Latihan 2 – Burung Terbang dipipiskan Lada

Latihan 2 (ms 29 perenggan 3 – ms 30 perenggan 1)

Maka oleh Seri Amerta kata Tun Perak itu semuanya dipersembahkan ke bawah Duli Yang Dipertuan. Maka baginda pun tersenyum, seraya bertitah, “Benar seperti kata Tun Perak itu.”

Maka diambil baginda sirih dari puan baginda, disuruh berikan kepada Tun Perak. Maka titah baginda kepada Tun Perak, “Bahawa Tun Perak tiada patut diam di Kelang lagi; baiklah Tun Perak diam di negeri.”

Hatta, maka orang Siam pun datanglah, lalu perang dengan orang Melaka. Ada beberapa lamanya berperang, maka banyaklah rakyat Siam yang mati, Melaka tiada alah. Maka rakyat Siam pun kembalilah, seraya ia pulang segala rotan ikat barang-barangnya semuanya dicampakkannya di hulu Muar. Maka rotan itu pun tumbuh; itulah dinamai orang Rotan Siam, manakala pasungan kayu ara itu pun tumbuh juga, datang sekarang di hulu Muar jua, dan tumang Siam tempat bertanak itu pun tumbuh juga, datang sekarang. Telah rakyat Siam sudah pulang, maka segala orang teluk rantau pun kembalilah masing-masing ke tempatnya. Maka Tun Perak tiada diberi baginda pulang lagi ke Kelang; diam di Melaka, dijadikan baginda bentara.

—————————

i.  Berikan maksud Benar seperti kata Tun Perak itu.  [2 markah]

Maksud Benar seperti kata Tun Perak itu ialah raja  bersetuju dengan kata-kata Tun Perak itu.

—————————

ii.  Apakah yang berlaku kepada Tun Perak selepas orang-orang Siam dan orang-orang teluk rantau kembali ke negeri mereka semula? [3 markah]

Perkara-perkara yang berlaku kepada Tun Perak selepas orang-orang Siam dan orang-orang teluk rantau kembali ke negeri mereka semula ialah Raja tidak membenarkan Tun Perak pulang ke Kelang sebaliknya meminta Tun Perak terus tinggal di Melaka.  Selain itu, Tun Perak telah dilantik sebagai bentara .

—————————

iii. Sekiranya anda raja, selain menganugerahkan jawatan, apakah yang akan anda lakukan untuk membalas jasa Tun Perak yang mengetuai peperangan dengan Siam? [3 markah]

Sekiranya saya raja, selain menganugerahkan jawatan, perkara yang akan saya lakukan untuk membalas jasa Tun Perak yang mengetuai peperangan dengan Siam ialah saya memberikan hadiah seperti persalinan atau barangan berharga.   Selain itu, saya memberikan pingat kebesaran kepada Tun Perak.  Seterusnya, saya memberikan imbuhan gaji yang besar kepadaTun Perak. Akhir sekali, saya mengadakan keraian sebagai penghargaan atas jasa Tun Perak.