga menjadi bual bicara rakyat Malaysia yang kian celik tentang kepentingannya.  Hal ini demikian kerana pelajar zaman milenium ini mengetahui bahawa melanjutkan pelajaran ke menara gading mendatangkan banyak impak positif terutamanya untuk masa depan yang lebih gemilang.  Sehubungan dengan itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk meningkatkan kesedaran berkaitan isu ini dalam kalangan remaja sehingga mencapai objektifnya bak pepatah alang-alang berdakwat biar hitam.  Persoalan yang akan menjadi topik perbincangan seterusnya ialah apakah kelebihan melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT)?

Bunga cendana bunga teratai, idea perdana pembuka tirai.  Idea utama yang ingin diketengahkan dalam senario ini ialah pemegang diploma atau ijazah bakal mendapat peluang pekerjaan yang luas selepas berhempas pulas belajar dalam jurusan yang diminati.  Hal ini dikatakan demikian kerana Malaysia memerlukan banyak tenaga kerja mahir dalam pelbagai sektor untuk memacu kemajuan negara ke arah Transfomasi Nasional 50.  Antara contoh yang boleh dikemukakan dalam hal ini ialah negara masih kekurangan tenaga pakar dalam bidang kesihatan sehingga terpaksa menggaji doktor pakar dari negara luar.  Begitu juga dengan arkitek, jurutera bertaraf dunia dan lain-lain lagi.   Secara tidak langsung, hal ini membuktikan bahawa terdapat banyak peluang pekerjaan untuk  diisi oleh rakyat tempatan yang berkualiti dan berminda kelas pertama hasil asuhan di IPT terpilih.  Sudah terang lagi bersuluh bahawa mendapat peluang pekerjaan yang luas merupakan antara kelebihan melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Burung tempua burung merbah, pendapat kedua mengorak langkah.  Tidak dapat disangkal bahawa mahasiswa lebih mendapat kepercayaan daripada masyarakat juga antara manfaat melanjutkan pelajaran ke IPT.  Situasi ini berkait rapat dengan kredibiliti dan kewibawaan yang diterapkan  dalam diri siswa dan siswi semasa belajar di IPT dan sikap ini terus diamalkan ke alam pekerjaan selepas menamatkan pembelajaran.  Contoh yang paling sesuai untuk menjelaskan situasi ini ialah siswa siswi telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran semasa belajar termasuklah kemahiran komunikasi dan sahsiah yang tinggi melalui pelbagai program khidmat masyarakat.  Hal ini bermaksud masyarakat akan lebih yakin untuk menyerahkan amanah kepada insan yang bukan sahaja berilmu malahan mempunyai kemahiran interpersonal yang baik serta jaringan yang lebih luas.  Tidak dapat dinafikan lagi bahawa mendapat kepercayaan masyarakat  adalah sebahagian daripada kemaslahatan meneruskan pengajian ke IPT.

Buah pauh buah ara, fakta kukuh penyambung bicara.  Graduan IPT biasanya mempunyai pendapat yang lebih tinggi turut mewarnai topik perbincangan berkaitan kepentingan melanjutkan pelajaran ke IPT.  Hal  ini dapat dijelaskan dengan peluang kerja dengan gaji lumayan yang ditawarkan oleh pihak majikan sesuai dengan kepakaran dan kemahiran yang dimiliki oleh graduan IPT.  Contoh yang boleh kita kupas ialah emolumen permulaan seorang lepasan universiti di jabatan kerajaan ialah RM3000 ke atas berbanding emolumen seorang pemegang sijil.  Kita mengetahui bahawa semakin tinggi taraf pendidikan seseorang, semakin tinggi pendapatan yang diterima dan hal inilah yang menyebabkan ada pekerja sanggup mengambil cuti untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.  Sudah terang lagi bersuluh bahawa pendapatan yang lumayan merupakan antara faedah menjadi graduan menara gading.

Akhir kalam, sudah terang lagi bersuluh bahawa impian melanjutkan pelajaran ke menara gading tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakat.  Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita mestilah saling bekerjasama dan bukannya bersikap bagai enau dalam belukar dalam menghadapi sebarang isu berkaitan senario ini.  Semoga segala usaha yang dilakukan berjaya memastikan pelajar yang melanjutkan pelajaran ke menara gading semakin berkualiti.  Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.  Sebagai penutup bicara, marilah sama-sama kita hayati sebuah  ungkapan yang bermakna iaitu Modal Insan Minda Kelas Pertama Impian Negara Terbilang.