KC18-Aktiviti Minggu Bahasa

Tema : Minggu Bahasa

Fokus Soalan : Aktiviti Minggu bahasa peringkat sekolah

Isi :

  1. aktiviti persembahan
  2. aktiviti pertandingan
  3. aktiviti penulisan

 Bahasa Jiwa Bangsa.  Madah hikmah ini amat bertepatan dengan isu minggu bahasa sehingga menjadi bual bicara oleh pelajar yang kian celik tentang kepentingannya.  Hal ini demikian kerana pelajar negara ini mengetahui bahawa minggu bahasa di sekolah mendatangkan banyak faedah.  Sehubungan dengan itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk meningkatkan kesedaran berkaitan isu ini dalam kalangan remaja sehingga mencapai objektifnya bak pepatah alang-alang berdakwat biar hitam.  Persoalan yang akan menjadi topik perbincangan seterusnya ialah apakah aktiviti minggu bahasa di sekolah?

Idea utama yang ingin diketengahkan dalam senario ini ialah pihak sekolah mengadakan aktiviti persembahan sebagai aktiviti minggu bahasa.  Hal ini dikatakan sedemikian kerana aktiviti persembahan mampu menarik perhatian para pelajar untuk mendalami bahasa secara tidak langsung.  Antara contoh yang boleh dikemukakan dalam hal ini ialah pelajar-pelajar dilatih untuk menghafal skrip lakonan menggunakan dialog dan intonasi yang betul untuk membuat persembahan.  Secara tidak langsung, aktiviti ini dapat mendidik pelajar yang berlakon dan juga penonton untuk mempraktikkan penggunaan bahasa yang betul.  Sudah terang lagi bersuluh bahawa aktiviti persembahan merupakan antara aktiviti minggu bahasa yang sesuai diadakan di sekolah.

Tidak dapat disangkal bahawa aktiviti penulisan juga antara aktiviti minggu bahasa di sekolah.  Situasi ini berkait rapat dengan kemahiran menzahirkan idea baru menggunakan bahasa untuk disampaikan kepada pembaca.  Contoh aktiviti yang paling sesuai untuk menjelaskan situasi ini ialah bengkel menghasilkan sajak, puisi atau menulis karangan yang cemerlang.  Hal ini bermaksud pelajar diberi peluang untuk menyampaikan idea mereka dengan menggunakan kosa kata yang betul dan teknik yang tepat dalam penulisan.  Tidak dapat dinafikan lagi bahawa aktiviti penulisan adalah sebahagian daripada aktiviti minggu bahasa di sekolah.

Selain itu, aktiviti pertandingan turut mewarnai topik perbincangan berkaitan aktiviti minggu bahasa di sekolah.  Hal  ini bermaksud pelajar dapat mempraktikkan pengetahuan tentang sesuai isu dengan menggunakan bahasa baku melalui pertandingan yang diadakan.  Contoh pertandingan yang boleh kita kupas ialah pertandingan pidato, syarahan, debat, mendeklamasikan puisi dan sebagainya.  Remaja akan dapat mengetahui bahawa kemahiran menggunakan bahasa yang betul melambangkan jati diri rakyat Malaysia.  Maka, jelaslah di sini bahawa aktiviti pertandingan merupakan antara aktiviti minggu bahasa yang baik untuk dilaksanakan di sekolah.

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa minggu bahasa tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakat.  Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita mestilah saling bekerjasama dan bukannya bersikap bagai enau dalam belukar dalam menghadapi sebarang isu berkaitan senario ini.  Semoga segala usaha yang dilakukan berjaya memastikan minggu bahasa semakin dinaiktaraf. Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.  Sebagai penutup bicara, marilah sama-sama kita hayati sebuah  ungkapan yang bermakna iaitu Bahasa Kebangsaan Pemangkin Kecemerlangan Negara.