Latihan 7 – Cinta Ahmad Mutawakkil

Latihan 7 (ms 50 perenggan 1 – perenggan 6)

Sekalipun secara terbuka Ahmad Mutawakkil berjuang menentang Inggeris, dia tetap akrab dan mesra dengan keluarga Tuan Booth yang kembali ke estet sebaik-baik saja Jepun kalah.

“Saya suka pemuda yang berani,” kata Tuan Booth.  “Sekarang,” kata Orang Putih itu lagi, “di mana-mana, orang Melayu sudah lawan Inggeris, dan Ahmad Mutawakkil nasionalis Melayu paling muda.”

Sejak kembali, Tuan Booth jauh berubah. Dia tidak lagi terperap di estet.  Pada setiap petang, biasanya selepas solat asar, dia akan menjengah ke surau.  Dia akan duduk berbual-bual, bercerita itu ini, terutama dengan Imam Ngah Deraman dan Penghulu Ibrahim Sigap.  Ada sekali, sewaktu Ahmad Mutawakkil balik ke kampung, Tuan Booth mengundang kami ke banglonya.

“Dia pelawa kita minum teh di banglonya,” kata Ahmad Mutawakkil.  “Saya fikir, Tuan Booth ikhlas nak berbaik-baik.”

Kami terdiam, tak berani bersuara, menantikan kata putus daripada Imam Ngah Deraman dan Penghulu Ibrahim Sigap.

Akhirnya, setelah agak lama buntu, Ahmad Mutawakkil meluahkan pandangan. “Selama Tuan Booth di sini, sejak dulu lagi, tak pernah dia memusuhi kita.  Jadi, saya fikir atas sifat hati Melayu,orang berbudi kita berbahasa.  Hati Melayu tak reti bermusuh, hati Melayu penuh dengan persahabatan.”

—————————-

i.  Nyatakan perubahan-perubahan dalam diri Tuan Booth yang kembali semula ke estet setelah kekalahan Jepun.[2 markah]

Setelah kembali semula ke estet selepas kekalahan Jepun, Tuan Booth tidak lagi memencilkan diri di banglo tetapi sudah bercampur dengan penduduk kampung.  Dia kelihatan datang berbual-bual dengan Imam Ngah Deraman dan Penghulu Ibrahim Sigap selain turut mempelawa orang kampung minum teh di banglonya.

—————————-

ii. Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang dapat dilakukan agar setiap kaum di negara ini sentiasa taat dan setia kepada negara?

Antara usaha untuk memastikan kaum di negara ini sentiasa taat dan setia kepada negara ialah kerajaan perlu menggiatkan kempen kesedaran agar rakyat sedia untuk  mempertahankan bumi kelahiran.  Selain itu, pihak sekolah perlu menyampaikan ceramah  agar pelajar teguh dengan prinsip di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.  Kursus-kursus motivasi peringkat jabatan juga turut menyelitkan konsep ketaatan kepada negara.

—————————-

iii. Jelaskan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan di atas dan satu latar masyarakat lain daripada cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan.

Latar masyarakat dalam petikan ialah masyarakat yang bergaul mesra tanpa mengira batas kaum, warna kulit, dan latar belakang.  Contohnya, Tuan Booth semakin mesra dengan penduduk kampung.

Manakala latar masyarakat dalam cerpen ialah masyarakat penjajah yang mengaut keuntungan ekonomi tanah air.  Contohnya Tuan Booth telah membuka estet getah dan mengupah 15 keluarga berketurunan India untuk bekerja sebagai buruh di estet getahnya.