Latihan 3 – Burung Terbang dipipiskan Lada

Latihan 3 (ms 30 perenggan 4 – ms 31 perenggan 2)

Syahadan, maka berkenan Sultan Muzaffar Syah mendengar kata Tun Perak itu. Pada hati baginda, “Adapun Tun Perak ini tidaklah patut jadi bentara lagi, patut menjadi Perdana Menteri.”

Maka digelar baginda Paduka Raja, disuruh duduk di seri balai setara Seri Nara Diraja. Maka Paduka Raja pun naiklah duduk dekat Seri Nara Diraja di seri balai, maka Seri Nara Diraja berkisar ke tengah. Hatta, maka Seri Nara Diraja pun pindahlah ke sebelah kanan, jadi Paduka Raja duduk pada tempat bendahara. Adapun Seri Nara Diraja pun telah tualah tiada beranak laki-laki, dan beranak dengan isterinya, anak bendahara Seri Amar Diraja itu seorang perempuan, Tun Putih namanya, diperisteri oleh Raja Abdullah; dan beranak dengan gundik seorang laki-laki, Tun Nina Madi namanya, tiada diaku oleh Seri Nara Diraja sebab takut akan isterinya. Maka Tun Nina Madi pun besarlah, beranak bercucu. Maka isteri Seri Nara Diraja pun matilah.

Hatta, maka pada sekali peristiwa Seri Nara Diraja duduk di balai, dihadap orang banyak. Maka Tun Nina Madi pun lalu, disuruh naik duduk dekat, lalu diribanya oleh Seri Nara Diraja. Maka kata Seri Nara Diraja pada segala orang yang duduk itu, “Tahukah tuan hamba sekalian bahawa ia ini anak hamba?”

——————–

i.Berikan maksud beranak dengan isterinya. [2 markah]

Maksud beranak dengan isterinya ialah dilahirkan oleh isterinya.

——————–

ii. Nyatakan perkara-perkara yang dilakukan oleh Seri Nara Diraja apabila melihat Tun Nina Madi berjalan di hadapannya di balai menghadap.[3 markah]

Perkara-perkara yang dilakukan oleh Seri Nara Diraja apabila melihat Tun Nina Madi berjalan di hadapannya di balai menghadap ialah Seri Nara Diraja memanggil Tun Nina Madi agar mendekatinya lalu meriba anaknya itu.  Selain itu, Seri Nara Diraja memberitahu semua orang bahawa Tun Nina Madi itu ialah anaknya.

           ——————–

iii.  Sultan Muzaffar Syah telah menaikkan pangkat Tun Perak daripada bentara menjadi Perdana Menteri.  Pada pendapat anda, apakah kriteria-kriteria yang diutamakan sebelum menaikkan pangkat seseorang? [3 markah]

Pada pendapat saya, kriteria-kriteria yang diutamakan sebelum menaikkan pangkat seseorang ialah mempunyai pengalaman bekerja yang luas.  Selain itu, seseorang itu mestilah kebolehan untuk melaksanakan tanggungjawab baharu tanpa pengawasan yang tinggi.