Rumusan 7 -Melaka 2016

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah menderma darah dan langkah-langkah menggalakkan orang ramai menderma darah.  Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Derma darah amalan mulia yang bukan hanya dapat memupuk nilai baik dalam diri, tetapi paling penting turut membantu menyelamatkan nyawa.  Malangnya di negara kita, amalan ini kurang mendapat sambutan terutama daripada golongan muda.  Menyedari kepentingan amalan itu, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk menggalakkan masyarakat menderma darah bagi memastikan bekalan di Bank Darah sentiasa mencukupi.  Antara langkah tersebut ialah tarikh 14 Jun diisytiharkan sebagai Hari Derma Darah Sedunia.  Namun hakikatnya, kempen menderma darah masih kurang mendapat sambutan dan tidak memenuhi jumlah keperluan darah yang masih diperlukan.  Hal ini disebabkan kurangnya kesedaran mengenai kepentingan menderma darah.  Malah, sambutan Hari Derma Darah Sedunia tidak diuar-uarkan untuk disambut sebagai menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan menderma.  Melalui amalan derma darah, bukan sahaja penerima darah menerima kelebihan bahkan terbukti bahawa penderma juga dapat kelebihan dengan menderma darah.

Antara kelebihan menderma darah ialah penderma dapat melahirkan satu perasaan yang sangat menggembirakan apabila berjaya menolong doktor menyelamatkan nyawa orang lain.  Selain itu, derma darah secara konsisten dapat mengurangkan risiko kanser termasuk kanser hati, paru-paru, kolon, perut dan tekak.  Amalan derma darah juga dapat mengurangkan jumlah zat besi yang berlebihan di dalam badan dan dapat menghindarkan risiko sakit jantung.  Sebelum setiap proses menderma darah bermula, seseorang penderma akan melalui beberapa pemeriksaan kesihatan percuma.  Secara tidak langsung, hal ini dapat membantu mereka mendiagnosis sebarang penyakit pada peringkat awal sebelum penyakit tersebut makin teruk.  Bersama-sama dengan pemeriksaan kesihatan, para penderma akan menerima dan mengetahui analisis darah serta jenis darah secara percuma.

Setiap kali seseorang menderma darah, sebanyak 640 Kcal akan hilang.  Hal ini boleh membantu seseorang dalam proses mengurangkan berat badan.  Di samping itu, lahir perasaan gembira mendapat pek percuma seperti makanan, minuman dan sijil.  Derma darah juga membolehkan penderma untuk mengisi semula bekalan darah, membantu badan penderma berfungsi dengan lebih cekap dan dapat bekerja secara produktif.  Oleh itu, usaha orang ramai untuk menderma darah amatlah dihargai.  Namun anda layak untuk menderma darah sekiranya anda seorang penderma yang berisiko rendah iaitu tidak memudaratkan diri sendiri dan darah yang anda derma itu tidak tercemar dengan virus penyakit-penyakit yang boleh berjangkit menerusi pemindahan darah.

Tuntasnya, menderma darah merupakan satu amalan sukarela yang terpuji dan tidak ternilai sumbangannya.  Keinginan untuk menderma darah perlulah wujud dalam diri setiap diri individu tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak.  Malah setiap orang haruslah menganggap bahawa menderma darah adalah satu tanggungjawab diri dan mendermanya tanpa diundang.