Latihan 1 – Burung Terbang dipipiskan Lada

Latihan 1 (m/s 27 perenggan 1 dan 2)

Kata sahibulhikayat, maka tersebutlah perkataan Raja Benua Siam, Dari zaman dahulu kala negeri Siam itu Syahrunnuwi namanya disebut orang, dan raja-raja di bawah angin ini semuanya takluk kepadanya, dan nama rajanya Bubunnya. Telah kedengaran ke benua Siam bahawa Melaka negeri besar yang tiada takluk kepadanya, maka Paduka Bubunnya pun menyuruh ke Melaka hendak minta surat sembah. Maka Sultan Muzaffar Syah tiada mahu menyembah ke benua Siam. Maka Raja Benua Siam terlalu marah, lalu menyuruh berlengkap akan menyerang Melaka; Awi Cakri nama panglimanya, membawa rakyat terlalu banyak tiada terpermanai lagi. Maka dipersembahkan orang ke bawah Duli Sultan Muzaffar Syah bahawa Raja Benua Siam menitahkan hulubalang, Awi Cakri namanya, membawa rakyat terlalu banyak tiada terpermanai banyaknya, berjalan darat terus ke hulu Pahang.

Maka telah Sultan Muzaffar Syah mendengar khabar itu, maka baginda menyuruh menghimpunkan segala rakyat teluk rantau berhimpun ke Melaka. Dan akan Tun Perak membawa orang Kelang ke Melaka dengan anak isterinya sekali. Maka orang Kelang berdatang sembah kepada Sultan, “Ya tuanku, segala teluk rantau yang lain semuanya menghadap dengan laki-laki juga; akan patik sekalian dibawa oleh Tun Perak dengan perempuan sekali.”


i. Berikan maksud menghimpunkan segala rakyat.

Maksud menghimpunkan segala rakyat ialah mengumpulkan semua penduduk.

—————————–

ii. Nyatakan reaksi Raja Benua Siam apabila diberitahu bahawa Sultan Muzaffar Syah tidak mahu menyembah benua Siam.

Reaksi Raja Benua Siam apabila diberitahu bahawa Sultan Muzaffar Syah tidak mahu menyembah benua Siam ialah Raja Benua Siam sangat marah lalu menyuruh tenteranya  menyerang Melaka.   Awi Cakri dititahkan untuk mengetuai serangan tersebut dan membawa rakyat yang sangat ramai ke hulu Pahang.

—————————–

iii. Sekiranya anda Sultan Muzaffar Syah, apakah yang akan anda lakukan untuk mengelakkan Raja Benua Siam menyerang kerajaan anda? [3 markah]

Sekiranya saya Sultan Muzaffar Syah, tindakan yang akan saya lakukan untuk mengelakkan Raja Benua Siam menyerang kerajaan saya ialah membuat rundingan secara baik dengan Raja Benua Siam.  Selain itu, saya akan meminta bantuan pihak ketiga untuk menjadi orang tengah.   Akhirnya, saya sanggup memohon maaf dan menyatakan kesediaan untuk menyembah negeri Siam.