KC8- Masalah Keruntuhan Akhlak

Remaja sering dianggap menghadapi krisis identiti sehingga menyebabkan mereka terjerumus dalam kancah negatif.

Huraikan strategi-strategi untuk membantu remaja mengatasi masalah ini.

Remaja alaf milenium sering kali mencetuskan polemik berkaitan keruntuhan akhlak yang mendapat perhatian masyarakat.  Penglibatan dalam kancah penyalahgunaan dadah, perlakuan seks bebas sehingga mengundang perbuatan membuang bayi yang tidak berdosa, kegiatan menunjukkan kehebatan di jalan raya dan pelbagai rencam perbuatan selalu menjadi bahan perdebatan antara remaja dan golongan dewasa yang rata-rata beranggapan bahawa akhlak remaja hari ini semakin kronik.  Menurut kaca mata remaja, mereka sekadar ingin melepaskan tekanan dan gelodak rasa yang melingkari jiwa.  Sampai masanya mereka akan bertaubat daripada perlakuan-perlakuan yang dianggap menyusahkan ahli masyarakat yang lain.  Senario ini berlaku disebabkan pada usia remaja, kebanyakan mereka mengalami krisis identiti iaitu masalah dalam diri untuk mematuhi budaya dan gaya hidup yang berada di landasan yang selari dengan nilai murni.  Kegagalan inilah yang menjadi punca remaja begitu mendambakan budaya hedonisme.  Namun, masih ada remaja yang mempunyai jati diri dan tidak terlibat dalam kancah negatif.  Hal ini membuktikan bahawa jika strategi yang tepat dilakukan, pasti remaja yang bermasalah dapat diselamatkan sebelum nasi menjadi bubur.

Perlakuan negatif remaja biasanya dikaitkan dengan masalah kurangnya didikan agama dan pengamalan nilai murni dalam diri.  Ibu bapa sudah pasti dipersalahkan dalam hal ini kerana dianggap gagal mendidik anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna.  Ibu bapa usah melenting dengan tanggapan ini sebaliknya menyahut cabaran menggalas tanggungjawab untuk memastikan anak-anak mendalami ilmu agama sejak kecil.  Seharusnya mereka menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan menunjukkan sikap yang baik di hadapan anak-anak.  Di sebalik kesibukan mencari rezeki, ibu bapa patut mencuri masa untuk turut serta dalam kelas agama yang dihadiri oleh anak-anak ataupun menggunakan masa tersebut untuk menerapkan nilai murni.  Penerapan nilai murni dalam hidup juga boleh diterapkan secara santai melalui aktiviti menonton televisyen bersama-sama ahli keluarga.  Ibu bapa perlu menjelaskan impak perlakuan yang dilakonkan oleh pelakon dalam rancangan yang ditonton.  Tidak dapat dinafikan bahawa  kecemerlangan individu biasanya dikaitkan dengan kejayaan ibu bapa mencorakkan anak tersebut.

 

Pihak sekolah merupakan entiti yang mampu mempengaruhi remaja.  Peranan efisien unit bimbingan dan kaunseling sangat diperlukan dalam usaha menangani remaja yang terlibat dalam kancah negatif ini.  Tindakan pembetulan perlu dilakukan dengan cara mendidik remaja untuk mengenal diri.  Kaunselor yang berpengalaman mampu mencungkil punca remaja melepaskan tekanan emosi mereka dengan cara yang salah.  Perhatian dan sentuhan kasih sayang yang diberikan oleh kaunselor ataupun guru di sekolah juga sedikit sebanyak mampu memberikan kesedaran kepada remaja untuk kembali ke pangkal jalan.  Jika remaja ini dilabelkan sebagai pelajar nakal atau pelajar bermasalah dan mereka diabaikan di sekolah, masalah akan lebih meruncing.  Pihak sekolah juga perlu melakukan tindakan pencegahan dengan cara mengadakan ceramah kesedaran kepada seluruh warga pelajar untuk mengingatkan mereka tentang akibat jika terlibat dalam kancah negatif.  Pihak polis boleh dijemput agar kempen lebih berkesan.  Jika sekolah menjadi pusat untuk mencegah dan mengawal masalah jiwa remaja, pasti negara akan mempunyai bakal pelapis negara yang berwibawa.

