(No title)

Petikan 9 – PPD Segamat 2016

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan hutan tanah tinggi dan usaha-usaha untuk mengekalkannya.  Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan

Hutan adalah sebahagian daripada ekosistem global yang menampung serta memperkaya kehidupan manusia.  Ekosistem hutan mempunyai kitaran yang kompleks, iaitu melibatkan air, tanah, atmosfera, tumbuh-tumbuhan, dan fauna.  Hutan yang terdapat di seluruh dunia dapat diklasifikasikan  kepada beberapa jenis.  Antaranya termasuklah hutan hujan tropika, hutan bakau, hutan pokok tirus, hutan pokok daun luruh, dan sebagainya.  Sebahagian besar daripada hutan di Malaysia ialah hutan hujan tropika.  Di Malaysia juga terdapat sebahagian kawasan hutan yang berada di tanah tinggi yang melebihi 300 meter dari aras laut.  Hutan ini dipanggil hutan tanah tinggi.

Kebanyakan kawasan hutan tanah tinggi di negara ini menjadi sumber bekalan air bersih.  Hutan tanah tinggi menyimpan air bersih dan melepaskannya apabila kandungan airnya bertambah.  Apabila hujan turun, terutamanya sewaktu musim hujan, hutan tanah tinggi, ini akan bertindak menyerap sejumlah besar air melalui akar pokok.  Air yang terperangkap di bawah tanah akan memasuki anak sungai yang membentuk kawasan bekalan air yang sedia digunakan pada musim kemarau.  Hutan tanah tinggi juga bertindak sebagai penapis semula jadi bagi air hujan.  Hutan ini dapat mencegah hujan daripada terus menimpa tanah dengan terlalu kuat sekali gus dapat mencegah kerosakan bahagian lapisan atas tanah.

Hutan tanah tinggi yang terdapat di banjaran utama negara kita pula merupakan kawasan yang dapat membekalkan sumber hutan.  Hutan tanah tinggi ini membekalkan kayu balak dan ramuan ubat-ubatan.  Kayu balak dan pelbagai ramuan ubat tradisional daripada pokok-pokok di hutan ini menjadi sumber rezeki bagi sesetengah pihak.  Malah hutan ini turut berfungsi sebagai pembekal makanan kepada haiwan sepanjang tahun.  Di hutan tanah tinggi ini terdapat pelbagai jenis bunga, buah, daun, dan kacang yang menjadi sumber makanan hidupan.  Selain itu, hutan tanah tinggi ini menjadi habitat bagi beraneka spesies flora dan fauna.  Namun begitu, aktiviti-aktiviti manusia yang tidak terkawal telah menjejaskan ekosistem kawasan tanah tinggi tersebut.  Antara ancaman kawasan hutan tanah tinggi ini termasuklah pengambilan sumber galian dan pembalakan serta pengambilan spesies tumbuhan penting untuk tujuan komersial.  Kelemahan dalam perancangan pembangunan dan pengurusan serta penggunaan tanah secara berleluasa turut menjadi ancaman kawasan hutan tanah tinggi.  Ancaman-ancaman ini perlu dikawal untuk mengekalkan sumber hutan negara.

Faedah hutan tanah tinggi yang lain ialah hutan ini bertindak sebagai tempat rekreasi dan pelancongan.  Misalnya terdapat beberapa buah taman negara yang terletak di hutan tanah tinggi yang terdapat di banjaran utama negara kita pula merupakan tanah tinggi.  Taman negara ini menjadi daya tarikan para pelancong dari dalam dan luar negara untuk berinteraksi dengan alam semula jadi.  Di samping itu, hutan ini juga merupakan sumber penyelidikan perubatan farmasi yang amat bernilai.  Pelbagai kajian dan penyelidikan dapat dijalankan bagi mendapatkan imput baharu untuk meningkatkan kesihatan masyarakat.

  1. Berikan maksud rangkai kata sumber rezeki?
  2. Pengarang mengemukakan beberapa ancaman kawasan hutan tanah tinggi yang perlu dikawal untuk mengekalkan sumber hutan negara.  Nyatakan ancaman-ancaman tersebut
  3. Pada pendapat anda, huraikan kesan-kesan pembalakan secara tidak terkawal di kawasan hutan tanah tinggi kepada alam sekitar.