KC15 : Kebaikan Mengadakan Rumah Terbuka – PCB Perak 2018

Contah karangan adalah untuk panduan pelajar berkemahiran sederhana dalam penulisan karangan.  Moga membantu.

Orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa.  Madah hikmah ini amat bertepatan dengan isu amalan rumah terbuka sehingga menjadi bual bicara warga Malaysia yang kian celik tentang kepentingannya.  Hal ini demikian kerana rakyat negara ini mengetahui bahawa amalan rumah terbuka mendatangkan banyak faedah kepada masyarakat.  Sehubungan dengan itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk meningkatkan kesedaran berkaitan isu ini dalam kalangan rakyat sehingga mencapai objektifnya bak pepatah alang-alang berdakwat biar hitam.  Persoalan yang akan menjadi topik perbincangan seterusnya ialah apakah kebaikan-kebaikan mengadakan rumah terbuka?

Idea utama yang ingin diketengahkan dalam senario ini ialah amalan rumah terbuka dapat mengeratkan perpaduan.  Hal ini dikatakan sedemikian kerana tuan rumah biasanya akan menjemput sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai yang berlainan bangsa untuk hadir ke majlis tersebut.  Antara contoh yang boleh dikemukakan dalam hal ini ialah pertemuan tetamu pelbagai bangsa pada satu masa di suatu tempat yang sama akan mencipta ukhuwah baharu sesama mereka dan saling berkenalan ketika menjamu selera.  Secara tidak langsung, mereka dapat menjalinkan hubungan yang lebih erat dan bersikap lebih terbuka terhadap bangsa lain.  Sudah terang lagi bersuluh bahawa mengeratkan perpaduan merupakan antara kebaikan mengadakan rumah terbuka.

Tidak dapat disangkal bahawa masyarakat dapat memahami budaya kaum lain juga antara kelebihan mengadakan rumah terbuka.  Situasi ini berkait rapat dengan adat dan budaya tuan rumah yang perlu dihormati oleh tetamu atau sebaliknya.  Contoh yang paling sesuai untuk menjelaskan situasi ini ialah tuan rumah bukan Islam tidak akan menyediakan makanan yang tidak halal dimakan oleh tetamu beragama Islam.  Tetamu juga tidak akan membawa oleh-oleh yang melanggar pantang larang tuan rumah.  Hal ini bermaksud tuan rumah dan tetamu saling menghormati budaya yang berbeza dan hal ini dapat menghindari sebarang perbalahan.  Tidak dapat dinafikan lagi bahawa masyarakat dapat memahami budaya kaum lain adalah sebahagian daripada kelebihan mengadakan rumah terbuka.

Selain itu, dapat mengeratkan hubungan silaturahim turut mewarnai topik perbincangan berkaitan kepentingan mengadakan rumah terbuka.  Hal ini bermaksud setiap kali rumah terbuka diadakan, sahabat handai dan saudara mara akan mempunyai peluang keemasan untuk bersua muka dengan tuan rumah.  Contoh yang boleh kita kupas ialah kebanyakan masyarakat sangat sibuk dengan urusan kerja dan hanya dapat bertemu pada masa cuti perayaan yang agak panjang, justeru mengadakan rumah terbuka merupakan wadah terbaik.  Kita mengetahui bahawa hubungan yang baik perlu diteruskan kerana hal ini membawa kebaikan dalam masyarakat ibarat bersatu teguh bercerai roboh.  Maka, jelaslah di sini bahawa dapat mengeratkan silaturahim merupakan antara kebaikan mengadakan rumah terbuka.

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa amalan rumah terbuka tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakat.  Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita mestilah saling bekerjasama dan bukannya bersikap bagai enau dalam belukar dalam menghadapi sebarang isu berkaitan senario ini.  Semoga segala usaha yang dilakukan berjaya memastikan amalan rumah terbuka semakin dipraktikkan.  Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.  Sebagai penutup bicara, marilah sama-sama kita hayati sebuah  ungkapan yang bermakna iaitu Rumah Terbuka Pemangkin Perpaduan Negara.