Latihan 9 – Cinta Ahmad Mutawakkil

Latihan 9 (ms 52 perenggan 3 – perenggan 7)

“Kalau bukan awak yang ajar saya menulis dan membaca,” kata Ahmad Mutawakkil, “tak mungkin saya jadi wartawan.  Saya sangat terhutang budi.” Gadis itu tersenyum, menjawab dalam bahasa Melayu yang fasih. “Dari dulu, saya tau awak bijak … tapi saya tak sangka, awak akan sehebat ini.”

Ahmad Mutawakkil terdiam, memandang tepat wajah gadis itu.  “Pujian itu terlalu besar.  Selagi Tanah Melayu belum merdeka, saya tidak layak menerima apa-apa pujian, Sandra.”  Itulah kali terakhir kami menyertai Ahmad Mutawakkil ke rumah Sandra, anak gadis Tuan Booth.  Sejak serangan berkembar di Estet Ephill dan Estet Sungai Siput pada 13 Jun 1948 yang mengorbankan tiga orang pengurus Inggeris, ketegangan  merayap ke seluruh negara dan sampai juga ke kampung kami.   Bermula pada 16 Jun 1948 di Perak dan tiga hari kemudian di seluruh negara, di mana-mana, kebebasan mulai terbatas.  Darurat diisytiharkan.  Parti Komunis Malaya mula menggila.

—————————-

i.  Apakah reaksi Ahmad Mutawakkil apabila Sandra menyatakan rasa kagumnya terhadap kebolehannya?

Apabila Sandra menyatakan rasa kagumnya terhadap kebolehannya,  Ahmad Mutawakkil terdiam dan memandang tepat ke wajah Sandra.  Ahmad Mutawakkil mengatakan bahawa pujian yang diberikan oleh Sandra terlalu besar.

—————————-

ii. Pada pendapat anda, mengapakah darurat diisytiharkan apabila berlaku sesuatu keganasan atau bencana di sesebuah negara? Berikan tiga sebab anda. [3 markah]

Pada pendapat saya, darurat diisytiharkan adalah untuk melindungi penduduk daripada serangan pengganas atau bencana.  Selain itu, darurat penting untuk membolehkan pihak berkuasa menjalankan kerja- kerja menyelamatkan mangsa perang selain dapat mengekang kegiatan keganasan atau bencana dalam keadaan yang terkawal.

—————————-

iii. Jelaskan satu perwatakan Ahmad Mutawakkil yang terkandung dalam petikan dan satu perwatakannya berdasarkan keseluruhan cerpen.

Satu perwatakan Ahmad Mutawakkil dalam petikan cerpen ialah seorang yang mengenang budi.  Contohnya, Ahmad Mutawakkil terhutang budi terhadap keikhlasan Sandra yang mengajarnya menulis dan membaca.

Satu perwatakan Ahmad Mutawakkil daripada keseluruhan cerpen ialah seorang yang berani bersuara.  Contohnya, Ahmad Mutawakkil berani menuduh perjuangan komunis sebagai pengkhianat  negara melalui penulisannya dalam surat khabar dan penyampaian pidatonya.