Sinopsis Bab 6

Bab 6: Ditelan Arus Deras

Dahlia telah dihantar oleh Haji Sulaiman ke rumahnya. Haji Sulaiman telah memberitahu abahnya tentang Saleha yang telah dihantar ke Hospital Permai. Abah seolah-olah menyalahkan nasibnya yang sebegitu. Pada petang itu Nek Kiah telah datang ke rumahnya bertanyakan emaknya yang dikatakan telah dihantar ke rumah orang gila.  Dahlia amat terpukul dengan perkataan “ orang gila” yang dilafazkan oleh Nek Kiah, nenek yang melahirkan emaknya. Nek Kiah memberitahu beliau geram apabila semua orang bercakap mengenai emak Dahlia di balai raya.  Dia berpendapat bahawa punca emak Dahlia gila kerana rumah itu dikuasai hantu dan syaitan dan selepas ini mungkin ahli keluarga yang lain pula akan terkena.  Nek Kiah telah mengeluarkan kapur dan menggores pintu rumah dan pintu tengah dengan tanda pangkah supaya hantu tidak masuk ke dalam rumah.  Dahlia mengucap dua kalimah syahadah beberapa kali kerana tidak percaya dengan tindakan neneknya itu. Bagi Dahlia, segala yang berlaku adalah ketentuan Tuhan.

Tiba-tiba Dahlia dikejutkan dengan jeritan dari tebing sungai yang mengatakan Said telah hilang dibawa arus sungai.  Dahlia terus terjun ke dalam sungai untuk mencari Said.  Cubaan pertama kali gagal.  Akhirnya, Dahlia telah menemui Said sambil dibantu oleh seorang pemuda yang bukan penduduk kampung itu.  Malangnya, denyutan jantung Said sudah terhenti.  Nek Kiah telah menyuruh pemuda itu menanggung Said sambil mengeliling rumah sebanyak tujuh kali kerana dikatakan nyawanya boleh kembali tetapi malangnya Said telah tiada.