KC17 – Langkah Memupuk Jati Diri Remaja-PCB Pahang 2018

Tema : Jati diri remaja

Fokus Soalan : usaha-usaha untuk memupuk jati diri remaja

Isi :

  1. menghargai jasa tokoh negara
  2. kempen oleh pihak kerajaan
  3. menghayati mata pelajaran sejarah

 

Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.  Madah hikmah ini amat bertepatan dengan isu jati diri remaja sehingga menjadi bual bicara oleh rakyat Malaysia yang kian celik tentang kepentingannya.  Hal ini demikian kerana rakyat negara ini mengetahui bahawa jati diri remaja mendatangkan banyak faedah.  Sehubungan dengan itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk meningkatkan kesedaran berkaitan isu ini dalam kalangan remaja sehingga mencapai objektifnya bak pepatah alang-alang berdakwat biar hitam.  Persoalan yang akan menjadi topik perbincangan seterusnya ialah apakah usaha-usaha untuk memupuk jati diri remaja?

Idea utama yang ingin diketengahkan dalam senario ini ialah remaja perlu diasuh menghargai jasa tokoh pejuang tanah air sebagai usaha untuk memupuk jati diri mereka.  Hal ini dikatakan sedemikian kerana tokoh pejuang negara telah berkorban masa, harta, tenaga dan nyawa untuk membebaskan negara daripada penjajah.  Antara contoh yang boleh dikemukakan dalam hal ini ialah ibu bapa dan pihak sekolah mendidik remaja untuk menghargai dan menghayati pengorbanan Tunku Abdul Rahman serta rakyat Tanah Melayu yang bertungkus lumus untuk mendapatkan kemerdekaan negara.  Secara tidak langsung, pengorbanan ini dapat menjadi pedoman kepada remaja untuk menghargai kemerdekaan yang dinikmati hasil jerih perih pejuang negara.  Sudah terang lagi bersuluh bahawa menghargai jasa tokoh negara merupakan antara usaha untuk memupuk jati diri remaja.

Tidak dapat disangkal bahawa kempen oleh pihak kerajaan juga antara usaha memupuk jati diri remaja.  Situasi ini berkait rapat dengan tanggungjawab pihak kerajaan untuk melaksanakan kempen memupuk jati diri remaja secara menyeluruh ke seluruh negara demi memastikan negara mempunyai bakal pemimpin negara.  Contoh kempen yang paling sesuai untuk menjelaskan situasi ini ialah setiap sekolah di Malaysia diwajibkan untuk menganjurkan sambutan Bulan Kemerdekaan secara besar-besaran  dan program Sehati Sejiwa yang melibatkan semua rakyat Malaysia.  Hal ini bermaksud remaja diberi peluang untuk menikmati imbasan detik-detik bersejarah supaya mereka dapat memupuk rasa cinta akan negara.  Tidak dapat dinafikan lagi bahawa kempen oleh pihak kerajaan adalah sebahagian daripada usaha memupuk jati diri remaja.

Selain itu, menghayati matapelajaran Sejarah turut mewarnai topik perbincangan berkaitan strategi memupuk jati diri remaja.  Hal  ini bermaksud remaja akan mendapat pengetahuan tentang detik-detik penting yang berlaku dalam negara kita daripada guru Sejarah yang pakar dalam bidang sejarah.  Contoh detik sejarah yang boleh kita kupas ialah detik penjajahan tentera Jepun yang menyebabkan rakyat menderita dan hidup dalam ketakutan serta pengajaran yang dapat dijadikan pedoman.  Remaja akan dapat mengetahui bahawa mereka perlu mempunyai jati diri yang teguh untuk mengelakkan pisang berbuah kali kedua kerana kesan perang amat memudaratkan.  Maka, jelaslah di sini bahawa menghayati matapelajaran Sejarah merupakan antara langkah memupuk jati diri remaja yang perlu dipraktikkan sejak muda.

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa jati diri remaja tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakat.  Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita mestilah saling bekerjasama dan bukannya bersikap bagai enau dalam belukar dalam menghadapi sebarang isu berkaitan senario ini.  Semoga segala usaha yang dilakukan berjaya memastikan jati diri remaja semakin teguh.  Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Sebagai penutup bicara, marilah sama-sama kita hayati sebuah  ungkapan yang bermakna iaitu Remaja Berkualiti Pemangkin Kecemerlangan Ummah.