 

Masyarakat lebih gemar mencaci perlakuan buruk remaja berbanding mencari jalan untuk menyelesaikan masalah.  Sikap menuding jari yang dilakukan oleh masyarakat terutamanya golongan yang lebih makan garam sebenarnya mencetuskan pergolakan dalam diri remaja untuk semakin memberontak.  Langkah yang paling mudah dalam menangani masalah ini ialah masyarakat tidak bersikap mudah melatah.  Penduduk setempat perlu mengambil pendekatan untuk mendekati remaja yang bermasalah dan mula memberikan bantuan.  Jika remaja setempat terlibat dalam penyalahgunaan dadah, masyarakat boleh bekerjasama dengan Akademi Antidadah Kebangsaan untuk mendapatkan bantuan.  Ibu bapa remaja terbabit juga perlu diberikan sokongan untuk bekerjasama dalam usaha menyelamatkan anak mereka yang sakit.  Jika remaja yang bermasalah sentiasa didekati oleh golongan dewasa tanpa sikap mencemuh dan menyalahkan, sedikit sebanyak usaha untuk membantu mereka akan dapat dilakukan kerana mereka akan jadi malu alah dengan insan yang mengambil berat terhadap mereka.  Usaha ahli masyarakat perlu dilipatgandakan dan semangat kejiranan yang diamalkan oleh masyarakat zaman dulu perlu kembali disemarakkan.

 

Budaya hedonisme yang mewarnai hidup remaja hari ini berpunca daripada penularannya melalui media massa terutamanya melalui media sosial.  Agak sukar bagi pihak kerajaan untuk menyekat semua laman web yang menyerang norma hidup remaja di Malaysia kerana kita menjunjung dasar langit terbuka.  Selain ibu bapa dan pihak sekolah yang berusaha untuk memantapkan jati diri remaja, pihak media massa boleh membantu dengan cara memaparkan iklan-iklan atau drama pendek yang bertujuan untuk menyemai nilai murni dan pengajaran dalam hidup.  Filem yang mengangkat tema budaya hidup bebas perlu dihadkan penayangannya oleh media massa dengan pemantauan pihak kerajaan.  Artis-artis yang mengamalkan budaya hidup sihat wajar diketengahkan untuk dijadikan idola kepada anak muda.  Artis yang bermasalah juga boleh dijadikan tema drama berkisarkan penglibatan mereka dalam kancah negatif dan penyesalan yang telah dilalui oleh mereka.  Rata-ratanya, remaja lebih mudah menerima nasihat daripada orang yang menjadi idola mereka.  Media massa perlulah kreatif menggunakan saluran mereka untuk mendidik anak bangsa ke arah yang lebih baik walaupun melalui hiburan.

Usaha pihak kerajaan juga diperlukan untuk memastikan negara bertuah ini memiliki bakal pewaris tampuk kepimpinan negara yang berwibawa.  Hukuman penjara terhadap remaja bawah umur mungkin perlu dikaji dengan lebih mendalam agar lebih bersifat untuk mendidik.  Remaja bawah umur ditahan di sekolah juvana tetapi keberkesanan program yang diadakan semasa menjalani hukuman tersebut perlu ditambahbaik.  Mereka yang ditahan perlu diberi peneguhan jati diri yang kukuh agar setelah bebas kelak mereka tidak akan terpujuk untuk kembali ke lembah yang pernah menyebabkan mereka dihukum.  Modul penguasaan kemahiran juga perlu disesuaikan dengan keperluan tenaga kerja semasa supaya pesalah juvana ini dapat membina hidup baru dengan kemahiran yang ada.  Selain itu, kerajaan juga perlu mengkaji bentuk hukuman yang lebih bersifat untuk mendidik.  Remaja yang terlibat dalam salah laku bukan jenayah juga perlu menjalani program pemulihan di bawah agensi yang mempunyai kepakaran untuk membimbing mereka kembali ke pangkal jalan.  Jika kerajaan merangka strategi yang berkesan, pasti masalah remaja kecundang dalam menentukan hala tuju dapat dikurangkan.

 

Kesimpulannya,  tersilap langkah bukanlah penamat bagi remaja untuk mengharungi hidup yang lebih bersinar pada masa hadapan.  Jangan bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing apabila berdepan dengan masalah melibatkan remaja.  Mereka perlu diberikan bimbingan dan tunjuk ajar untuk menentukan yang mana salah dan yang mana betul mengikut norma yang diterima oleh semua peringkat masyarakat.  Remaja pasti dapat menjalani hidup dengan lebih baik melalui kerjasama ibu bapa, pihak sekolah, media massa, pihak kerajaan dan sebagainya.  Jika semua pihak berganding bahu, sudah pasti hasrat Perdana Menteri Malaysia untuk melahirkan bangsa Malaysia yang terbilang mengikut acuan sendiri akan tercapai.  Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.