KC5 – Kebaikan dan Keburukan Media Sosial

Media sosial semakin menjadi keperluan masyarakat alaf ini.  Huraikan kebaikan dan keburukan penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat.

Tema Media sosial
Fokus kebaikan dan keburukan media sosial
Contoh Facebook, Twitter, Instagram,Wechat
Ungkapan menarik masa itu emas

 

Kehidupan masyarakat alaf baru seakan-akan tidak lengkap tanpa akaun Facebook, Whatsapp, Twitter, Wechat dan Instagram.  Kita dianggap ketinggalan zaman jika tidak cakna dengan istilah-istilah yang digunakan dalam media sosial ini.  Laman sosial alam maya ternyata mencetuskan fenomena baru hingga seolah-olah tidak dapat dikawal kerana bukan sahaja remaja, malahan ada golongan warga emas turut menghabiskan masa dengan media sosial tanpa mempedulikan aktiviti sosial yang lain.  Pasti ada sesuatu yang menarik dengan media sosial sehingga berjaya menjadikan sebilangan besar masyarakat dunia terus leka dan mengagung-agungkan kewujudannya.

Media sosial menjadi wadah penghubung sesama manusia.  Hal ini tidak dapat dinafikan kerana melalui Facebook, Wechat dan lain-lain, kita dapat menambah kenalan baru tanpa mengenal sempadan negara, adat atau bangsa.  Media sosial juga dapat menghubungkan kita dengan insan yang sudah lama terpisah.  Contohnya, Facebook digunakan oleh golongan umur pertengahan untuk menjejak rakan-rakan zaman persekolahan atau rakan sekuliah.  Dengan hanya memuat naik foto berkaitan dan sedikit maklumat, berita itu akan tersebar dan kemungkinan orang yang dicari dapat ditemui.  Ukhuwah dapat dijalinkan semula.  Jelaslah bahawa laman sosial mampu mengeratkan hubungan antara manusia.  Tak kenal maka tak cinta.

Selain itu, media sosial juga menjadi lubuk rezeki kepada para peniaga dalam talian yang bijak mengambil peluang.  Segala promosi perniagaan hanya melalui hujung jari tanpa perlu berdepan dengan pelanggan.  Setiap pertanyaan daripada pelanggan juga boleh dijawab dengan mudah tanpa perlu bersua muka.  Proses pemasaran ini ternyata menjimatkan kos pengurusan kerana media sosial turut menyediakan medium pengiklanan yang mampu menyasarkan ribuan pelanggan dalam masa yang singkat.  Respons yang diberikan oleh pelanggan juga baik kerana pelanggan lebih mudah membuat perbandingan harga dan membuat pilihan tanpa perlu keluar dari rumah.  Proses jual beli secara dalam talian ini ternyata memudahkan pelanggan dan juga peniaga.  Selagi etika perniagaan dipatuhi, peniaga pasti dapat menjana keuntungan berganda.

Namun, masyarakat perlu sedar bahawa media sosial juga ada sisi negatif yang memerangkap penggunanya.  Masalah paling ketara yang berlaku dalam kalangan remaja ialah ketagihan terhadap laman sosial yang melampau sehingga menjejaskan tugas utama mereka sebagai pelajar.  Golongan ini menghabiskan masa berjam-jam lamanya hanya untuk bersembang kosong bersama rakan-rakan sehingga sanggup menangguhkan tugasan yang lebih penting.  Masalah akan lebih meruncing jika remaja ketagih untuk mencari populariti demi mendapat jolokan ‘Instafamous’.  Hal ini bermakna mereka perlu mencari idea untuk kelihatan unik di laman sosial.  Pembaziran masa yang dilakukan tanpa sedar oleh golongan remaja akan menggangu kesejahteraan masa hadapan mereka.

 

Menulis status peribadi yang kurang wajar mungkin mencetuskan perbalahan sesama pengguna media sosial.  Apatah lagi jika status peribadi itu menular dan menjadi bahan kutukan dan kejian masyarakat.  Pengguna akan mengalami stres yang berpanjangan akibat tindakan memuat naik status yang boleh dijadikan bahan fitnah.  Selain itu, imej seseorang yang dibenci juga dapat dicalarkan dengan tuduhan-tuduhan melulu atau kata-kata nista secara terbuka melalui media sosial.  Malah ada yang sanggup menyebarkan gambar-gambar yang mampu menjatuhkan pihak lawan.  Mangsa fitnah biasanya akan mengalami tekanan emosi sehingga ada yang sanggup membunuh diri kerana tidak tahan dimalukan.  Besarnya impak bahana fitnah melalui media sosial kerana perkara memalukan ini mampu merebak umpama virus tanpa penawar.

Kesimpulannya, media sosial pada asasnya bertujuan untuk memudahkan komunikasi sesama insan di seluruh dunia.  Namun etika yang sepatutnya diamalkan tidak dipraktikkan sejujurnya oleh para pengguna media sosial sehingga mendatangkan cela kepada kepentingan media sosial itu sendiri.  Justeru, jadilah pengguna yang berhemah serta bijak menggunakan media sosial agar diri tidak terus hanyut dalam keasyikan kerana masa itu emas.