Latihan 11 – Burung Terbang dipipiskan Lada

Maka kedengaranlah ke Melaka, Cau Pandan anak Bubunnya, akan dititahkan menyerang Melaka. Maka ada seorang hamba Allah diam di Melaka, bangsanya Arab, Sidi Arab namanya disebut orang. Maka tuan itu senantiasa bermain panah lasykar, seperti dewal orang berzikir. Barang ke mana tuan itu pergi, panah itu dibawanya. Maka tatkala itu, Tuan Sidi Arab itu pun menghadap Sultan Muzaffar Syah. Telah tuan itu mendengar khabar Cau Pandan akan datang ke Melaka itu, maka tuan itu pun berdiri di hadapan baginda. Maka dihalakannya panahnya itu ke benua Siam. Maka kata Tuan Sidi Arab, sambil menarik panahnya itu, “Mati engkau, Cau Pandan.”

Maka Sultan Muzaffar Syah pun tersenyum; maka titah baginda pada Tuan Sidi Arab itu, “Jikalau sungguh mati Cau Pandan, sungguhlah Tuan keramat.”

Adapun Cau Pandan itu, lagi di benua Siam, maka berasa kepada dadanya seperti kena panah, maka Cau Pandan pun sakit muntahkan darah lalu mati. Maka tidaklah jadi Siam menyerang Melaka, sebab mati Cau Pandan itu. Maka itulah diperbuatkan orang nyanyi:

Cau Pandan anak Bubunnya, hendak menyerang ke Melaka; Ada cincin berisi bunga, Bunga berladung si air mata.


i.  Berikan maksud rangkai kata sungguhlah tuan keramat.

Maksud rangkai kata sungguhlah tuan keramat ialah benarlah Sidi Arab hebat.


ii.  Bagaimanakah Tuan Sidi Arab berjaya menghalang Cau Pandan anak Bubunnya daripada menyerang Melaka?

Tuan Sidi Arab berjaya menghalang Cau Pandan anak Bubunya daripada menyerang Melaka dengan cara membunuhnya dari jauh menggunakan anak panah yang sering dibawanya.  Panah itu dihalakan ke Benua Siam dan Sidi Arab berkata “Matilah engkau Cau Pandan” sambil menarik anak panahnya.


iii.  Tuan Sidi Arab amat pakar dalam memanah. Pada pendapat anda, apakah kepentingan khidmat pakar dalam sistem pertahanan sesebuah negara?

Pada pendapat saya, khidmat pakar dalam sistem pertahanan sesebuah negara amat penting untuk mengkaji kelebihan dan kelemahan sistem pertahanan negara.  Mereka juga dapat menghasilkan strategi baru untuk mengatasi kelemahan yang ada.  Pihak musuh juga akan berasa gerun jika sesebuah negara mempunyai pakar yang diakui dalam sistem pertahanan negara.