Sinopsis Bab 17

Bab 17: Kupertahankan Tanah Sekangkang Kera

Dahlia tertekan kerana banyak perkara yang difikirkannya termasuklah tentang pelajarannya yang banyak ketinggalan disebabkan dia kerap ponteng sekolah, masalah emaknya yang masih dirawat di hospital, abahnya pula dipatuk ular dan sedang dirawat di Hospital Batu Pahat.  Adiknya, Abu Bakar langsung tidak boleh diharap untuk membantunya dan juga hasrat Azhari yang ingin melamarnya.  Semasa Abu Bakar balik ke rumah untuk menukar pakaian, Dahlia  memeriksa dompet milik adiknya.  Dia terkejut apabila terdapat wang sebanyak RM120 di dalam dompet tersebut sedangkan adiknya itu tidak bekerja.

 Azhari datang ke rumah Dahlia untuk mengambil pakaian emak Dahlia.  Azhari terkejut apabila dimaklumkan bahawa abah Dahlia dimasukkan ke Hospital Batu Pahat kerana dipatuk ular.  Selepas Azhari pergi, Nek Kiah datang untuk bertanya tentang rancangannya untuk menjual tanah tapak rumah keluarga Dahlia.  Jika keluarga Dahlia mahu terus tinggal di situ mereka perlu membayar sebanyak RM15000 kepadanya.  Dahlia tidak dapat membuat sebarang keputusan.