Latihan 6 – Cinta Ahmad Mutawakkil

Latihan 6 (ms 48 perenggan 2 – perenggan 6)

Tahun 1943, dia semakin kerap menghilang.  Pada suatu hari, Imam Ngah Deraman memberitahu kami, “Kata Ahmad Mutawakkil, di bandar, dia bekerja membaca dan menjawab surat-surat rahsia daripada Inggeris untuk kumpulan anti- Jepun.”

Kami mendengar, tetapi tidak begitu memahami perihal cerita itu.  Cuma satu hari pada tahun 1945, beberapa bulan setelah kelibat tentera Jepun langsung tidak lagi menjengah kampung kami, Imam Ngah Deraman menyampaikan berita terbaharu.

“Ahmad Mutawakkil balik tengah malam tadi.  Katanya, Hiroshima dan Nagasaki kena bom. Jepun akan menyerah kalah tak lama lagi.”

Walaupun cerita itu laksana mimpi yang kabur dan sukar ditafsirkan, kami tetap berasa lega dan menyembahkan syukur.

Misai terunanya tak ubah macam bulu roma, tetapi perawakannya sangat mengesankan.  Pada suatu hari, pada tahun 1946, selesai mengaminkan solat isyak, dia mengengsot merapati Imam Ngah Deraman, bersalaman sambil berbisik.

————————

i.  Apakah berita yang disampaikan oleh Imam Ngah Deraman kepada orang-orang kampung?

Berita yang disampaikan oleh Imam Ngah Deraman kepada orang-orang kampung ialah berita tentang kepulangan Ahmad Mutawakkil pada tengah malam tadi.  Imam Ngah Deraman juga memaklumkan bahawa Hiroshima dan Nagasaki dibom dan Jepun akan menyerah kalah tidak lama lagi.

————————

ii.  Kehidupan zaman penjajah penuh dengan penderitaan.  Pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk mempertahankan kemerdekaan negara?

Pada pendapat saya, cara untuk mempertahankan kemerdekaan negara adalah dengan mengekalkan perpaduan dan bersama-sama menjaga keamanan negara.  Seterusnya, sebagai rakyat, kita tidak mendedahkan maklumat keselamatan negara kepada pihak luar.  Akhirnya, kita mestilah meningkatkan ilmu pengetahuan untuk membangunkan negara.

————————

iii.  Huraikan satu nilai kemanusiaan yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu nilai kemanusiaan lain daripada cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan.

Satu nilai kemanusiaan yang terdapat dalam petikan cerpen di atas ialah nilai kesyukuran.  Contohnya, penduduk kampung bersyukur selepas mendengar berita kekalahan tentera Jepun.

Satu nilai kemanusiaan lain daripada cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan ialah nilai patriotisme.  Contohnya Ahmad Mutawakkil berjuang meniupkan api semangat patriotik melalui penulisannya dalam surat khabar dan melalui ceramah yang disampaikannya kepada masyarakat kampung.

Seterusnya, nilai keberanian.  Contohnya, Ahmad Mutawakkil berani bersuara dengan lantang  dan secara terang-terangan membidas dan mengkritik perjuangan pihak komunis.

Selain itu, nilai ketabahan.  Contohnya, Ahmad Mutawakkil tabah berdepan dengan pelbagai cabaran dalam perjuangannya menuntut kemerdekaan negara.