Sinopsis Bab 8

Bab 8 : Bayang-bayang Kecelakaan

Dahlia bermimpi  buruk tentang seekor ular sawa yang cuba membelitnya. Dahlia tersedar daripada tidur  apabila terdengar tangisan Anggerik yang demam panas. Dahlia bercadang untuk membawa Anggerik ke klinik pada petang itu.  Dahlia ternampak dua orang lelaki bersongkok ke rumah Aton.  Dia terimbas semula kata-kata orang yang menuduhnya lambat menyelamatkan Said.

Dahlia melakukan kerja-kerja di dapur sambil mendukung adiknya.  Melati meluahkan hasratnya untuk berhenti sekolah dan mahu hanya Dahlia yang meneruskan persekolahannya.  Melati bertindak sedemikian kerana malu apabila ada orang yang mengatakan emak mereka gila.  Dahlia menasihati Melati supaya tidak mendengar kata-kata orang kerana bukan orang itu yang akan menyenangkan kehidupan mereka.

Embong pulang membawa ular sawa di atas pungkis.  Embong kehairanan apabila melihat Dahlia menggeletar ketakutan dan menyuruhnya membuang ular itu.  Embong membawa ular itu pulang sebagai bukti beliau telah berjuang untuk menyelamatkan dirinya.  Dahlia memberitahu Embong tentang mimpinya itu.  Embong keluar dari rumah dan pergi  memerhatikan aliran sungai yang deras berhampiran rumahnya itu, dia memikirkan keberanian Dahlia berjuang menyelamatkan nyawa orang lain sehingga sanggup mengetepikan nyawa sendiri. Tiba-tiba, Embong dikejutkan dengan kehadiran seorang pemuda Melayu bersama-sama gadis India yang merupakan kawan Dahlia.