KC16- Peranan Pemimpin Pelajar- PCB Kelantan 2018

Contoh karangan adalah untuk panduan pelajar sederhana dalam penulisan karangan.   Moga membantu.

Tema : Pemimpin pelajar
Fokus Soalan : Peranan pemimpin pelajar

Isi :

  1. memastikan peraturan sekolah dipatuhi
  2. membantu menjayakan program sekolah
  3. membantu menjaga kebersihan dan keceriaan sekolah

 

Pemimpin Berkualiti Impian Negara.  Madah hikmah ini amat bertepatan dengan isu pemimpin pelajar di sekolah sehingga menjadi bual bicara warga sekolah yang kian celik tentang kepentingannya.  Hal ini demikian kerana rakyat negara ini mengetahui bahawa menjadi pemimpin pelajar di sekolah mendatangkan banyak faedah seperti pelajar dapat mencungkil bakat memimpin dalam diri.  Pelbagai usaha berkaitan situasi ini telah dijalankan dan hasilnya agak memberangsangkan kerana pelajar semakin berminat untuk menjadi pemimpin pelajar di sekolah.  Sehubungan dengan itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk meningkatkan kesedaran berkaitan isu ini dalam kalangan pelajar sehingga mencapai objektifnya bak pepatah alang-alang berdakwat biar hitam.  Persoalan yang akan menjadi topik perbincangan seterusnya ialah apakah tanggungjawab pemimpin pelajar di sekolah?

Idea utama yang ingin diketengahkan dalam senario ini ialah pemimpin pelajar di sekolah bertanggungjawab memastikan peraturan sekolah dipatuhi.  Hal ini dikatakan sedemikian kerana pemimpin pelajar seperti pengawas sekolah diberi tanggungjawab untuk membantu guru mengesan salah laku yang dilakukan oleh pelajar agar sekolah dalam keadaan terkawal.  Antara contoh yang boleh dikemukakan dalam hal ini ialah pemimpin pelajar memastikan pelajar datang ke sekolah pada masa yang ditetapkan, tidak merokok di sekolah dan mengelakkan kes buli di sekolah.  Secara tidak langsung, kes-kes disiplin dapat dikurangkan dengan bantuan pemimpin pelajar yang berkualiti.  Sudah terang lagi bersuluh bahawa memastikan peraturan sekolah dipatuhi merupakan antara peranan pemimpin pelajar.

 Tidak dapat disangkal bahawa membantu menjayakan program sekolah juga antara peranan pemimpin pelajar.  Situasi ini berkait rapat dengan penganjuran pelbagai program di sekolah sama ada dalam bidang kurikulum, kokurikulum ataupun sahsiah yang memerlukan banyak tenaga kerja.  Contoh yang paling sesuai untuk menjelaskan situasi ini ialah pemimpin pelajar membantu guru menjayakan Sambutan Hari Guru, Sambutan Bulan Kemerdekaan, Kejohanan Sukan Tahunan dan lain-lain lagi.  Hal ini bermaksud pemimpin pelajar dilatih untuk membantu meringankan beban tugas guru di samping melancarkan perjalanan program.  Tidak dapat dinafikan bahawa membantu menjayakan program sekolah adalah sebahagian daripada tugas murni pemimpin pelajar di sekolah.

 Selain itu, memantau kebersihan dan keceriaan sekolah turut mewarnai topik perbincangan berkaitan tanggungjawab pemimpin pelajar. Situasi ini bermaksud setiap pemimpin pelajar perlu meronda kawasan sekolah mengikut jadual yang telah ditetapkan dan membuat laporan kepada guru bertugas.  Contoh laporan yang boleh kita kupas adalah tentang kerosakan yang mungkin membahayakan, sikap membuang sampah merata-rata dalam kalangan pelajar dan kegiatan vandalisme yang berlaku.  Mereka mengetahui bahawa laporan ini dapat membantu guru mengambil tindakan selanjutnya untuk memperbaiki keadaan.  Maka, jelaslah di sini bahawa memantau kebersihan dan keceriaan sekolah merupakan antara tugas pemimpin pelajar.

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pemimpin pelajar seperti pengawas sekolah, pengawas pusat sumber dan pengawas koperasi tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakat.  Sebagai pelajar yang bertanggungjawab, kita mestilah saling bekerjasama dan bukannya bersikap bagai enau dalam belukar dalam menghadapi sebarang isu berkaitan senario ini.  Semoga segala usaha yang dilakukan berjaya memastikan peranan pemimpin pelajar semakin mantap.  Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.  Sebagai penutup bicara, marilah sama-sama kita hayati sebuah  ungkapan yang bermakna iaitu Pemimpin Berkualiti Pemangkin Kecemerlangan Negara.