Latihan 2 – Kaduk Ayam dan Raja

Latihan 2 (Ms 48 perenggan 5 – ms 49 )

Pemimpin tertinggi sendiri pernah berkata, “Rakyat mesti membuka mata dan melihat potensi yang ada dalam bidang pertanian.  Saya menyeru kepada rakyat sekalian agar merebut peluang ini, terutama ribuan siswazah Melayu yang masih menganggur.  Kerajaan menyediakan banyak peluang terutama kepada keistimewaan dalam Dasar Ekonomi Baru.  Ada pelbagai bantuan dari skim pembiayaan untuk projek pertanian yang dikendalikan oleh sebuah bank khusus.  Nah, semuanya ada di hadapan anda! Yang diperlukan sekarang ialah kesanggupan anda untuk bekerja kuat.  Ingat slogan ini, `Pertanian adalah Perniagaan’.”

Hakim telah mendengar dengan penuh minat.  Segala kata itu membakar semangatnya untuk memajukan tanah yang ditebusnya.  Dia juga berharap kejayaannya nanti akan menjadi teladan kepada orang seketurun dengannya yang mendapat kelebihan daripada Dasar Ekonomi Baru dan pelbagai projek pembangunan sebuah kerajaan yang prihatin.

Hakim perlu membina sebuah reban tertutup.  Dia memulakan segala kerja, menebang pokok dan meratakan tanah, berlori-lori tanah telah diangkut untuk menambak kawasan yang memang rendah dan berair itu.  Wang simpanannya hampir habis di situ.

Kos pembinaan sebuah reban ayam tertutup dengan sistem penyaman udara dan peralatan memberi makanan semiautomatik melebihi dua ratus ribu ringgit.  Hakim sudah beberapa kali naik turun tangga bank untuk berbincang tentang pinjaman projek pertanian.  Kertas kerja sudah beberapa kali dipinda sehingga akhirnya pinjaman diluluskan.  Pinjaman sebanyak itu memerlukan cagaran dan dia tidak ada harta lain selain tanah Pak Kaduk yang baru ditebusnya dengan susah payah.  Mujurlah seorang Yang Berhormat sanggup campur tangan dan memujuk pihak bank untuk meluluskan pinjamannya.  Dengan pertolongan itu, terbinalah sebuah reban yang boleh memuatkan sepuluh ribu ekor ayam.

Hakim menandatangani kontrak dengan pihak RAJA.  Maka jadilah dia seorang petani moden merangkap anak muda yang berjasa kepada nusa dan bangsa dengan menyumbang ke aras penambahan pengeluaran makanan negara.

——————–

i.  Apakah usaha-usaha yang dilakukan oleh Hakim untuk mendapat pinjaman daripada bank?

   ——————–

ii.  Pada pendapat anda, apakah sumbangan sektor pertanian kepada negara ?

 ——————–

iii.  Huraikan dua nilai murni yang terdapat dalam petikan di atas dan satu nilai murni lain daripada cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan.