Latihan 7 – Burung Terbang dipipiskan Lada

Latihan 7 (ms 37 perenggan 3 – ms 38 perenggan 1)

Syahadan, maka kedengaran di Melaka bahawa Cau Pandan sudah mati, sakitnya muntahkan darah, dadanya seperti kena panah. Telah Sultan Muzaffar Syah mendengar khabar itu, maka titah baginda, “Sungguhlah Tuan Sidi Arab ini hamba Allah keramat.”

Maka beberapa puji baginda akan Tuan Sidi Arab itu dan dianugerahi baginda dengan sepertinya. Setelah empat puluh dua tahun lamanya Sultan Muzaffar Syah di atas kerajaan, maka baginda pun mangkatlah. Maka anakanda baginda yang bemama Raja Abdullah itulah menggantikan kerajaan ayahanda baginda, gelar baginda di atas kerajaan, Sultan Mansur Syah, umur baginda tatkala naik raja itu dua puluh tujuh tahun. Dan baginda beristerikan anak Seri Nara Diraja yang bemama Tun Patih Nur Pualam; dan ada beranak dengan gundik baginda seorang perempuan bemama Puteri Bakal. Adapun Sultan Mansur Syah itu terlalu baik parasnya, serta dengan adilnya lagi pemurah; seorang pun raja-raja di dalam alam ini tiada sepertinya pada zaman itu.

————————

i. Apakah punca yang menyebabkan Cau Pandan mati?

Cau Pandan mati kerana sakit muntah darah, dadanya seperti kena panah

————————

ii. Gambarkan sifat Sultan Mansur Syah seperti yang terdapat dalam petikan di atas.

Rupa Sultan Mansur Syah  sangat kacak.  Baginda digambarkan sebagai seorang raja yang adil dan pemurah serta kebaikannya tidak boleh ditandingi oleh raja-raja lain di dalam alam ini.

————————

iii. Tuan Sidi Arab telah berjasa kepada sultan. Sekiranya anda sultan, nyatakan tindakan anda agar Tuan Sidi Arab terus kekal berkhidmat dengan kerajaan anda.

Jika saya ialah Sultan, saya akan memberikan Tuan Sidi Arab jawatan yang tinggi disebabkan jasanya itu.  Selain itu saya akan memberikannya hadiah atau ganjaran  serta menyediakan sebuah rumah yang selesa untuknya.