Sinopsis Bab 21

Bab 21: Hijrah Remaja Harapan

Pada pagi itu Dahlia pergi ke balai raya.  Pada ketika itu, tidak ramai penduduk kampung yang datang ke balai raya untuk bergotong-royong bagi majlis sambutan Maulidur Rasul yang akan diadakan pada malam nanti.  Dahlia membantu kerja-kerja memasak di situ. Tauke Lim turut  menyumbangkan barang-barang untuk sambutan tersebut.  Haji Sulaiman selaku ketua kampung amat risau akan hal ini kerana majlis tersebut kurang mendapat sambutan.  Aton dan Abu Bakar turut berada di balai raya itu.  Kedatangan Abu Bakar mengejutkan Dahlia kerana dia tidak menyangka adiknya akan membantu kerja-kerja tersebut.

Aton banyak bercakap daripada melakukan kerja.  Dia memberitahu Mak Aji, isteri Haji Sulaiman bahawa Dahlia membawa lelaki silih berganti ke rumahnya.  Kata-kata Aton telah menyebabkan Dahlia bersedih.  Abu Bakar yang terdengar akan kata-kata Aton itu telah hilang sabar dan hampir-hampir memukul Aton tetapi dihalang oleh Haji Sulaiman.

Dahlia terus pulang ke rumah selepas peristiwa itu.  Abu Bakar telah memujuk Dahlia.  Dahlia memberitahu telah banyak dugaan yang ditempuhinya. Abu Bakar juga telah memeluk abahnya dan memberitahu dialah yang telah mencuri kambing milik abahnya.