Latihan 6 – Burung Terbang dipipiskan Lada

Latihan 6 (m/s 36 perenggan 1-2)

Maka ada seorang anak Seri Bija Diraja, Tun Umar namanya, terlalu berani, kelakuannya gila-gila bahasa. Maka disuruhkan oleh Bendahara Paduka Raja suluh perahu Siam itu. Maka Tun Umar pun pergilah dengan sebuah perahunya olang-oleng. Telah bertemu dengan perahu Siam yang banyak itu, maka dilanggarnya sekali, dua tiga buah perahu Siam alah, lalu ia terus ke sebelah; maka ia berbalik, dilanggamya pula yang lain, itu pun dua tiga buah perahu Siam alah. Maka Tun Umar pun kembalilah. Maka orang Siam terlalu hairan melihat kelakuan Tun Umar itu. Telah hari malam, maka Awi Dicu pun datanglah. Maka oleh Bendahara Paduka Raja segala pohon kayu bakau dan nyirih dan tumpu api-api itu sekaliannya disuruhnya tambati puntung api. Telah dipandang oleh orang Siam api tiada terbilang lagi banyaknya, maka kata hulubalang Siam, “Terlalu banyak kelengkapan perahu Melaka ini, tiada terbilang lagi. Jikalau ia datang apa hal kita? Sedang sebuah perahunya tadi lagi tiada terlawan oleh kita.”

Maka kata Awi Dicu, “Benarlah seperti kata kamu itu; marilah kita kembali sementara belum siang ini.”

Maka segala orang Siam pun kembalilah.

—————————

i. Berikan maksud terlalu hairan melihat kelakuan.

Maksud terlalu hairan melihat kelakuan ialah sangat pelik menyaksikan tingkah laku

—————————

ii. Apakah tindakan Bendahara Paduka Raja sebagai helah untuk menakut-nakutkan tentera Siam?

Sebagai helah untuk menakut-nakutkan tentera Siam, Bendahara Paduka Raja telah memacakkan pohon kayu bakau dan nyirih yang dipasang dengan api di sepanjang pantai.  Apabila dipandang oleh orang Siam banyaknya api di sepanjang pantai, mereka berundur kerana mereka beranggapan bahawa tentera Melaka terlalu ramai.

—————————

iii. Awi Dicu mengaku kalah sebelum bertempur dengan musuhnya. Pada pendapat anda, adakah wajar tindakan Awi Dicu tersebut? Berikan alasan anda.

Tidak wajar kerana Awi Dicu sepatutnya cuba menghampiri pantai untuk melihat situasi sebenar.  Sebagai ketua perang, Awi Dicu sepatutnya cuba bertempur dengan tentera Melaka sebelum mengaku kalah.