Latihan 3 – Cinta Ahmad Mutawakkil

latihan 3 (m/s 44 perenggan 5 – perenggan 8)

Kehadiran Tuan Booth dan keluarga, serta lima belas keluarga buruh estet keturunan India serba sedikit merubah wajah kampung kami.

Jalan yang dulunya tanah merah batu lada, sudah dikejapkan; tak lagi becak kala musim hujan, dan kurang berkeladak pada musim kemarau.

Tuan Booth yang murah senyuman itu, lama-kelamaan menjadi sebahagian panorama kampung.  Walaupun lelaki kulit putih yang gemar berseluar pendek dan bertopi bulat itu terkenal kerana kemurahan senyumannya, kawasan kebun getah, estet pekerja serta banglo kolonialnya tetap asing kepada kami.

Cuma sejak kematian Wak Sadir, anaknya, Ahmad Mutawakkil, yang sudah yatim piatu itu menjadi satu-satunya anak kampung yang sentiasa keluar masuk ke pekarangan estet Tuan Booth.

“Eloklah … paling tidak, dia bekerja dengan Orang Putih tu, belajar mencari makan sendiri.”  Begitulah pandangan kami.  Walaupun hasil getah Tuan Booth setiap tahun nampaknya sangat menjadi, kami tetap bertani secara tradisi.

Di kebun, berselerak pokok pisang yang ditanam, berselang-seli dengan ubi kayu dan keledek.  Sawah pula, laksana lautan emas kala musim menuai.  Kami tetap orang kampung yang dulu, yang hidup atas dua matlamat – rezeki dan ibadat.

i. Bagaimanakah kehidupan orang kampung seperti yang digambarkan dalam petikan?

Kehidupan orang kampung seperti yang digambarkan dalam petikan ialah orang kampung menjadi petani dengan menanam pisang, ubi kayu, keledek, dan padi. Selain itu, mereka hidup berlandaskan dua matlamat, iaitu mencari rezeki dan beribadat.

 

ii. Sekiranya anda Tuan Booth, apakah yang akan anda lakukan untuk mendekati orang-orang kampung?

Sekiranya saya Tuan Booth, perkara yang akan saya lakukan untuk mendekati orang-orang kampung ialah bergaul mesra dengan orang-orang kampung . Selain itu, saya akan mengajak orang-orang kampung datang berkunjung ke rumah.  Seterusnya, saya juga akan menziarahi rumah orang-orang kampung. Akhirnya, saya turut melibatkan diri dalam aktiviti yang diadakan oleh orang-orang kampung.

iii.Huraikan satu persoalan yang terdapat dalam petikan di atas dan satu persoalan lain daripada keseluruhan cerpen tersebut.

Satu persoalan yang terdapat dalam petikan di atas ialah persoalan penghijrahan orang asing ke negara kitaContohnya,  Tuan Booth dan keluarga, serta lima belas keluarga buruh estet keturunan India berhijrah ke negara kita untuk bekerja di estet.

Satu persoalan lain daripada keseluruhan cerpen tersebut ialah  semangat patriotik yang tinggi dalam diri pejuang.   Contohnya,  Ahmad Mutawakkil menggesa rakyat agar bersama-sama berjuang untuk memerdekakan tanah air daripada cengkaman penjajah Inggeris.