Latihan 9 – Burung Terbang dipipiskan Lada

Adapun segala orang Siam yang kembali itu, telah ia sampai ke benua Siam, maka Awi Dicu pun masuk menghadap Paduka Bubunnya. Maka Paduka Bubunnya pun terlalu marah; maka ia sendiri hendak pergi menyerang Melaka itu. Maka ada seorang anak Paduka Bubunnya, Cau Pandan namanya. Maka ialah bercakap Ke Bawah Duli Paduka Bubunnya hendak menyerang Melaka, sembahnya “Duli Pra Cau, lengkapi patik, patiklah mengalahkan Melaka itu.”

Maka Paduka Bubunnya pun terlalu suka mendengar sembah Cau Pandan itu. Maka baginda pun menyuruh berlengkap kepada Pra Kelong delapan ratus sum, lain perahu kecil-kecil tiada terbilang lagi, sekadar menantikan musim juga lagi.

Maka kedengaranlah ke Melaka, Cau Pandan, anak Bubunnya akan dititahkan menyerang Melaka. Maka ada seorang hamba Allah diam di Melaka, bangsanya Arab, Sidi Arab namanya disebut orang. Maka tuan itu senantiasa bermain panah lasykar, seperti dewal orang berzikir. Barang ke mana tuan itu pergi, panah itu dibawanya. Maka tatkala itu Tuan Sidi Arab itu pun ada menghadap Sultan Muzaffar Syah. Telah tuan itu mendengar khabar Cau Pandan akan datang ke Melaka itu, maka tuan itu pun berdiri di hadapan baginda. Maka dihalakannya panahnya itu ke benua Siam. Maka kata Tuan Sidi Arab, sambil menarik panahnya itu, “Mati engkau, Cau Pandan.”

i.  Berikan maksud rangkai kata sekadar menantikan musim juga lagi.

Maksud rangkai kata menantikan musim juga lagi ialah hanya menunggu masa.

—————————————

ii. Nyatakan reaksi Sidi Arab sebaik sahaja mendapat tahu bahawa Melaka akan diserang oleh Siam.

Sebaik sahaja Sidi Arah mendapat tahu bahawa Melaka akan diserang oleh Siam, dia terus menghadap Sultan Muzaffar Syah. Smabil berdiri di hadapan sultan, Sidi Arab menghalakan panahnya ke arah Benua Siam.  Sambil menarik panahnya, Sidi Arab berkata “Mati engkau, Cau Pandan.”

—————————————

iii.  Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh kerajaan sebelum menghadapi peperangan.

Pada pendapat saya, sebelum menghadapi peperangan, sesebuah kerajaan perlu memastikan bala tenteranya bersedia dari segi mental dan fizikal.  Selain itu, kerajaan perlu menyediakan kelengkapan perang yang mencukupi.  Kerajaan juga perlu menyediakan bekalan makanan dan ubat-ubatan yang lengkapStrategi peperangan yang berkesan juga perlu dicari untuk menawan musuh.