Berbuat Istana Zaman Dahulu

 

 

Baginda menitahkan orang besar empat
Membuat istana puri berkota
lalu dipanggil Pawang Raja
Pawang mengerah orang bekerja
Empat puluh empat tukang dan utas
siang malam tiada henti
Baginda sultan menitahkan empat orang pembesar untuk membina istana sebagai mercu tanda kotanya. Oleh hal yang demikian, Pawang Raja telah mengerah rakyat untuk bekerja keras. Sebanyak empat puluh empat orang jurubina dan pandai tukang dikerah. Projek pembinaan itu dijalankan siang dan malam tanpa henti.

 

Tujuh bulan tujuh pernama
Istana siap dengan alatnya
Besar tersergam sembilan ruang
Sepuluh dengan rembat guntung
Sebelas dengan pancung serong
Dua belas dengan anjung tinggi
Pembinaan istana baginda itu menelan masa tujuh bulan sehingga siapkan sempurna dengan perabot dan segala peralatan di dalamnya. Istana yang disiapkan itu tersergam indah dengan sembilan ruang utama yang memiliki sepuluh batang tiang penyokong(rembat guntung). Di dalam istana itu, ada kain yang disusun dan diikat serong dengan puncanya tergantung dan memiliki kawasan anjung yang tinggi.

 

Tiga sudut menteri depalan
Tiang panjang maharaja lela
Tiang tengah syukur menanti
Galang-galangnya ular berang
Kasau kecil puteri menyembah
Kasau lentik helang berbega
Di dalam istana itu, ada tiga sudut untuk kegunaan lapan orang menteri yang utama yang dihias dengan tiang yang dinamakan maharaja lela. Di tengah-tengah istana itu, ada sebatang tiang besar(galang) yang kukuh yang bertanggam dengan ukiran corak ular yang garang. Kayu yang melintang(kasau kecil) pada atap istana pula bercorak seorang puteri yang menyembah dan sebatang kayu yang melengkung(kasau lentik) pada atap istana juga bercorak ukiran helang di sekelilingnya.

 

Berbunga sawa mengempelai
Bertakuk bersedelinggam
Berjenang berbatu kawi
Berselimut ukir jawa
Lilit-melilit akar Cina
Garam sebuku sisa jeragan
Bunga kenanga dimakan ular
Layang-layang di pintu Raja
Bahagian tingkap istana raja dibina dengan seni yang istimewa,iaitu berukir corak bunga dan ular sawa yang berbaring dengan lemah longlai (mengempelai). Di samping itu, jendela istana pula diperbuat daripada batu yang kukuh(berbatu kawi) dan bertiang. Seni bina ini dipercantik dengan ukiran Jawa dan Cina. Selepas itu, garam ditaburkan di sekeliling istana yang baharu untuk membuang segala kekotoran dan anasir jahat yang cuba dibawa oleh pendatang asing atau nakhoda (sisa jeragan). Pada pintu istana yang besar itu, ukiran bunga kenanga amat jelas kelihatan bersama corak ular. Demikianlah keunikan istana raja yang siap dibina.
Istana siap tukang pun mati
Tiada orang dapat meniru
dipersembahkan kepada baginda suami isteri
Setelah istana siap dibina, tukang bina istana pun meninggal dunia. Kesetiaan jurubina istana ini menyempurnakan pembinaan istana ini amat terserlah apabila tiada sesiapa yang dapat meniru teknik dan gaya pembinaan istana tersebut. Apabila istana siap dibina, pembesar yang bertanggungjawab dalam pembinaan itu mempersembahkan istana tersebut kepada baginda raja dan permaisuri.