KC6 – Cara-cara Memupuk Semangat Kejiranan

Hubungan antara jiran semakin longgar dalam kalangan masyarakat pada hari ini.  Jelaskan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk memastikan hubungan ini kembali bersinar dalam jiwa masyarakat.

Tema Semangat kejiranan
Fokus usaha-usaha untuk memupuk semangat kejiranan
Contoh masalah yang berlaku dalam kawasan kejiranan
Ungkapan menarik jiran sepakat membawa berkat

Jiran didefinisikan sebagai sekelompok manusia yang tinggal berhampiran dengan kita dan hidup bersama-sama di sesebuah penempatan.  Pada masa dahulu, jiran dianggap umpama ahli keluarga sendiri sehingga diibaratkan cubit paha kanan, paha kiri merasa juga.  Setiap kebahagian dan kesulitan dikongsi bersama-sama dalam suasana yang harmoni.  Sayangnya, masyarakat alaf baharu kian bersikap tidak endah terhadap kepentingan semangat kejiranan yang pernah menjadi tonggak kekuatan perpaduan bumi bertuah ini.  Bukanlah satu perkara asing jika ada jiran yang tidak mengenali jiran di sekitarnya.  Malahan ada kes yang berlaku apabila jiran telah meninggal dunia dan membusuk di dalam rumah tanpa pengetahuan jiran di sebelah rumahnya.  Ironinya, jika  situasi ini dibiarkan tanpa ada usaha untuk mengembalikan kegemilangan institusi kejiranan dalam kalangan masyarakat, Malaysia pasti akan mengalami satu perubahan norma hidup yang tidak lagi peduli akan konsep kemanusiaan.  Justeru, marilah kita menggembleng tenaga untuk memupuk dan memekarkan semangat kejiranan dalam jiwa setiap warga Malaysia.

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya.  Usaha yang paling jitu untuk memupuk semangat kejiranan adalah melalui peranan ibu bapa mendidik anak-anak mereka untuk menyayangi sesama jiran.  Penerapan dan pembudayaan adab berjiran seharusnya menjadi pegangan anak-anak sejak kecil supaya mereka membesar dalam suasana yang harmoni.  Anak-anak perlu diajar untuk berkomunikasi dengan jiran dengan cara yang berhemah.  Ucapan salam, senyuman mesra kepada jiran hendaklah diasuh dengan cara menerangkan kebaikan perbuatan tersebut.  Anak juga perlu memahami masa yang tepat untuk menziarahi rumah jiran.  Ibu bapa jangan sesekali mencemuh jiran di hadapan anak-anak kerana tingkah laku itu pasti akan dijiwai oleh darah daging mereka.  Lumrah bagi kanak-kanak untuk bergaduh sesama mereka, jadi ibu bapa perlulah mengambil tindakan yang rasional dalam meleraikan persengketaan tersebut supaya hal itu tidak menjadi isu besar antara ibu bapa.  Kesimpulannya, anak yang membesar dalam persekitaran kejiranan yang harmoni akan menghargai kepentingan semangat kejiranan.

Penubuhan Rukun Tetangga merupakan salah satu cara yang telah dipraktikkan untuk tujuan menjaga keselamatan kawasan tempat tinggal.  Rukun Tetangga yang bergerak aktif secara tidak langsung akan dapat membina ukhuwah sesama ahli pertubuhan.  Semangat kerjasama dan saling berkompromi semasa melaksanakan tugas meronda kawasan sekitar melahirkan hubungan yang lebih erat dan persefahaman sesama jiran.  Melalui unit ini, ahli pertubuhan dapat berkongsi pendapat dan pandangan tentang sebarang isu yang berlaku dalam kejiranan mereka.  Sembang-sembang santai juga mampu membuatkan mereka saling mengenali peribadi jiran dengan lebih terperinci.  Bukan itu sahaja, kaum lelaki ini akan dapat mengenali anak-anak rakan mereka dan dapat mengambil tahu tentang perkembangan anak masing-masing.  Usaha perlu dilakukan untuk mewajibkan semua ahli kariah kawasan tersebut mematuhi jadual meronda yang telah ditetapkan melalui perbincangan supaya tidak ada sikap lepas tangan.  Jelaslah bahawa Rukun Tetangga mampu menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Sikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlulah dibanteras dari akar umbi dalam kalangan masyarakat.  Kita sedia maklum bahawa masyarakat pada zaman ini terlalu sibuk sehingga tidak ada masa untuk bersosialisasi sesama jiran.  Desakan kos hidup yang semakin menekan menyebabkan semua orang terpaksa keluar pagi dan pulang lewat malam.  Jadi, langkah yang penting untuk memastikan setiap ahli kejiranan itu disedari kewujudannya adalah dengan menghadirkan diri ke setiap majlis yang dianjurkan oleh jiran.  Biasanya, majlis-majlis sebegini diadakan pada waktu cuti umum.  Menghadiri majlis seperti kenduri tahlil, majlis perkahwinan, sambutan hari jadi, rumah terbuka dan sebagainya perlulah dijadikan fokus utama rancangan semasa cuti.  Sekadar hadir berbasa-basi menunjuk muka sudah cukup menunjukkan tanda penghormatan kita terhadap jemputan jiran.  Jika berkelapangan, sebagai jiran, kita boleh turut serta dalam aktiviti persediaan sebelum majlis seperti membantu menyediakan bahan untuk memasak, memasang khemah tetamu dan lain-lain.  Jika kita sentiasa memenuhi jemputan jiran, pastinya majlis kita juga akan meriah dengan kunjungan.

Jiran sepakat membawa berkat.  Masyarakat zaman pascaglobalisasi haruslah menggali semula semangat kejiranan yang semakin sirna dalam diri masing-masing.  Banyak kebaikan yang menanti jika semangat ini dijadikan pegangan hidup seperti terciptanya perpaduan yang jitu sesama kita.  Prinsip berat sama dipikul ringan sama dijinjing pasti diamalkan jika hubungan yang erat terjalin dalam kalangan jiran.  Masalah yang berat akan menjadi ringan apabila semua jiran mengambil tahu dan berusaha untuk membantu.  Jika usaha-usaha ini dipraktikkan dengan sepenuh hati, pasti hasrat Perdana Menteri Malaysia untuk mewujudkan sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang akan tercapai pada suatu masa nanti.

Bil pp : 600