Petikan 8 – PPD Mersing 2016

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan generasi muda dalam mengisi kemerdekaan dan langkah-langkah meningkatkan kesedaran tentang semangat cinta akan negara dalam kalangan generasi muda.  Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Tahun ini Malaysia meraikan Hari Kemerdekaan yang ke-58 tahun.  Diam tidak diam sudah hampir separuh abad negara kita terlepas daripada cengkaman penjajah.  Menjadi rutin tahunan, menjelang sahaja bulan Ogos atau juga dikenali bulan kemerdekaan, agensi atau kementerian yang berkenaan akan mula menjalankan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang.  Namun begitu, perkara yang menjadi kebimbangan banyak pihak ialah generasi muda tidak mengambil endah tentang hari kemerdekaan.  Mereka sewajarnya menghayati erti kemerdekaan dengan mendalam.

Banyak kemajuan yang telah dicapai oleh generasi muda melalui usaha keras mereka sendiri dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.  Walau bagaimanapun, generasi muda juga menghadapi pelbagai masalah.  Jika hal ini tidak diatasi secara menyeluruh akan memberi kesan kepada kesan pembangunan.  Pelbagai permasalahan sosial dalam kalangan generasi muda kerap diperkatakan.  Hal ini terbukti menerusi kes jenayah dan salah laku membabitkan mereka di negara kita kian serius dan bertambah kronik.  Penyalahgunaan dadah pula masih lagi memberi petunjuk bahawa kedudukan masalah ini masih pada peringkat yang membimbangkan.  Kesan penyalahgunaan dadah kepada negara boleh membantutkan usaha untuk menjayakan dasar-dasar yang diwujudkan.  Oleh itu, generasi muda perlu mengelakkan diri daripada dadah kerana mereka merupakan aset yang bernilai bagi negara.

Mereka juga kurang mempunyai semangat patriotik kerana dikatakan tidak dapat merasai detik-detik kepayahan dalam menuntut kemerdekaan di samping hidup pada zaman yang selesa.  Mereka sepatutnya bertanggungjawab membina kejayaan negara iaitu sanggup bekerja keras untuk negara.  Generasi muda juga perlu mementingkan kecemerlangan dalam pendidikan.  Hal ini demikian kerana pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju menjelang 2020.

Generasi muda perlu membantu pihak kerajaan bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan negara.  Hal ini demikian kerana keamanan dapat mengelakkan negara daripada serangan musuh sama ada berbentuk fizikal atau psikologi.  Tambahan pula, tugas generasi muda adalah untuk memastikan Malaysia akan terus berpegang pada konsep keadilan dan kesaksamaan.  Dengan ini, semua rakyat dapat menikmati kemakmuran dan kemajuan bersama-sama.  Selain itu, generasi muda yang akan mengisi perjuangan kemerdekaan hendaklah memastikan prinsip demokrasi akan terus diamalkan di samping dapat mengurus negara dengan bijak.  Sesungguhnya kejayaan negara dalam fasa kedua 58 tahun kemerdekaan memerlukan komitmen semua pihak terutama generasi muda.

 

  1. Berikan maksud rangkai kata membantutkan usaha
  2. Pengarang mengemukakan beberapa permasalahan sosial dalam kalangan generasi muda.  Nyatakan permasalahan-permasalahan tersebut.
  3. Sambutan Bulan Kemerdekaan sering diadakan pada peringkat sekolah.  Pada pendapat anda, apakah faedah-faedah yang diperoleh daripada Sambutan Bulan Kemerdekaan tersebut?