Latihan 1 – Cinta Ahmad Mutawakkil

Latihan 1 (ms 43 perenggan 1- perenggan 4)

Usai solat maghrib – ketika Imam Ngah Deraman sedang berdoa, dengan tubuh dipaling ke kanan menghadap Penghulu Ibrahim Sigap, dan kami para makmum pula, sepatah demi sepatah, mengaminkan setiap baris kalimah – di pintu surau, terdengar suara orang memberi salam.  Perlahan dan sangat rengsa bunyinya.

Sambil berdoa, Imam Ngah Deraman berpaling – disusuli Penghulu Ibrahim Sigap. Melihat saja, mata kedua-duanya tiba-tiba terjegil, dan nampak sangat terperanjat.   Dengan telapak tangan yang masih menadah doa, kami segera menoleh. Dek pelita ayan yang tergantung pada alang beranda sangat terang cahayanya, maka susuk tubuh dan wajah lelaki yang tersepuk di muka pintu segera kami kenal akan gerangannya.

Dialah Ahmad Mutawakkil.   Wajahnya berkerut-kerut; kedua-dua matanya terpejam.   Kemeja putih ala-ala peon British dipenuhi darah, manakala seluar kelabunya dipenuhi kotoran.   Malah, calitan lumpur dan sisa-sisa daun kering turut melekat pada muka dan rambutnya.  Meskipun doa oleh Imam Ngah Deraman sudah berakhir, kami masih keras membatu dek tenggelam punca.

i.Bagaimanakah keadaan Ahmad Mutawakkil ketika tiba di surau?

Keadaan Ahmad Mutawakkil ketika tiba di surau ialah wajahnya berkerut-kerut dan kedua-dua matanya terpejam.   Kemeja putih ala-ala peon British yang dipakainya dipenuhi darah,  manakala seluar kelabunya dipenuhi kotoran.

ii.Sekiranya anda berada di surau, apakah tindakan anda untuk menyelamatkan Ahmad Mutawakkil?

Sekiranya saya berada di surau, tindakan saya untuk menyelamatkan Ahmad Mutawakkil ialah saya akan menghubungi pihak hospital dengan segera untuk menghantar ambulansSeterusnya, saya akan cuba memberikan rawatan awal dengan membersihkan luka- lukanya.  Selain itu, saya akan menenangkannya agar tidak risau akan kecederaan yang dialaminya.

iii.Huraikan satu latar tempat yang terdapat dalam petikan di atas dan satu latar tempat lain daripada keseluruhan cerpen tersebut. [4 markah]

Satu latar tempat yang terdapat dalam petikan di atas adalah di surau.  Contohnya, Ahmad Mutawakkil muncul dengan keadaan berlumuran darah semasa orang-orang kampung baru selesai mendirikan solat maghrib di surau.  Satu latar tempat lain daripada keseluruhan cerpen adalah di banglo  Tuan Booth. Contohnya, Tuan Booth tinggal bersama-sama dengan isterinya dan seorang anak perempuannya, iaitu Sandra di banglo itu dalam sebuah estet.