Latihan 5 – Cinta Ahmad Mutawakkil

Latihan 5 (ms 47 perenggan 2 – ms 48 perenggan 2)

Malam itu, selepas solat isyak, Imam Ngah Deraman bergegas meninggalkan surau dan esoknya, kami mendapat tahu dia pergi mencari Ahmad Mutawakkil. Budak itu dibawa ke rumahnya.  Sejak itu, dalam kesulitan hidup zaman Jepun, Ahmad Mutawakkil menjadi anak angkatnya.  Cuma kekerapan budak itu menghilang, lama-kelamaan diterima Imam Ngah Deraman sebagai satu kebiasaan.

“Aku tak sangka budak tu pandai menulis.  Anak Orang Putih tu ajar dia banyak benda.  Dia juga pandai cakap Orang Putih,” kata Imam Ngah Deraman.

Di surau, terutama, pada malam hari, di hadapan Penghulu Ibrahim Sigap, Imam Ngah Deraman menyampaikan apa-apa sahaja berita yang dikhabarkan Ahmad Mutawakkil.

“Maknanya, dia bukan merayaulah,” kata Penghulu Ibrahim Sigap. Pada usia 15 tahun, Ahmad Mutawakkil laksana jendela – tempat kami menjenguk dunia.

Tahun 1943, dia semakin kerap menghilang.  Pada suatu hari, Imam Ngah Deraman memberitahu kami, “Kata Ahmad Mutawakkil, di bandar, dia bekerja membaca dan menjawab surat-surat rahsia daripada Inggeris untuk kumpulan anti-Jepun.”

————————

i. Berdasarkan petikan di atas, apakah keistimewaan-keistimewaan yang dimiliki oleh Ahmad Mutawakkil yang mengagumkan Imam Ngah Deraman?

Antara keistimewaan Ahmad Mutawakkil yang mengagumkan Imam Ngah Deraman ialah dia pandai menulis selain berkebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris.

————————

ii. Pada pendapat anda, apakah faedahnya seseorang itu menguasai pelbagai bahasa sebagai sumbangan untuk kemajuan negara?

Pada pendapat saya, individu yang menguasai pelbagai bahasa dapat memperluas perdagangan dengan kebolehan berkomunikasi.  Selain itu, individu tersebut juga dapat memajukan industri pelancongan dengan kebolehan sebagai pemandu pelancong termasuk dapat menjadi jurubahasa dalam pelbagai persidangan.

————————

iii. Jelaskan satu persoalan yang terdapat dalam petikan di atas dan satu persoalan lain daripada cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan.

Persoalan dalam petikan ialah kepentingan menguasai kemahiran membaca dan menulis.  Contohnya, Ahmad Mutawakkil yang menguasai kemahiran membaca dan menulis mampu menyalurkan pelbagai maklumat kepada penduduk kampung.

Manakala persoalan dalam cerpen ialah  perjuangan menentang fahaman yang tidak betul.  Contohnya, Ahmad Mutawakkil menolak ideologi komunis dan menjelaskan kepada orang kampung bahawa fahaman komunis itu bertentangan dengan fahaman Melayu yang menganut agama Islam.