KC4 – Langkah menangani stres

Remaja hari ini berdepan dengan pelbagai tekanan dalam usaha memenuhi keinginan ibu bapa dan guru untuk menjadi pelajar yang cemerlang.  Stres yang dihadapi telah menyebabkan ada remaja yang mengambil tindakan yang tidak wajar.  Sebagai remaja, jelaskan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menangani stres.

 

Tema Stres yang dialami remaja
Fokus Usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh remaja
Contoh tindakan yang tidak wajar dilakukan
Ungkapan menarik sebelum nasi menjadi bubur

 

Zaman remaja diakui sebagai zaman yang sangat indah namun penuh pancaroba.  Remaja akan meneroka pelbagai sudut kehidupan demi mencari hala tuju mereka.  Dalam tempoh pengembaraan ini, remaja akan berdepan dengan pelbagai masalah yang menguji ketabahan mereka.  Ada remaja yang berjaya menangani masalah dengan baik namun ada juga yang tewas dalam kancah emosi sehingga mencetus permasalahan yang lebih serius seperti terlibat dalam masalah penyalahgunaan dadah.  Remaja seperti inilah yang perlu dibantu agar mampu menangani tekanan emosi dalam jiwa mereka dengan cara yang lebih bijak.

Apabila dibebani masalah, remaja cenderung untuk melarikan diri daripada masalah dengan mencetuskan masalah lain.  Contohnya remaja selalu berdepan dengan konflik keluarga kerana ruang lingkup pandangan yang berbeza.  Jika itu berlaku, mereka akan mengambil jalan mudah dengan keluar melepak bersama rakan-rakan yang mungkin mendorong mereka melakukan perkara-perkara negatif.  Hakikatnya, tindakan ini kurang bijak kerana langkah terbaik adalah dengan mencari punca masalah tersebut dan berusaha untuk menyelesaikannya bersama-sama ahli keluarga agar yang keruh dapat dijernihkan.  Setiap perkara yang mencetuskan konflik dapat diatasi jika semua pihak berlapang dada menerima pandangan masing-masing.  Jelas bahawa merungkai benang yang kusut adalah lebih baik daripada terus menambah masalah.

Ada juga remaja yang gemar memendam rasa apabila berdepan dengan masalah.  Mereka akan menjadi pendiam dan jika keadaan itu dibiarkan berterusan, kemungkinan mereka akan mengalami masalah jiwa.  Perkara ini boleh dielakkan jika remaja mencari seseorang yang boleh dipercayai untuk meluahkan masalah.  Teman baik merupakan orang yang sepatutnya dijadikan sandaran namun remaja perlu bijak memilih teman.  Walaupun orang yang mendengar rintihan itu tidak dapat membantu, sekurang-kurangnya luahan masalah itu dapat meringankan kekusutan yang bermain di minda.  Melepaskan yang terbuku di jiwa merupakan terapi paling baik untuk menangani stres.

Selain itu, cara yang tepat untuk mengatasi stres adalah dengan mendekatkan diri dengan Tuhan.  Berdoa dan meluahkan rasa hati kepada Tuhan dapat meringankan bebanan.  Dengan mendekatkan diri dengan Tuhan, remaja dapat menerima hakikat bahawa masalah yang dihadapi itu adalah ujian daripada Tuhan untuk menduga tahap keimanan seseorang.  Dugaan itu akan dipandang dari sudut yang positif jika remaja menerima segala masalah sebagai ketentuan atau takdir.  Maka, beribadah merupakan cara yang paling tepat untuk menghilangkan keresahan hati remaja.

Kerunsingan terbukti  dapat dihindarkan atau diatasi dengan cara beriadah.  Jika ada masalah, remaja boleh meluangkan masa untuk berjalan-jalan di kawasan rekreasi yang tenang.  Hal ini selaras dengan slogan Badan Cergas Otak Cerdas.  Aliran darah yang lancar hasil aktiviti riadah dapat mengurangkan tekanan minda yang berserabut dan kemungkinan remaja dapat melupakan seketika masalah yang sedang ditanggung.  Remaja juga patut mengajak rakan-rakan untuk bersama-sama beriadah dan hasil komunikasi semasa beriadah membantu meringankan stres.  Tuntasnya, proses biologi yang tercetus ketika beriadah dapat memberikan ketenangan kepada jiwa remaja tersebut.

Kesimpulannya, stres tidak boleh dibiarkan menguasai diri kerana implikasinya terlalu besar.  Orang yang dalam tekanan melampau selalunya tidak dapat mengawal diri sendiri.  Justeru, jika kita sedang mengalami stres, berusahalah untuk mengatasinya secepat mungkin.  Begitu juga jika kita melihat rakan yang sedang murung, carilah jalan untuk membantunya menghilangkan masalah tersebut.  Cegah sebelum parah adalah jalan yang terbaik sebelum nasi menjadi bubur.