Sinopsis Bab 16

Bab 16: Bisa Ular Tedung

Embong terpaksa dimasukkan ke wad untuk mendapatkan rawatan.  Semasa ketiadaan ayahnya, Dahlia terpaksa menguruskan banyak perkara.   Mawar yang prihatin tentang kesusahan kakaknya menyuarakan hasrat untuk berhenti sekolah agar dapat menjaga adik-adiknya.  Dahlia menegah Mawar kerana Mawar pernah berjanji kepada emak mereka untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam SRP.

Sewaktu Dahlia melawat abahnya di Hospital Batu Pahat, dia terserempak dengan Cikgu Hisyam dan Kavita yang kebetulan menghantar Siti Wangi yang pengsan semasa menjalani latihan bola jaring.  Kemudian, Cikgu Hisyam dan Kavita menziarahi abah Dahlia.  Cikgu Hisyam meminta Kavita untuk membuat salinan semua nota sepanjang  ketidakhadiran Dahlia ke sekolah supaya dia tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Pada petang itu, Nek Kiah dan Seman datang melawat Embong.  Nek Kiah memberitahu Dahlia sangkaannya bahawa rumah itu berhantu adalah benar kerana seorang demi seorang keluarga Dahlia mendapat bencana.  Nek Kiah juga memberitahu tanah itu akan dijual dan menyuruh keluarga Dahlia berpindah ke kebun di hujung kampung.  Dahlia tidak bersetuju dengan cadangan neneknya.