Sinopsis Bab 4

Bab 4: Dibuai Kenangan Indah

Dahlia menyelesaikan kerja rumah, kerja sekolah dan membantu  Melati menyiapkan latihan Matematik.  Dahlia merebahkan dirinya di sebelah Anggerik yang mula menangis.  Dahlia mengimbas kembali pantun yang diungkapkan oleh Azhari sewaktu menghantarnya pulang pada hari Khamis yang lalu.  Ungkapan Azhari seolah-lah menggambarkan bahawa dia akan menyunting Dahlia sebagai suri hidupnya tetapi Dahlia tidak sanggup untuk melukakan hati sesiapa.  Dia memohon pengertian Azhari tentang keadaan keluarganya yang bergantung harap padanya sebagai anak sulung.

Pada petang Khamis itu,  Dahlia  dihantar oleh Azhari pulang ke kampung tetapi Dahlia meminta Azhari memberhentikannya jauh dari rumahnya untuk mengelakkan salah faham orang kampung.  Dahlia dikejutkan oleh ayahnya yang menyuruhnya pergi ke sekolah esok hari dan Embong akan menguruskan hal berkaitan adik-adik Dahlia walaupun sebenarnya beliau sendiri tidak tahu akan cara untuk menyelesaikan masalah tersebut kerana beliau terpaksa bekerja mencari nafkah keluarga.  Perkara inilah yang menjadi punca beliau tidak mahu menghantar isterinya ke hospital.  Embong pasrah memikirkan masalah tersebut dan menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan.

Embong mengimbas kembali perbualannya dengan Saleha mengenai ibu mentuanya, Nek Kiah yang tidak suka akan keluarga mereka disebabkan kemiskinan mereka  tidak seperti anak-anaknya yang lain. Anak-anak Saleha dan Embong tidak dianggap sebagai cucu sendiri oleh Nek Kiah.  Embong juga  teringat peristiwa isterinya pernah memberitahu bahawa sejak belakangan ini dia terasa ada bayang-bayang mengejarnya. Telinganya juga sering terdengar suara yang pelik-pelik. Badannya juga terasa lemah.

Embong dikejutkan oleh suara Dahlia yang disangkakan isterinya.  Embong memberitahu Dahlia doktor memaklumkan emaknya hanya runsing,  Embong tidak menceritakan perkara sebenar yang berlaku kepada Saleha di bilik kurungan di hospital  itu kerana bimbang Dahlia tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajarannya.  Embong juga memberitahu bahawa beliau akan memetik buah kelapa sawit Haji Sulaiman pada keesokannya.  Abu Bakar, adik Dahlia pula sudah tiga hari tidak balik ke rumah dan rela menjadi gelandangan setelah mendapat gred  tiga dalam SPM.