Sinopsis Bab 5

Bab 5: Kata Setajam Pedang

Dahlia menaiki bas JMBC berjalur merah untuk ke sekolah walaupun dia sudah lewat.  Dia yang sepatutnya pulang pada hari Sabtu ke asrama tidak berbuat demikian kerana adiknya, Anggerik asyik menangis.  Dahlia tidak rela dituduh  mementingkan diri sendiri lalu mengambil keputusan untuk bergerak ke sekolah pada pagi Ahad.  Dahlia sampai lewat ke Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggong Ibrahim pada jam 7.55 pagi.  Pintu pagar telah berkunci.  Dahlia menegur Cikgu Salwani, warden asramanya sedang menuju ke bilik guru. Dahlia ditanya oleh Cikgu Salwani punca kelewatannya dan meminta Dahlia berjumpa dengannya pada petang itu.

Dahlia tidak dapat menumpukan perhatiannya di dalam kelas.  Dia asyik teringat  akan keadaan emaknya, Anggerik dan ayahnya.  Siti Wangi mengingatkan Dahlia tentang janji temu pada pukul 2:00 petang untuk membincangkan kertas kerja yang akan dibentangkan pada hari Khamis.  Dahlia memberitahu dia tidak bersedia dan pada petang itu dia hendak melawat emaknya di  hospital.  Pada petang itu, Dahlia tidak bertemu dengan Cikgu Salwani kerana dia risau akan disoal pelbagai soalan.  Dahlia telah keluar dari asrama tanpa kebenaran wardennya dan terus pergi ke hospital untuk melawat emaknya.   Di situ, Dahlia terserempak dengan Haji Sulaiman dan dimaklumkan emaknya telah dipindahkan ke Hospital Permai, Johor Bahru.