Latihan 1 – Hipertensi

LATIHAN 1 (ms 59)

Aiman menyusun jari-jemari tangannya lurus-lurus. Jari-jemari yang kurus runcing dan semacam tidak berisi itu dibawanya ke muka.  Muka yang dulunya gebu dan montok, kini nampak cengkung dan semacam menyimpan dendam yang tidak berhujung. Dia lantas menekup wajahnya rapat-rapat. Dia cuba mengintip, mengikut ruang yang wujud di celah-celah jari-jemarinya. Jelas kelihatan olehnya akan lereng bukit yang sudah tempang dan pincang, menimpai banglo di lereng bukit.

Jari-jemarinya yang kurus itu kini dianjakkan ke ruang lain, melebarkan pandangannya ke arah sekitar. Lagi-lagi lereng bukit yang runtuh itu mengeruhkan sanubarinya. Perenungan itu memberi ruang dan kesempatan kepadanya untuk mematah-matahkan jari-jemarinya satu per satu. Dia amat seronok mendengar bunyi kertup-kertap yang terbit daripada aksinya itu.

Dia kembali menekup wajahnya, wajah yang geruh dan bengis. Sebiji buah mempelam jatuh terlegap di hadapannya, gugur dengan tiba-tiba. Spontan, dia teringat akan Isaac Newton, saintis berbangsa Inggeris itu.

“Jika aku lahir sezaman dengan Newton pada tahun 1642, ataupun beberapa dekad kemudian, aku pasti tidak berasa hairan tentang sebab buah mempelam itu gugur dengan tiba-tiba,” fikir Aiman. Malangnya, tarikh keramat itu sudah lama gugur dalam helaian kalendar waktu