Latihan 5 – Burung Terbang dipipiskan Lada

Latihan 5 (M/s 33  perenggan  4 – perenggan 9)

Maka beberapa anak orang besar-besar ditanyakan oleh Sultan, tiada juga berkenan pada Seri Nara Diraja. Maka titah Sultan, “Mahukah Seri Nara Diraja akan Tun Kudu, anak Bendahara Seri Wak Raja, saudara Paduka Raja?”

Maka sembahnya, “Daulat, tuanku.”

Adapun akan Tun Kudu itu diperisteri Duli Yang Dipertuan, terlalu baik rupanya, tetapi matanya juling sedikit. Telah baginda mendengar sembah Seri Nara Diraja demikian, maka dengan sesaat itu juga ditalak baginda, dihantarkan ke rumah Paduka Raja, diberi belanja, disuruh berhadir akan kahwin dengan Seri Nara Diraja.

Maka kata segala anak buah Seri Nara Diraja, “Bagaimana maka datuk hendak beristeri muda, kerana datuk sudah tua, dan bulu mata dengan bulu kening sudah bertemu?”

Maka kata Seri Nara Diraja, “Di mana kamu sekalian tahu? Jikalau demikian sia-sialah cula dibeli oleh bapaku sekati emas di benua Keling itu.”

Dan telah sudah lepas idah, maka Seri Nara Diraja pun bernikah dengan Tun Kudu. Maka menjadi muafakatlah Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja, menjadi berkasih-kasihan seperti saudara sejalan jadi. Maka sembah Seri Nara Diraja pada Sultan Muzaffar Syah, “Tuanku, baiklah Paduka Raja dijadikan bendahara, kerana ia sedia anak bendahara.”

———————–

i. Mengapakah anak buah Seri Nara Diraja tidak bersetuju apabila Seri Nara Diraja ingin berkahwin?

Anak buah Seri Nara Diraja tidak bersetuju apabila Seri Nara Diraja ingin berkahwin kerana beliau sudah tua dan bulu mata dengan bulu keningnya sudah bercantum.

———————–

ii. Apakah yang dilakukan oleh Duli Yang Dipertuan selepas mendengar persetujuan Seri Nara Diraja?

Selepas mendengar persetujuan Seri Nara Diraja, Duli Yang Dipertuan terus menjatuhkan talak kepada Tun Kudu.  Seterusnya, Tun Kudu dihantarkan ke rumah Paduka Raja dan diberikan belanja.  Selepas itu, Tun Kudu diminta untuk berkahwin dengan Seri Nara Diraja.

———————–

iii.  Perkahwinan Seri Nara Diraja dengan Tun Kudu telah mengeratkan hubungan antara Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja.  Pada pendapat anda, selain mengeratkan hubungan, apakah kebaikan- kebaikan lain yang diperoleh melalui perkahwinan?

Pada pendapat saya, selain mengeratkan hubungan, perkahwinan dapat mengelakkan fitnah.  Selain itu, perkahwinan dapat membina keluarga yang bahagia dan menambah bilangan ahli keluarga.  Akhirnya,  perkahwinan dapat menjauhi maksiat.

iv.  berikan maksud rangkai kata menjadi muafakat.

Maksud rangkai kata menjadi muafakat ialah dapat bersatu.